Skip to content

Kontroversi tak bantu populariti-Nasha

14 June, 2009
  • Nasha akui cerita sensasi lumrah kehidupan
  • Fouziah rimas dengki tahap ekstrimKALI terakhir model dan aktres terkenal, Nasha Aziz berpeluang beraksi sebagai gadis penghias muka depan B*Pop adalah pada 7 Ogos 2005. Sejak itu, kelibatnya amat jarang muncul di media massa, kecuali jika ada pelancaran mahupun promosi drama atau filem terbarunya, barulah dia sedia menerima pelawaan fotografi serta wawancara, itupun bercakap soal kerjayanya semata-mata.

    Pada masa sama, Nasha dilanda pelbagai musibah dan kontroversi dalam mengharungi kehidupan peribadinya termasuklah masalah keluarga, aksi ‘skodeng’ hingga menjadi kes mahkamah ditambah lagi dengan cerita putus tunang, membuatkan Nasha seakan ‘malas’ berbicara isu berkenaan secara terbuka kerana mungkin ia bakal mengundang pelbagai perspektif serta spekulasi negatif orang ramai.Justeru, usaha mendapatkan Nasha untuk fotografi sering menemui kegagalan, sehinggalah selepas lebih tiga tahun menunggu, dia menyatakan persetujuannya bertemu penulis di lokasi penggambaran drama bersiri terbarunya, Kasih Tercipta arahan pengarah yang sinonim dengan dirinya, Rashid Sibir di sebuah banglo mewah kawasan pedalaman Kuang, Selangor, baru-baru ini.

    Hasad dengki ekstrim harus dielak dalam industri hiburan.

    Pada awal pertemuan lagi, Nasha sudah meletakkan syarat, dia tidak mahu bercakap soal peribadi di tempat kerja (lokasi penggambaran) dan segala pertanyaan berhubung kehidupan personal, penulis harus menemuinya secara peribadi pada waktu lain. Memang terkejut dengan permintaan Nasha, namun memandangkan dia sudi bekerjasama secara profesional mempromosi Kasih Tercipta, itu sudah cukup baik.

    Pun begitu, populariti Nasha tidak pernah tergugat kerana sejak dulu hingga hari ini, permintaan untuk dia beraksi di layar lebar mahupun kaca TV, tidak pernah pudar sekalipun semakin ramai bakat baru menjadi pilihan produser mahupun pengarah memberi saingan kepadanya, namun Nasha tetap bertakhta di kelasnya yang tersendiri. Apa sebenarnya kekuatan yang ada pada diri Nasha sebagai anak wayang?

    “Saya rasa kekuatan itu bukan datang daripada diri sendiri, tapi segala perancangan atau strategi yang terhasil dari semua pihak. Apabila kita berada dalam sesebuah perniagaan, apa saja yang kita nak buat, tujuan kita hanya satu, kepuasan bekerja, buat orang rasa gembira. Saya memilih cabang seni ini pun kerana kecantikan seni itu sendiri. Seni itu indah. Seni lakonan, muzik, membuatkan orang rasa gembira dan belajar mengenai hidup.

    “Dalam kehidupan di dunia yang sementara ini, apa lagi yang kita cari selain benda yang baik dan cantik. Menerusi drama atau filem yang pernah saya jayakan, ia adalah sebahagian strategi untuk membina kekuatan. Apa yang kita beri baik pada orang, akan datang baik pada diri kita, begitulah sebaliknya,” katanya lagi yang akan menjayakan Kasih Tercipta sebanyak 26 episod sebagai Tona, seorang jurufoto.

    Bagaimana dengan cerita sensasi atau kontroversi yang kadang kala membantu menaikkan populariti seseorang artis itu kerana Nasha sebelum ini sering dihambat dengan cerita seumpama itu?

    “Itu adalah lumrah kepada semua manusia dan sebahagian daripada kehidupan kita. Setiap daripada kita akan berdepan dengan pelbagai cabaran dan dugaan dalam mengharungi kehidupan. Kalau tidak, kita bukanlah hamba Allah. Apabila bergelar artis, kontroversi menjadi ‘makanan’ untuk dijadikan bahan berita untuk orang jual. Bagi saya, kontroversi tidak membantu populariti artis. Kontroversi sekadar sebahagian dari kehidupan.

    Gandingan bakat baru dan lama cetus keserasian dalam Kasih Tercipta.

    “Tipu kalau saya katakan dalam kehidupan, tidak ada kesukaran atau dianiaya,” kata Nasha mensyukuri kehidupannya sebagai anak seni.

    Bercakap pula mengenai persaingan daripada muka baru, tidakkah Nasha rasa ruang semakin sempit untuk berkarya dengan kemunculan wajah komersial ini?

    “Niat kita apabila berada di satu tempat itu, apa yang kita nak? Kalau kita menceburi bidang itu atas niat untuk bersaing, bersainglah jadinya. Tapi, niat saya tak pernah untuk bersaing. Apa yang ada dalam kehidupan yang sementara ini, buatlah yang terbaik. Hargailah seni. Bagi saya, sesiapa saja bersama saya dalam industri ini, kami sama-sama mencantikkan lagi seni itu. Serlahkan bakat yang ada. Bakat ini dikurniakan Tuhan kepada semua!,” akuinya berterus terang.

    Beralih saja kepada kisah cintanya bersama pemuda dikenali sebagai Nur Iman Tang dan hala tuju pengakhiran perhubungan mereka apabila baru-baru ini Nasha mengakui sudah menerima cincin tanda daripada saudara baru itu, terus saja Nasha melemparkan senyuman dengan berkata: “No comment”.

    Tak sia-sia tinggal kerjaya pramugari

    Sementara itu, aktres yang kini sedang rancak menempa nama, Fouziah Gous pertama kali berlakon di sisi Nasha. Dalam Kasih Tercipta, Fouziah sebagai Nina adik kepada Tona (Nasha). Komen Fouziah mengenai Nasha?

    “Nasha sentiasa berusaha menghidupkan karektornya. Dia bukan semata-mata berlakon, tapi penampilan, fizikal, semuanya diambil kira. Ramai yang boleh berlakon, namun tak ramai boleh membawakan karektor yang diminta pengarah dalam diri mereka. Saya selesa berlakon di sisi Nasha, kami ada keserasian. Nasha juga rajin berlatih sebelum masuk ke set, itu yang menjadikan lakonannya kelihatan sempurna,” akui Fouziah atau Poja.

    Transformasi dalam kerjaya Fouziah, dari seorang bekas pramugari Penerbangan Malaysia (MAS), kini aktres yang tak putus-putus dengan tawaran lakonan, adakah dia setuju dengan dakwaan itu?

    “Saya akui transformasi yang dimaksudkan, tapi segala-galanya tidak akan tercapai tanpa usaha keras, tak boleh malas-malas apabila menceburi bidang ini. Dulu memang saya tak pandai berlakon, tapi hari demi hari saya belajar dan kini saya dapat rasakan peningkatan itu. Pengorbanan berhenti dari MAS, kini pulangan yang saya peroleh, boleh dikatakan berbaloi, alhamdulillah,” kata Fouziah yang mengakui semakin selesa bersama pasukan kerja Kasih Tercipta terbitan Opera Klasik Sdn Bhd.

    Apabila nama semakin dikenali ramai, dengki khianat orang terutama mereka yang sama-sama terbabit dalam industri yang sama, memang tidak dapat dinafikan.

    “Saya akui, semakin ramai orang mengenali kita, sebenarnya kita tidak sedar, musuh dalam selimut juga semakin bertambah. Kita boleh berfikir secara matang, terpulanglah kepada individu berkenaan, itu hak mereka. Dalam industri ini, kita sama-sama cari makan. Yang penting, jauhkan diri daripada dengki khianat orang.

    “Kalau mendengki sekiranya nak jadi yang lebih baik, itu sesuatu yang sihat, tapi kalau mendengki dengan niat nak menjatuhkan nama dan karier seseorang individu itu, itu yang paling saya takuti. Kadang-kala perasaan hasad dengki ini mencecah hingga ke tahap ekstreme. Kita tak buat salah apa-apa, tak kacau orang pun, tetap tak puas hati, dengki. Tapi, itulah lumrah kehidupan manusia, tak boleh tengok orang lain lebih sikit.

    “Kini, alhamdulillah, hari demi hari, saya semakin selesa dan bersemangat untuk bekerja,” kata Fouziah berterus-terang.

    INFO: Nasha Aziz

  • NAMA SEBENAR: Noraishah Abdul Aziz
  • ASAL: Kampung Pandan, Kuala Lumpur
  • TARIKH LAHIR: 14 Mei 1971
  • FILEM: Kad Cinta (filem pertama), Gerak Khas The Movie (GKTM), Laila Isabella, Buli, Cinta Luar Biasa, Tak Ori Tapi OK, Kemarau Cinta, Buli Balik, Puaka Tebing Biru dan Sepi.
  • DRAMA: Duit Free (drama pertama), Inikah Cinta, Inspirion, Hanya Dikau dan Kasih Tercipta
  • PENCAPAIAN: Pelakon Harapan Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-14 (FFM14) menerusi Bara, Pelakon Wanita Terbaik pada FFM17 (Trauma) dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Anugerah Skrin (ASK) 2008 (Sepi).INFO: Fouziah Gous
  • NAMA SEBENAR: Nor Fouziah Mohd Gous
  • ASAL: Kuala Lumpur
  • TARIKH LAHIR: 11 Disember 1982
  • FILEM: Malaikat Maut, Skrip 7707, Rasukan Ablasa, Sifu & Tonggak, Dua Hati Satu Jiwa dan Rasuk
  • DRAMA: Kasihmu Di Bulan Ramadan, Kepulangan, Sutera Maya, Spa Q 2, Ibu Ampunkan Aku, Kala Rindu, Terlebih Sudah dan Kasih Tercipta
  • DUTA: Adidas (M) Sdn Bhd.
  • No comments yet

    Leave a Reply

    Fill in your details below or click an icon to log in:

    WordPress.com Logo

    You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

    Twitter picture

    You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

    Facebook photo

    You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

    Google+ photo

    You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

    Connecting to %s

    %d bloggers like this: