Skip to content

Hayun bayi macam kucing

15 June, 2009

ALOR STAR: “Depa (mereka) ‘hayun’ anak saya macam kucing, macam mana tulang paha kiri dan kanan anak saya tak patah. Ini kerana depa pegang kaki dan kepala bukannya mengendong badan bayi saya,” dakwa Noor Amiza Baddaruldin yang kecewa dengan jururawat Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, yang didakwanya cuai.

Noor Amiza, 28, mendakwa anak sulungnya, Putri Nur Damia Danisha Noor Hairy yang berusia 13 hari, sering menangis kerana kesakitan akibat kejadian itu.

“Saya bersalin pada 2 Jun lalu pada jam 4.06 pagi di hospital berkenaan secara normal. Selepas selamat bersalin, jururawat datang sambil memegang bayi di kaki dan kepala sambil menghayun-hayunkannya seperti kucing.

“Jururawat terbabit mahu menunjukkan jantina anak saya sambil berkata ‘hei anak awak kecil’ dan pada masa sama, dia menghayunkan anak saya,” dakwanya ketika ditemui dirumah bapanya di Titi Gajah di sini, semalam.

Menurutnya, selepas dua hari bersalin, dia hairan kerana anaknya sering menangis, tetapi tidak mengesyaki apa-apa.

“Saya menyangka anak kami mahukan susu atau kembung perut, tetapi terkejut apabila X-Ray mendapati tulang kedua-dua pahanya patah.

“Saya kesal kerana kecuaian jururawat menyebabkan anak kami terpaksa menanggung derita. Kami tidak sampai hati melihatnya menangis kerana menahan kesakitan,” dakwanya.

Suaminya, Noor Hairy Baharom, 28, membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Star tiga hari lalu.

Menurut Noor Amiza, dia dan suaminya yang juga peniaga, sedih dengan kejadian malang menimpa anak mereka yang menghadapi risiko kecacatan jika kedua-dua kakinya tidak sembuh sepenuhnya.

Beliau berkata, dia yang tidak berpuas hati dengan tindakan jururawat berkenaan merujuk perkara itu kepada doktor pakar HSB bagi mendapatkan gambaran sebenar berhubung prosedur menyambut kelahiran dan cara memegang bayi dengan betul.

“Saya dan suami terkejut dengan jawapan doktor pakar yang menyatakan ada kemungkinan tulang paha kedua-dua kaki anak saya patah disebabkan jururawat memegang cara yang tidak betul iaitu memegang kedua-dua kaki dan kepala tanpa memegang badan.

“Pada mulanya saya tidak berpuas hati kerana pihak hospital seolah-olah cuba menutup punca kesalahan mereka dengan menyatakan tulang paha kaki anak saya patah ketika dalam perut,” dakwanya.

Bagaimanapun, dakwanya, penjelasan yang diterima kemudian amat mengecewakan mereka.

“Saya juga bercadang mengambil tindakan undang-undang berhubung perkara itu,” katanya.

One Comment leave one →
  1. jelita permalink
    15 June, 2009 pm

    Ya ALLAH kesiannyer baby 2..sedihnye jelita

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: