Skip to content

Lisdawati tahan air mata

15 June, 2009

Pendek kata semua masalah yang dihadapi perlu diselesaikan dengan cara tolak ansur dan berhemah.
Begitu juga yang dilalui pasangan selebriti, Lisdawati Nazarudin, 30, dan Fauzi Nawawi, 36.
Sejak kebelakangan ini, isu kontroversi membabitkan rumah tangga mereka sering digembar-gemburkan walaupun pasangan ini teguh mempertahankan hubungan mereka.

RUMAH tangga pasangan mana tidak pernah dilanda gelora. Ibarat pepatah sedangkan lidah lagi tergigit begitu juga suami isteri.

Hakikatnya hanya Lisdawati yang memahaminya.

Ketika ditanya mengenai hubungan mereka, air mata yang bergenang tidak dapat mengaburi betapa cabaran dan kesabaran yang ditempuhi sebagai isteri pasangan selebriti yang mendirikan rumah tangga hampir dua tahun pada September ini.

“Sejak kahwin kami tidak mempunyai masalah besar kecuali membabitkan soal kerja. Sebelum kahwin lagi, kami sudah menetapkan syarat supaya tidak mencampuradukkan soal kerja dan peribadi. Disebabkan itu jika ada orang yang mahu berurusan dengan Fauzi perlulah melaluinya sendiri bukan menerusi saya walaupun kami suami isteri.

“Ini supaya tidak timbul salah faham atau masalah berbangkit. Malah, kami selesa dan bersetuju dengan cara ini.

“Dia seorang suami yang lembut, penuh lawak jenaka. Bukan seperti perwatakan dalam lakonannya yang nampak garang.

“Sebagai suami isteri memang pernah timbul beberapa salah faham. Ada perbalahan begitupun ia tidak berlarutan kadangkala ia reda selepas beberapa jam.

“Saya sentiasa memaklumkan kepada suami apa saja masalah yang dihadapi, saya tidak mahu suami tidak pulang ke rumah.

“Ada masalah kami berbincang atau berbalas SMS. Dia bukan hanya suami, malah sahabat yang boleh berkongsi masalah,” kata Lisda ketika ditemui pada pratonton telefilem, Buih Buih Cinta (BBC) di Hotel Sheraton Imperial, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Lisda lagi, dia percaya rezeki sentiasa berpihak kepadanya sekeluarga biarpun ada yang menganggap segelintir selebriti yang mendirikan rumah tangga mudah hilang populariti berbanding ketika zaman solo mereka.

“Saya tidak percaya perkahwinan akan menjejaskan pembabitan dalam dunia seni.

“Syukur alhamdulillah rezeki kami tidak pernah putus biarpun berdepan dugaan dengan macam-macam perkara yang berlaku. Itu semua cabaran yang perlu ditempuhi dalam kehidupan.

“Saya anggap bidang seni sebagai sumber utama mata pendapatan saya. Jadi saya memberikan komitmen dan kesungguhan yang tinggi dalam setiap pekerjaan yang dilakukan,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai BBC yang dilakonkan bersama suami, Lisda berkata dia banyak berkongsi pandangan dan pengalaman bersama pengarah, Osman Ali bagi menjiwai watak seorang isteri mithali, Soraya dan pada masa sama membawa wanita gedik bernama Lolly.

“Sebagai seorang wanita saya cuba menyelami dua watak yang berbeza karakter sekali gus. Ini pertama kali saya membawa watak Lolly gadis bandar yang selamba, nakal dan mengada-ada. Berbeza dengan watak Soraya seorang gadis kampung dan isteri yang sopan santun, taat kepada suaminya.

“Ini berbeza dengan watak lakonan saya sebelum ini. Watak Lolly terutama ramai yang ingat saya tidak mampu membawakan watak ini.

“Malah, ada yang menganggap saya terikat dengan watak gadis baik. Telefilem ini adalah percubaan saya. Jika tidak cuba mungkin saya sendiri tidak tahu sama ada saya mampu melakonkan watak sedemikian yang kadangkala seperti perempuan yang tidak normal.

“Memang peluang membawa watak ini sukar dilepaskan. Apatah lagi dengan bimbingan pengarah yang berkaliber seperti Osman. Ada sukar dan mudahnya membawa watak Lolly. Sukar kerana tidak pernah melakonkan watak perempuan sebegitu. Senang kerana tidak terikat dengan dialog,” katanya.

Selepas lapan tahun berkecimpung dalam dunia seni Lisda mengakui ia adalah watak yang paling mencabar dilakukannya.

Malah, dia menjadikan pelakon versatil, Elly Suriaty yang menjayakan watak seakan sama dalam Soalnya Hati sebagai rujukan untuk membawakan watak itu. Penampilan bersama suami dengan watak pasangan suami isteri adalah yang ketiga buat mereka.

“Tidak ada masalah hendak menyesuaikan diri dengan anak kerana saya sudah menganggap pelakon watak anak (Puteri Qiestina Nisrien) sebagai anak sendiri, malah dia juga tidak ada masalah untuk memanggil saya dengan gelaran mama.

“Antara pengalaman yang paling sukar menjayakan BBC ialah ketika babak memandikan anak. Walaupun lakonan Qiestina spontan namun kami mengambil masa hampir setengah hari untuk menyiapkannya,” katanya.

Sementara itu, pengarahnya, Osman Ali berkata kisah yang dipaparkan daripada inspirasi dua pemenang peraduan Johnson’s Baby diadaptasi menjadi telemovie yang diilhamkan penulis skrip, Mohd Nizam Nazir.

“Pengalaman bekerja bersama pasangan selebriti dan pelakon watak anak Qiestina cukup menarik. Pasangan Lisda dan Fauzi cukup romantik. Menunjukkan komitmen yang sangat baik. Malah, saya memuji Lisda kerana berusaha keras untuk menjiwai dua watak sekali gus.

“Cabaran paling besar untuk menjayakan telefilem ini ialah terpaksa mengikut mood watak anak. Jika di lokasi penggambaran dia adalah ‘diva.’ Kami terpaksa mengikut waktunya berehat, makan atau tidur supaya penggambaran dapat berlangsung dengan lancar,” katanya.

Dalam telefilem terbitan Red Comunnication dan Nuansa Filem Sdn Bhd dijangka disiarkan di TV3 itu turut menyaksikan penampilan seorang lagi pasangan selebriti, Vanidah Imran dan Rashidi Ishak.

BBC mengisahkan Soraya seorang gadis kampung yang dalam diam mencintai jirannya Sidek (Fauzi Nawawi). Apabila Soraya bersedia meluahkan perasaannya kepada Sidek sebaliknya Sidek memaklumkan dia sudah mempunyai kekasih bernama Mila dan merancang untuk bertunang. Begitupun pada hari pertunangan Sidek menerima berita sedih apabila tunangnya terbabit dalam kemalangan seterusnya meninggal dunia.

Walaupun enam bulan berlalu Sidek masih dalam kesedihan. Ibu bapa Sidek memberitahunya untuk melupakan apa yang berlaku dan memulakan hidup baru.

Ibu bapa Sidek bertemu keluarga Soraya dan meminang Soraya.

Pada mulanya ibu bapa Soraya agak keberatan menerima pinangan itu, tetapi Soraya bersetuju untuk bernikah dengan Sidek.

Kesedihan masih lagi terbayang di wajah Sidek dan Soraya tahu yang suaminya masih tidak dapat melupakan bekas kekasihnya, Mila. Walaupun mereka sudah dikurniakan seorang cahaya mata perempuan sikap dingin Sidek masih tidak berubah.

Rakan rapat Soraya, Diana menasihatkan Soraya agak berubah dengan perwatakan dan penampilan yang berbeza untuk menyedarkan suaminya. Soraya menyamar sebagai Lolly untuk mendekatkan diri dengan Sidek yang banyak menghabiskan masa di gimnasium untuk melepaskan tekanan. Akhirnya Lolly menyedarkan Sidek berkenaan pengorbanan dan kasih seorang isteri.

Peminat kisah romantik berpeluang bertemu dan beramah mesra dengan pelakon utama selain menyaksikan sendiri telefilem ini menerusi promosi Johnson’s Baby tayangan ‘starlight’ di beberapa lokasi pusat beli-belah Giant di Bayan Baru, Pulau Pinang pada 20 Jun depan dan Plentong, Johor (27 Jun).

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: