Skip to content

Tanpa 6ixth Sense

15 June, 2009

Biarpun dalam keadaan pasaran ekonomi kurang memberangsangkan, kemeriahan industri muzik tetap dirasai dengan kemunculan bakat baru selain ‘kegilaan’ peminat muzik tanah air terhadap band tempatan.

KEMUNCULAN beberapa band indie dalam arus perdana sedikit sebanyak mewujudkan persaingan sihat dalam dunia seni tanah air.

Fenomena ini turut dirasai kumpulan 6ixth Sense yang melonjak menerusi lagu hit, Tak Bisa Memilihmu dan Tanpa.

Malah, lagu Tanpa turut meraih anugerah Lagu Paling Popular Peringkat Akhir Hits 1 pada Mac lalu.

Lagu Tanpa juga mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi sangat popular dan melonjak dalam senarai lagu muat turun terbanyak apabila digunakan sebagai lagu tema dalam drama Cinta Untuk Ain sedangkan lagu itu sudah ada sejak 2007.

Kumpulan yang dianggotai lima anak muda – Adi Priyo Sambodo atau Adi sebagai vokalis, Mohd Faiz Azizi Arlis (Gjie/ gitar utama), Shahrul Effendy Shaari (Athan/ gitar kedua), Muhamad Fairos Ramli (Ayoy/ bass) dan Mohammad Safwan Hasnan (Wan/ dram) – menganggap ia sebagai rezeki mereka.

Bagi Adi yang berasal daripada Jawa Timur, Indonesia ia mungkin tuah mereka.

Biarpun lagu berkenaan sudah lama dirakamkan, namun pemilihan sebagai lagu tema untuk drama bersiri ternyata membantu melonjakkan kembali lagu itu.

Mengulas perkembangan seni, kumpulan berkenaan dijangka tampil bersama lagu single terbaru Khatimah Cinta yang dicipta sendiri mereka.

Menurut Adi, lagu berkenaan ternyata mempunyai keistimewaan tersendiri kerana penceritaannya membabitkan kisah cinta yang menarik.

“Lagu ini cukup istimewa bagi kami. Ia adalah kesinambungan daripada kisah cinta sedih yang dipaparkan dalam bentuk cerita.

“Bahagian pertama Hikayat Cinta I, diikuti bahagian kedua iaitu Hikayat Cinta II dan sebagai penutup dari kisah ini kami tampil bersama Khatimah Cinta. Khatimah dalam bahasa Arab bermaksud penutup.

“Ia tidak membabitkan kisah cinta mana-mana pihak atau individu dalam kumpulan ini.

“Ini adalah percubaan kami menghasilkan karya lagu yang mempunyai cerita. Begitupun kisah percintaan yang disampaikan berakhir dengan kesudahan yang agak menyentuh perasaan,” katanya.

Menurutnya, hanya Hikayat Cinta I yang pernah disiarkan di stesen radio.

Begitupun mereka yakin lagu berkenaan mendapat sambutan baik daripada peminat.

Disebabkan lagu itu mempunyai cerita tersendiri mereka mungkin mempertimbangkan untuk melakukan pembungkusan semula (repack) album bagi tiga lagu berkenaan pada masa akan datang.

Mengenai lagu cinta yang sering dinyanyikan oleh kumpulan itu pula, mereka berpendapat lagu cinta tidak semestinya ditujukan kepada individu berlainan jantina sebaliknya kepada orang yang lebih dewasa, kepada alam dan Yang Maha Esa.

Bagi Athan pula album ketiga masih dalam perancangan. Sehingga kini mereka masih dalam peringkat mengumpul bahan. Masih mengekalkan konsep pop rock dan alternatif, album ketiga nanti menjanjikan teknik bunyi dan paduan suara yang lebih matang daripada mereka.

Kumpulan ini juga baru menyiapkan rakaman VCD karaoke untuk lima lagu yang dimuatkan dalam album pertama iaitu Berjanjilah dan Hikayat Cinta manakala Dari Hati, Rayuan Gombal dan Cinta Sejati daripada album kedua.

Bayangkan penggambaran video klip lima lagu yang disiapkan dalam masa satu hari menyebabkan ada yang menganggap kumpulan ini menghasilkan karya secara sambil lewa.

Jelas Adi, pada mulanya dia juga menyangkakan perkara sama.

Begitupun selepas melalui proses penggambaran ternyata setiap lagu mempunyai konsep tersendiri dan dirakam dengan teliti oleh pengarahnya Ikmal dan Misyon bertempat di Studio Niskala, Sujana Impian.

“Setiap lagu yang ditampilkan dengan berlainan konsep. Penggambaran sepanjang sehari itu cukup meletihkan, namun kami seronok. Kami puas kerana dapat menyiapkan klip video itu. Jika tiada aral VCD karaoke ini akan berada di pasaran selepas Aidilfitri nanti,” kata Adi.

Kebolehan mencipta lagu turut mendapat perhatian ramai sehingga ada yang ingin menjalinkan kerjasama dengan mereka.

“Kami sentiasa berminat untuk berkerjasama dengan mana-mana artis. Selain berkongsi idea kerjasama ini juga menjadikan kami lebih matang,” kata Gjie yang pernah menerbitkan lagu penyanyi popular termasuk Jaclyn Victor, lagu duet Alif dan Ika serta penyanyi baru dari Singapura, Noriez.

NAMA PENUH: Adi Priyo Sambodo
NAMA KOMERSIAL: Adi
TARIKH LAHIR: 1 Oktober 1983
TEMPAT LAHIR: Jember, Jawa Timur, Indonesia
ADIK-BERADIK: Anak kelima daripada lima beradik
KARIER: Penyanyi, pencipta lagu dan pemain muzik

NAMA PENUH: Mohd Faiz Azizi Arlis
NAMA KOMERSIAL: Gjie
TARIKH LAHIR: 23 November 1985
TEMPAT LAHIR: Kuala Lumpur
ADIK-BERADIK: Anak pertama daripada dua beradik
KARIER: Pemain muzik dan pencipta lagu

NAMA PENUH: Shahrul Effendy Shaari
NAMA KOMERSIAL: Athan
TARIKH LAHIR: 22 April 1982
TEMPAT LAHIR: Kuala Lumpur
ADIK-BERADIK: Anak pertama daripada empat beradik
KARIER: Penyanyi dan pemain muzik

NAMA PENUH: Muhamad Fairos Ramli
NAMA KOMERSIAL: Ayoy
TARIKH LAHIR: 31 Julai 1985
TEMPAT LAHIR: Kuala Lumpur
ADIK-BERADIK: Anak kedua daripada lima beradik
KARIER: pemain muzik

NAMA PENUH: Mohammad Safwan Hasnan
NAMA KOMERSIAL: Wan
TARIKH LAHIR: 25 April 1987
TEMPAT LAHIR: Kuala Lumpur
ADIK-BERADIK: Anak kesembilan daripada sembilan beradik
KARIER: Pemain muzik dan guru muzik

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: