Skip to content

Bintang baru mengukir sinar

16 June, 2009

SUDAH bergelumang menjadi anak seni sejak di bangku sekolah rendah, namun baru akhir-akhir ini sahaja nama Shaheizy Sam semakin diperkatakan banyak pihak, penerbit, pengarah mahupun pihak media.



Pelakon berusia 26 tahun itu bukanlah sesiapa di pentas wayang Malaysia.

Populariti yang diraihnya masih di tahap sederhana, masih belum sebaris jika hendak disamakan dengan aktor pujaan ramai seperti Farid Kamil, Fahrin Ahmad mahupun Aaron Aziz, sebaliknya, jika dilihat dari bakat serta kemampuan, Sam tidak terpinggir jauh di belakang.

“Terima kasih kerana nampak kelibat saya. Sungguh saya akui, sampai ke hari ini, belum pernah terdetik di hati saya bahawa saya seorang artis dan berlagak macam artis. Jika orang tidak kenal siapa saya sebenarnya, ramai akan kata saya ‘poyo’, ada juga yang kata saya sombong,” luah anak bongsu kepada penerbit dan pelakon Khaty Fauziah dan adik kepada pelakon Zizie Ezette itu merendah diri.

Tambahnya: “Kalau boleh saya mahu berjalan-jalan tanpa mempedulikan orang sekeliling tapi akhir-akhir ini, ada yang menegur saya. Ada juga yang menasihati saya agar pandai-pandai bawa diri, anggaplah hubungan dengan masyarakat dan peminat itu juga sebahagian daripada kerja.”

Berbelas tahun menjadi pelakon sementelah lebih separuh ahli keluarganya bergelar anak seni, kini baru tiba giliran untuk Sam melintasi ‘karpet merah’ di persada bintang bergemerlapan.



Biarpun bukanlah peneraju watak utama, kemunculan Sam menerusi filem-filem seperti Evolusi KL Drift 2, Syurga Cinta dan Jangan Pandang Belakang Congkak yang ketika ini sedang hangat di pawagam, cepat mengalih satu petunjuk. Dia bintang baru yang sedang mengukir sinar.

Sam juga semakin mendapat kepercayaan David Teo dan Ahmad Idham. Dia kini sibuk di lokasi penggambaran Rempit Nan Sempit bahkan sudah ada ura-ura, dia bakal disunting Ahmad Idham sekali lagi untuk sebuah filem seram, Nian Rampik yang kini masih di peringkat perbincangan.

Ketika pesonanya diulik harapan, sengaja hati budi jejaka berbintang Virgo itu diselami. Ditanya juga, adakah pernah terdetik rasa terkilan di hatinya dek selama ini dipandang sepi daripada keriuhan hilaian glamor.

“Selain di lokasi, saya jenis yang ada masalah kurang keyakinan diri apabila berdepan orang ramai. Mungkin sebab itulah saya kurang dikenali. Tapi saya tak salahkan mana-mana pihak, setiap orang ada rezeki masing-masing. Itu salah saya sebab tak pandai nak ‘jual diri’.

“Saya tak pandai dan malu diajak bergambar. Saya juga tidaklah setampan mana, tapi saya percaya orang macam saya ada di hati pihak-pihak tertentu,” kata Sam.

Katanya berseloroh: “Saya tengok ada juga pelakon Hollywood yang tidak tampan tapi tetap dipuja sebagai pelakon hebat. Jadi, kenapa saya tidak boleh jadi begitu.”

SAM tidak pernah terkilan dirinya belum meraih populariti meskipun sudah berbelas tahun menjadi pelakon.



Tidak bersiram glamor, kurang aktiviti dunia hiburan selain di lokasi menjadi satu kelebihan buat Sam. Di rumah, Sam gemar memeruk di bilik, melayani dunia fantasi yang dibina sendiri.

“Sejak dulu lagi, mak dan kakak kata saya hidup dalam dunia saya. Saya suka buat hal sendiri. Di rumah, saya ada kerja, saya suka mengkaji setiap watak yang ditawarkan kepada saya. Cuma untuk Jangan Pandang Belakang Congkak sahaja, saya tak banyak masa untuk bina karakter,” katanya yang tidak pernah berpuas hati dengan semua kerja lakonannya.

Cintakan kesempurnaan, pendek kata, Sam seorang yang perfectionist.

“Saya sukakan sesuatu yang sempurna, saya akan visualkan setiap watak yang saya dapat, dan buatkan penelitian dalam semua aspek.

“Bagi saya, kepuasan bukan daripada lakonan sahaja tapi semua benda termasuklah suntingan, set serta kerja kamera. Apa yang dapat saya katakan, saya cuma melewati satu tahap peningkatan. Peningkatan saya adalah filem.



“Masa berlakon drama, orang tak ingat saya. Bagi saya, inilah peluang dan saya akan berikan yang terbaik tapi itu tak bermakna masa berlakon drama saya tak buat yang terbaik,” katanya yang baru pertama kali diberi kepercayaan sebagai hero menerusi filem Rempit Nan Sempit.

Bercerita tentang wataknya menerusi Rempit Nan Sempit, istilah hero bagi Sam tidak semestinya diwakili watak putih. Dalam dunia realiti, tiada manusia yang sempurna.

“Saya bawa watak penghantar surat bernama Adnan atau Nan, dia seorang yang tak berpelajaran tinggi tapi sukakan kehidupan yang dijalaninya.

“Dari segi luaran, dia nampak macam kurang ajar dan suka ikutkan hati kemudian dia jatuh cinta pula dengan majikan sendiri lakonan Intan Ladyana,” beritahu Sam yang juga pertama kali melakonkan watak komedi menerusi filem Jangan Pandang Belakang Congkak.


BERPELUANG berlakon di samping Cat Farish (kanan) dan Lan Pet Pet (tengah) dalam filem Jangan Pandang Belakang Congkak.

Ditayangkan bermula dari 4 Jun lalu, filem komedi seram berkenaan menampilkan Sam sebagai Johan, Lan Pet Pet sebagai Punai, Cat Farish sebagai Asmat. Selepas menerima telegram mengenai kematian datuk mereka, tiga saudara sepupu itu pulang ke kampung untuk menunaikan satu permintaan terakhir.

“Saya bukan pelawak tapi setakat lawak sikit-sikit bolehlah. Asalnya watak itu diberikan kepada Pierre Andre, tapi kerana satu masalah, saya dipanggil sebagai pengganti. Saya dapat skrip sehari sebelum penggambaran. Apa yang dapat disaksikan, itulah yang paling baik yang dapat saya berikan.

DI SAMPING aktres jelita, Intan Ladyana.



“Bagaimanapun kerja dalam filem itu sangat menyeronokkan dan pertama kali juga saya melakonkan watak hantu, iaitu hantu raya,” cerita Sam selalu mengingatkan diri agar memberikan lakonan yang secukup rasa agar dapat dihayati oleh penonton.

Untuk memberikan persembahan yang berkesan, Sam tidak malu mengakui menjadikan pelakon-pelakon lain serta artis lama sebagai rujukan.

Bukan meniru tetapi pengamatan terhadap cara lakonan orang lain ada masanya cara yang terbaik untuk meningkatkan karakter yang dijayakan.

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: