Skip to content

Fouziah nafi selalu cantik

17 June, 2009

Saya tidak rasa lambat tetapi itu semua adalah rezeki. Kalau rezeki saya dalam bidang ini sudah habis, saya sudah ada perancangan lain – FOUZIAH



TERKENAL kerana wajah yang jelita, Fouziah Gous sering kali dikatakan ‘bergantung’ kepada aset dirinya itu untuk menyerlahkan dirinya di persada seni tanah air. Sementelah, ada yang mengeluarkan kritikan pedas mendakwa lakonan Fouziah masih kaku dan dia hanya mahu melakonkan watak-watak yang menonjolkan kecantikan dirinya.

Namun, Fouziah yang ditemui pada sesi fotografi untuk filem terbarunya Skrip 7707 di studio Utusan baru-baru ini, menyangkal persepsi itu. Dia sebaliknya menegaskan tidak takut dirinya menjadi buruk dan hodoh untuk memenuhi kehendak watak.

Kata Fouziah, itu kerana dia bukannya membawa watak dirinya sendiri tetapi menjayakan peranan yang diperlukan untuk sesebuah produksi. Maka, tidak timbul persoalan bahawa Fouziah hanya hendak kelihatan cantik dalam filem atau drama lakonannya.

“Sebenarnya saya jarang membawa watak cantik kalau anda perasan. Paling cantik pun rasanya hanya dalam drama Spa Q. Yang selebihnya saya terpaksa memburukkan diri. Contohnya dalam filem Sifu & Tongga, saya bukan saya sahaja tidak bersolek tetapi perlu menambahkan bulu kening.

“Jadi rasanya peminat menyukai saya bukan kerana saya cantik. Kalau dari segi lakonan, saya selalu dapat respons positif. Ada yang melihat watak saya dalam filem Sifu & Tongga senang kerana tidak ada dialog. Namun, sebenarnya mimik muka dengan mata yang sentiasa terbuka bukan satu aksi yang senang untuk dilakonkan,” jelas Fouziah.


FOUZIAH mengakui menjadi buruan ramai pengarah filem tetapi dia lebih mengutamakan A. Razak Mohaideen.


Sentiasa dilihat dalam filem arahan Prof. Madya A. Razak Mohaideen, Fouziah tidak menafikan bahawa pengarah kelahiran Pulau Pinang itu mempunyai keutamaan tersendiri.

“Tidak dinafikan Prof. mempunyai kelebihan. Dia yang bertanggungjawab membawa saya memasuki industri. Jadi, saya ingin membalas jasa baiknya.

“Dulu saya tidak menyukai dunia lakonan dan hanya terlibat dengan pengiklanan. Tapi Prof. telah mendidik saya untuk menjadi seorang pelakon. Memang ada ramai pengarah yang mencari saya untuk berlakon tetapi saya utamakan Prof.

“Lagipun, jadual saya tidak berapa mengizinkan. Saya tidak mahu mengambil tawaran dengan mudah dan kemudian ia kelihatan bodoh. Dalam bulan ini sahaja saya sudah menolak tawaran berlakon tiga buah filem,” jelasnya yang baru menghabiskan penggambaran drama Ibu Ampunkan Aku.

Bakal memulakan penggambaran filem Rasuk pada bulan Oktober, pelakon berusia 27 tahun itu dirasakan memasuki industri hiburan pada usia yang lewat. Ini kerana pada usianya sekarang ini ramai yang melihat masa depan Fouziah untuk terus bertahan agak sukar memandangkan faktor kecantikan amat penting bagi penonton tempatan.

“Saya tidak rasa lambat tetapi itu semua adalah rezeki. Kalau rezeki saya dalam bidang ini sudah habis, saya sudah ada perancangan lain. Seperti semasa saya menjadi pramugari dulu, saya sudah meletakkan perancangan selama lima tahun.

“Bila habis kontrak, saya mula menjadi pelakon. Jadi selepas ini jika saya sudah tidak dikehendaki, saya akan memulakan perniagaan sendiri,” kata Fouziah yang merupakan kacukan Melayu-Cina.


FOUZIAH dan Jehan seronok bergandingan dalam filem Skrip 7707.


Merupakan seorang yang suka membuat perancangan, Fouziah kini sedang giat mengumpul wang untuk merealisasikan impiannya untuk menjadi usahawan.

Maka, adakah ini bermaksud Fouziah sendiri sudah bersedia untuk meninggalkan dunia lakonan? Atau dia sudah mempunyai perancangan untuk berhenti dalam masa terdekat?

“Selagi saya boleh kumpul duit dan selagi penonton masih mahu melihat saya, saya akan terus berlakon. Rasanya saya hanya akan berhenti jika saya berkahwin. Saya jenis orang yang pentingkan keluarga.

“Kalau sudah berkahwin sekalipun, saya masih akan terus menjaga keluarga saya. Lagipun, saya baru sahaja berlakon secara serius selama dua tahun. Maka, saya rasa saya masih akan terus mencuba nasib dalam dunia lakonan,” jawabnya yang mempunyai empat orang abang.


JEHAN melakonkan watak yang sangat kejam dalam Skrip 7707.


Menyentuh mengenai perkahwinan, Fouziah tanpa berselindung memberitahu bahawa dia memikirkan mengenai soal jodoh setiap hari.

“Jodoh saya belum sampai lagi. Bukannya saya terlalu memilih tetapi perkahwinan adalah satu ikatan suci untuk seumur hidup. Jadi saya perlu meneliti dengan berhati-hati.

“Saya juga tidak mempunyai sasaran bila untuk berkahwin. Kalau jumpa esok, saya boleh kahwin. Saya mahu menjadi seperti ibu saya yang kahwin masa muda. Bila saya sudah tua nanti, anak-anak saya boleh menjaga saya seperti apa yang saya lakukan sekarang.

“Ibu berkahwin semasa berusia 16 tahun dan kami rapat seperti kawan. Itu yang dikehendaki saya dan membuatkan saya turut mahu berkahwin awal,” tambahnya.

Skrip 7707 gabung 40 pelakon

Filem Skrip 7707 menggabungkan sembilan cerita pendek dalam sebuah filem. Disebabkan perlu menggunakan banyak kesan khas, filem itu baru sahaja disempurnakan selepas tiga tahun menjalani penggambaran.

Selain Fouziah, cerita seram itu yang dibintangi 40 pelakon menampilkan pelakon baru dan lama antaranya termasuklah Que Haidar, Almy Nadia, Kenchana Devi, Sharifah Shahirah, Ruminah Sidek, Jehan Miskin, Shahrul Nizam, M.Rajoli, Hafiz Nafiah, Ainul Aishah, Nirman KRU dan Maimon Mutalib.

Fouziah memegang watak sama dengan namanya sendiri iaitu Fouziahyang merupakan pembantu peribadi kepada watak lakonan Norman KRU. “Mereka sengaja memberikan nama yang sama kerana itu merupakan filem ketiga lakonan saya selepas Bujang Senang dan Rasukan Ablasa.

“Jadi dengan ini penonton boleh lebih mengenali saya. Ini sebenarnya salah satu cara untuk mempromosi diri saya,” kata Fouziah.


JEHAN, Fouziah dan Hafiz meraih pengalaman bermakna sebagai pelakon Skrip 7707.


Sementara bagi Jehan, filem itu merupakan yang ketujuh baginya dan dia berpeluang memegang watak jahat. Menerusi watak Bob, dia menjayakan peranan sebagai penarik kereta yang kejam.

“Disebabkan lakonan saya terlalu kejam dalam satu babak iaitu semasa saya memukul orang, ia terpaksa disunting. Tapi baru-baru ini saya dengar babak itu sudah dikembalikan,” jelas Jehan yang mengalami kecederaan kecil semasa penggambaran filem itu.

Salah satu daripada sembilan cerita dalam Skrip 7707 dilakonkan oleh Hafiz dan Ainul Aishah. Hafiz memberitahu dia bagaimanapun dapat merasakan kewujudan hantu di sisinya.

“Saya memang susah nak nampak hantu tapi saya boleh rasa. Tapi semasa rakaman dijalankan di tingkat dua sebuah hospital di Pudu, saya secara tidak sengaja boleh melihat hantu.

“Tingkat dua hospital itu memang tidak digunakan sama sekali. Maka semasa waktu rehat, saya menggunakan tandas dan telah ternampak salah seorang pelakon dalam tandas.

“Peliknya apabila saya keluar, pelakon itu berada di luar. Itulah pengalaman yang sedikit menakutkan saya,” ujar Hafiz yang turut membintangi filem Janin dan Rempit V3.

2 Comments leave one →
  1. jelita permalink
    17 June, 2009 am

    Org cantik tak pakai make up ke pakai ape pun dah mmg cantik..btl kan

  2. puteriaquarius81 permalink
    17 June, 2009 am

    btl btl btl

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: