Skip to content

Kagum ketabahan Sarimah

19 June, 2009

DI LUARNYA nampak tenang ibarat tiada apa-apa yang berlaku. Hakikatnya, penyanyi, aktres dan pengacara jelita tanah air, Maya Karin, 30, tidak terkecuali melahirkan kebimbangan terhadap situasi artis berkahwin dengan lelaki Inggeris yang akhirnya tidak berkekalan seperti dimahukan.



Perasaan kecut perut itu semakin memuncak apabila membaca berita terbaru sahabat artisnya, Sarimah Ibrahim, 31, yang diuji oleh Allah dengan perkara sama.

Tidak pernah meminta malah jauh sekali mengharapkan kesudahan yang tidak baik dalam ikatan kekeluargaan yang dibina, Maya sebaliknya risau dengan keadaan yang dilihat semakin menjadi-jadi itu.

Bagai satu ‘sumpahan’ yang tidak berupaya dielakkan apabila berkahwin dengan orang berbangsa asing!

Maya mendirikan rumah tangga dengan lelaki dari Liverpool, England iaitu Steven David Shorthose (Muhammad Ali Abdullah) dalam satu majlis di Villa La Corte del Lago di Bellagio, Itali, 15 Ogos tahun lalu.

Menurut Maya, hatinya tersentap tatkala membaca kisah perpisahan Sarimah dengan bekas suaminya, Amir Andrew Browning Abdullah, 38, yang disiarkan dengan meluas oleh media cetak dan elektronik beberapa minggu lalu.

“Saya terasa apabila mengetahui perkara ini dan turut menumpang simpati terhadap nasib yang berlaku ke atas rumah tangga Sarimah.

“Bahkan saya pantas berdoa agar perkara sama tidak terkena kepada saya. Kalau ada yang cakap saya tidak pernah risau dengan penceraian, memang tidak betul.

“Cuma saya harap Sarimah berada dalam keadaan baik sekarang dan menerima ketentuan ini dengan hati yang terbuka,” katanya ketika ditemui pada majlis Positively Nescafe With Maya Karin di Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pemilik nama penuh Maya Karin Roelcke itu bagaimanapun memuji sikap dan tindakan Sarimah yang bijak menangani kisah penceraian yang berlaku.

Masakan tidak, Sarimah tidak mudah beremosi apatah lagi untuk menjaja perihal penceraiannya kepada orang sekeliling sebelum perkara tersebut berjaya dihidu oleh pihak media.

Tenang sahaja wajah Sarimah meskipun dihimpit dugaan yang cukup ditakuti oleh setiap wanita yang bergelar isteri. Bahkan wanita itu tetap kelihatan ceria dan profesional sepanjang mengendalikan Diari Akademi Fantasia 7 (AF7) beberapa bulan lalu.


MAYA merancang untuk memperoleh zuriat sulung menjelang tahun depan.

Beritahu Maya, dia cukup mengagumi ketabahan Sarimah yang mengambil keputusan untuk berdiam diri terlebih dahulu sebelum meluahkan perasaan yang terbuku di hati.

“Ada kebaikan sebenarnya Sarimah menutup mulut untuk tempoh lima bulan sebelum memberitahu kepada masyarakat di luar sana.

“Lebih baik penceraian ini diselesaikan dengan cara yang baik daripada kita heboh-heboh kepada orang lain sampai timbulnya insiden yang berkaitan dengan gerak laku emosi.

“Contohnya sampai serang bekas suami atau isteri serta dengan bebas bercerita keburukan bekas pasangan masing-masing kepada umum tanpa batasan.

“Lebih baik kalau pasangan yang berpisah ini simpan segala masalah dan kenangan yang pernah mereka lalui sebelum ini tanpa diberitahu kepada orang ramai.

“Saya harap agar setiap pihak termasuk golongan artis yang mengalami keretakan rumah tangga atau penceraian dapat mengikut teladan yang dilakukan oleh Sarimah,” terang Maya sambil tersenyum manis.

Belum inginkan cahaya mata

Berbicara tentang mahligai rumah tangga yang dibina sekitar 10 bulan lalu, wanita berdarah campuran Jerman dan Melayu itu berkata, dia cuba untuk seimbangkan karier dan rumah tangga agar terus berada dalam keadaan harmoni tanpa mampu diganggu-gugat.

“Saya ada kerjaya sendiri dan suami juga begitu. Kami cukup serasi walaupun masing-masing datang dari dua dunia yang cukup berlainan.

“Biasanya kalau di rumah suami saya akan bercerita tentang kerja dan aktiviti sehariannya sekali gus saya juga tidak ketinggalan untuk bercakap soal karier seni sendiri.

“Kami akan berkongsi segala perkara yang menarik. Kalau berkesempatan dan setiap daripada kami tidak ada sebarang komitmen kerja maka kami akan pergi bercuti.

“Kali terakhir kami menghabiskan masa di Pulau Tioman sebulan yang lalu,” ungkap Maya yang jelas sedang mengalami fasa bahagia dengan suaminya yang kacak itu.


MAYA dan suami, Muhammad Ali kini masih belum puas menikmati bulan madu mereka.

Dalam pada itu, Maya tanpa berselindung memberitahu, dia masih belum puas menikmati bulan madu berdua-duaan dengan suaminya selepas mendirikan rumah tangga.

Lantaran itu, soal cahaya mata belum menjadi agenda terpenting kepada dirinya dan Steven. Itu jawab Maya yang ingin menumpukan sepenuh perhatian terlebih dahulu kepada suami tercinta dan kerjaya seni sebelum bergelar seorang ibu terhangat!

“Kami sudah berbincang hal anak dan telah mencapai kata sepakat untuk miliki cahaya mata dalam waktu beberapa tahun lagi.

“Saya ingin buat pelbagai benda dalam hidup sebelum menunaikan impian untuk ada anak sendiri bersama Steven.

“Rasanya tidak perlu tergesa-gesa dalam soal ini (anak). Perancangan awal sudah dibuat dan mungkin saya akan memiliki cahaya mata sendiri pada penghujung tahun 2010,” akui Maya sambil tergelak kecil.

Album tampil kelainan

Diam tak diam, sudah memasuki usia enam tahun Maya tidak menghasilkan album baru. Kali terakhir adalah album yang berjudul Bukan Qalamaya yang dibikin pada tahun 2003.

Enggan mensia-siakan bakat nyanyian yang ada, Maya kini meneruskan perjuangan untuk menghasilkan album ketiga yang dilihat bakal memperlihatkan kelainan ketara.

Album yang memuatkan sebanyak 10 buah lagu itu mendapat sentuhan daripada komposer popular, Audi Mok. Setakat ini sebanyak 50 peratus proses rakaman sudahpun diselesaikan.

“Kali pertama saya mendengar alunan lagu yang dicipta oleh Audi memang sudah membuatkan jiwa saya terpegun.

“Tidak dinafikan, berbagai-bagai perasaan muncul pada waktu itu. Terkejut, gembira dan teruja tatkala mendengar lagu-lagu tersebut yang saya anggap memang bersesuaian dengan saya.

“Bukan itu sahaja, album ini cukup penting dalam hidup saya kerana ia menonjolkan pembaharuan muzik berbanding karya-karya stereotaip yang sedia ada di Malaysia.

“Lagu-lagu yang terdapat dalam album ini bakal kedengaran segar dan memikat hati kerana saya sudah melakukan pemerhatian terhadap muzik yang disampaikan oleh penggiat seni tempatan dan antarabangsa.

“Adakalanya lagu-lagu yang terdapat di negara luar bunyinya sedikit pelik tetapi kita di sini masih boleh menerima karya yang mereka hasilkan tanpa sebarang keraguan.

“Oleh itu saya mahu tampilkan kelainan yang mampu menambat hati pendengar bukan sahaja orang Melayu sebaliknya kepada bangsa lain.

“Saya sendiri tidak sabar-sabar lagi untuk punya album baru. Harap ia dapat dilancarkan secepat yang mungkin. Tetapi janganlah pula harapkan album ini akan keluar dalam masa enam bulan lagi.

“Banyak lagi perkara yang perlu dilakukan sebelum ia benar-benar boleh berada di pasaran dan menemui peminat,” jawabnya dalam nada teruja.

Maya berharap agar album ketiganya itu mampu menarik minat pendengar sekali gus dapat dilabel sebagai karya yang bermutu dan mencapai piawaian tersendiri.

Populariti masih di atas

Sudah menjadi lumrah apabila selebriti baik lelaki mahupun wanita yang sudah mendirikan rumah tangga akan mengalami ‘sindrom’ hilang populariti.

Maya bagaimanapun mengaku cukup bersyukur apabila rezekinya dalam dunia seni masih belum menunjukkan tanda mahu merudum atau tergelincir sedikit daripada landasannya walaupun sudah bergelar isteri orang.

Lihat sahajalah nama Maya yang terus mengharum dalam persada seni tempatan. Bahkan dia terus menjadi buruan pengarah yang ingin meletakkan wanita berkulit hitam manis itu dalam drama atau filem produksi kepunyaan mereka.


REZEKI Maya sebagai duta produk tidak pernah putus.

Wanita yang dilahirkan pada 29 Oktober 1979 itu dengan perasaan rendah diri memberitahu, dia juga tidak menyangka penerimaan peminat terhadap dirinya masih sama walaupun sudah mendirikan rumah tangga.

“Sebelum ini saya dengar orang cakap kalau artis yang sudah berkahwin akan hilang peminat dan tidak lagi popular ibarat zaman solonya.

“Alhamdulillah, keadaan ini tidak berlaku kepada saya. Orang di sekeliling juga tanpa pernah mengenal erti jemu terus menyokong apa jua yang saya lakukan.

“Saya menilaikan diri dalam cabang seni dengan menjual bakat yang dikurniakan Tuhan. Saya tidak mengamalkan sikap ‘menjual’ diri dengan pakai seksi dan menjaja kisah peribadi.

“Kalau seseorang artis ini sudah memiliki pakej yang lengkap iaitu aura dan kejelitaan maka mereka tidak perlu risau dengan masalah kejatuhan populariti.

“Asalkan kita ikhlas melakukan kerja yang diamanahkan, saya percaya peminat tidak akan berganjak dan terus menyokong artis kegemaran mereka tanpa memandang faktor lain,” luah Maya yang bakal muncul dengan filem berjudul Pisau Cukur 15 November nanti.

Dalam pada itu, Maya baru sahaja mengikat kontrak selama setahun bermula Mac lalu sebagai jurucakap Nescafe untuk Nestle (Malaysia) Berhad.

“Saya terharu apabila diberikan peluang untuk menjadi duta produk Nescafe ditambah saya sendiri merupakan penggemar minuman jenama ini sejak beberapa tahun lalu.

“Terus-terang, saya memerlukan minuman ibarat Nescafe kerana ia memberikan tenaga dan kesegaran kepada saya yang sentiasa dibayangi kesibukan kerja,” akhiri Maya.

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: