Skip to content

Akhirnya Sudirman dihargai

20 June, 2009

Sudirman yang diwakili kakaknya, Datin Rodziah Arshad menerima pengurniaan itu sempena ulang tahun Hari Keputeraan ke-78 baginda di Balairung Seri, Istana Abu Bakar, Pekan, kelmarin.

SELEPAS beberapa artis tanah air dikurniakan gelaran Datuk, kini giliran Allahyarham Sudirman Haji Arshad pula. Selepas 17 tahun meninggal dunia, penghibur serba boleh itu dikurniakan Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP ) yang membawa gelaran Datuk.

Apapun, Sudirman memang layak menerima anugerah berkenaan.

Sebagai penyanyi nombor satu Asia, siapa yang tidak kenal dan menyukai lagu Sudirman.

Karya yang boleh dikatakan penuh dengan mesej dan pengalaman menjadikan Sudirman segar di ingatan peminat walaupun kini dia hanya dalam kenangan.

Bagi penulis lirik dan penerbit filem terkenal, Habsah Hassan, Sudirman memang wajar menerima gelaran berkenaan.

Namun, ia agak terlewat untuknya kerana dia lebih dulu menyahut panggilan Ilahi pada 22 Februari 1992.

Bagaimanapun, itu satu penghargaan besar terhadap jasanya.

“Sebagai sahabatnya, saya tumpang gembira atas penganugerahan itu.

“Secara tidak langsung, pembabitan Allahyarham dalam industri seni tanah air suatu ketika dulu masih diingati dan dihargai. Sayangnya, Allahyarham sudah pergi terlalu lama.

“Saya benar-benar rasa terharu. Tidak sangka, penat-lelah Sudirman selama ini yang pernah menghiburkan orang ramai tidak sesekali dilupakan. Bagi saya, anugerah itu bukan saja lebih bermakna untuk peminat Sudirman, tetapi buat keluarganya.

“Sejak kembalinya Sudirman ke hadrat Ilahi, pastinya ia satu memori besar yang tidak dapat dilupakan keluarga serta peminat setianya. Jadi, dengan adanya anugerah diterima itu boleh dikatakan satu ‘bonus’ untuk diwarisi keluarga Allahyarham,” katanya.

Bagaimanapun, Habsah, yang cukup mengenali Sudirman, menegaskan selagi orang ramai mengingati Sudirman dan jasanya, maka itu juga penghargaan sangat besar buat Allahyarham.

Menurutnya, kenangan yang ditinggalkan Sudirman takkan pernah hilang.

Seorang lagi sahabat baik Allahyarham, Noorkumalasari ketika dihubungi semalam, enggan memberi komen mengenai penghargaan itu.

Katanya, tiada apa lagi yang hendak dikatakan. Jika ia sudah diberi, apa salahnya menerima.

“Memandangkan Allahyarham Sudirman sudah tiada, saya tidak mahu komen apa-apa. Lagipun, kata orang tidak baik mereka yang sudah meninggal dunia disebut-sebut selalu. “Arwah akan sedih dan lebih baik hulurkan doa buatnya,” katanya.

Penyanyi yang popular dengan lagu Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu, Ramlah Ram berkata, selayaknya Sudirman menerima gelaran berkenaan.

Menurut Ramlah, sebagai penghibur serba boleh dia sangat mengingati Allahyarham yang baik hati.

“Sekalipun saya tidak dapat mengenalinya dengan lebih lama, Sudirman ialah artis yang suka memberikan semangat kepada rakan lain.

“Macam saya dulu, tidak yakin untuk membuat persembahan, tetapi Allahyarham sedia membantu.

“Disebabkan saya masih baru, apa yang dilakukannya sangat membantu. Allahyarham juga tidak pernah berasakan dirinya hebat.

“Sikap merendah dirinya dan tidak sombong membuatkan saya begitu menghormati Allahyarham hingga kini. Dia (Allahyarham) istimewa,” katanya.

Menurut Ramlah, jasa Sudirman pada industri seni memang tidak boleh dipersoalkan sesiapa.

Bayangkan, lagu-lagunya sampai sekarang masih diingati generasi muda.

Hakikatnya, mereka tidak pernah kenal atau bersua dengan Sudirman.

Penyanyi dan ahli perniagaan e-dagang, ND Lala atau Amir Hamzah Salleh berkata, sebagai anak seni sememangnya tiada apa diinginkan ketika berkarya.

Paling penting ketika itu adalah dapat menghiburkan peminat dan karya dihasilkan diterima.

“Justeru, sama ada dapat anugerah atau tidak, itu bukan persoalannya. Jadi, dalam soal ini istilah dapat anugerah awal atau tidak, usah diperkata. Apa yang utama, impak kepada pendengar yang membuatkan lagu dinyanyikan artis itu kekal diingati dan disukai.

“Begitulah yang berlaku kepada Allahyarham Sudirman. “Secara peribadi, pada saya Sudirman bukan hanya penghibur, tetapi individu yang memberi inspirasi. Lihat saja pada lagu-lagunya yang penuh dengan mesej seperti patriotik, cinta dan komedi,” katanya.

Kata ND Lala lagi, personaliti Sudirman yang hebat itu memang wajar bagi Allahyarham dianugerahkan Datuk walaupun sudah meninggal dunia.

Dalam soal ini, kita sendiri boleh lihat betapa lagu-lagu Sudirman diminati pelbagai lapisan usia daripada kanak-kanak hingga dewasa.

>Profil

NAMA: Sudirman Haji Arshad

TARIKH LAHIR: 25 Mei 1954

ASAL: Temerloh, Pahang

KARIER: Penyanyi, pelakon, penulis dan peguam

KELUARGA: Anak bongsu daripada enam beradik

PENDIDIKAN: Ijazah Undang-Undang Universiti Malaya

BAPA: Arshad Hassan

IBU: Ramlah Dahlan

MENINGGAL DUNIA: 22 Februari 1992

PENCAPAIAN: Antaranya, Penghibur TV Terbaik, Anugerah Seri Angkasa, RTM 1978, Persembahan Terbaik Anugerah Juara Lagu TV3 1987, Penyanyi Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 1989 dan Penghibur Nombor Satu Asia 1989

ANUGERAH: Ahli Mangku Negara daripada Yang di-Pertuan Agong 1988, Ahli Mahkota Pahang daripada Sultan Pahang 1990, Johan Mangku Negara daripada Yang di-Pertuan Agong 1992 dan Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang daripada Sultan Pahang (2009)

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: