Skip to content

Nabila tidak praktik selalu berkepit dengan suami

20 June, 2009

LAGU ‘X-Ray’ nyanyian Nabila Huda kini semakin kerap berkumandang di corong-corong radio sekali gus menaikkan popularitinya dalam industri hiburan.

Nabila Huda. – foto MSTAR

Biarpun lagu tersebut berjaya menaikkan namanya dalam bidang nyanyian, anak kepada penyanyi rock terkenal Amy Search ini merasakan dirinya masih tidak mempunyai bakat nyanyian yang sama seperti ayahnya.

Dalam erti kata lain, Nabila mengaku dirinya tidak mampu untuk menjadi pengganti ayahnya dalam bidang nyanyian meskipun pepatah Melayu ada menyebut “bapa borek, anak rintik”.

“Memang kami berdua berdarah seni, tapi saya masih tak dapat memiliki bakat nyanyian seperti ayah saya kerana pada saya minat saya lebih kepada lakonan dan saya memang tidak sehebat ayah saya.

“Darah kami sama-sama berseni, tetapi aliran lain-lain,” kata Nabila ketika ditemui di Rumah Terbuka “Media Prima TV Networks Raya Screenings 2009” yang bertempat di Sunway Hotel & Spa kelmarin.

Nabila memberitahu, bidang nyanyian memang merupakan satu bidang yang menyeronokkan tetapi kesibukannya dalam menyelesaikan pelbagai urusan juga menghadkan dirinya untuk terus menyanyi.

“Bila dah terlalu sibuk menyanyi pun saya tiada masa, tetapi sekiranya saya ada menerima undangan nyanyian saya akan buat persembahan. Saya juga sedang mengambil masa untuk lebih memahami muzik secara mendalam.

“Jika melibatkan bidang nyanyian, ayah ialah tempat rujukan saya. Saya sering mendapatkan khidmat nasihat dan pendapat ayah dalam bidang nyanyian. Ayah banyak membantu saya,” akui Nabila.

Pun begitu, Nabila mengakui fokusnya adalah lebih kepada bidang lakonan. “Lagipun saya sangat meminati bidang lakonan dan telah berlakon selama 10 tahun,” kata pelakon berusia 24 tahun ini.

Sesungguhnya, Nabila memang bertuah kerana mempunyai bapa yang memberi ruang luas untuk dirinya mengembangkan potensi dan bakat semulajadi.

Tidak praktik untuk selalu berkepit

Walaupun telah mendirikan rumahtangga dengan suaminya Zaidy Zailani, Nabila menganggap perkahwinan bukan halangan untuk dia terus aktif kerana mereka berdua saling memahami dan tidak mempraktikkan untuk sentiasa berkepit.

“Kami membiasakan diri kami untuk tidak selalu berkepit kalau nak ke mana-mana sebab kalau dah asyik berkepit je nanti bosan pulak,” ujar Nabila sambil ketawa.

Menurut Nabila juga, biarpun jadual hariannya sentiasa padat Nabila tetap akan cuba untuk pulang ke rumah dan masih ada masa untuk suaminya.

“Mula-mula kahwin tu, memang seronok dapat tinggal bersama, buat segalanya bersama tetapi bila dah sibuk ni jadi agak terbatas. Saya cuma ‘balance’ kan antara rumahtangga dan lakonan tetapi gembira dengan apa yang saya lakukan dan saya sentiasa hargai masa yang kami ada bersama.

“Saya akan kerja selagi mampu dan hingga kini kami masih tidak ada masalah keluarga,” katanya.

Mengimbau perjalanan kisah cinta, menurut Nabila, dia dan suaminya telah kenal sejak mereka berumur 19 tahun lagi dan sehingga kini setelah menjadi suami isteri mereka benar-benar memahami antara satu sama lain.

Kesibukan Nabila juga membuatkan pasangan ini masih tidak berkesempatan untuk berbulan madu dan mempunyai anak.

“Kami tidak ada sebarang perancangan untuk dapat anak, kami lebih berserah pada rezeki. Kalau ada rezeki kami adalah kami anak nanti, Insyaalah.

“Untuk bulan madu, bila ada kesempatan nanti kami merancang untuk pergi ke tempat kesukaan saya semestinya Bali, tetapi kami rancang nak pergi ramai-ramai dengan kawan-kawan kami,” kata Nabila.

Nabila kini sedang sibuk menjalani rakaman untuk rancangan 1,2 jus yang akan dijalankan selama tujuh hari dan Nabila juga akan menjalani pengambaran untuk drama raya ‘Cili Padi Cili Kering.

Pada 26 Jun ini, Nabila akan menjalani pengambaran selama 4 hari untuk drama ‘Hantu Raya’ dan Nabila memegang watak sebagai cucu kepada hantu raya.

Nabila juga sibuk mambantu ayahnya dalam konsert jelajah Search yang telah pun menjelajah ke Pulau Pinang, Johor dan Jengka.

“Saya membantu ayah saya dalam konsert ini dengan menjadi pengacara konsert ini dan jelajah seterusnya masih belum diketahui lagi.

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: