Skip to content

Cinta hati Nurul

21 June, 2009

Pengacara Majalah 3, Nurul Syuhadah Nurul Ain Mohd Zin, mengakui hakikat yang dirinya kini dikenali ramai melalui program kendaliannya yang mampu dianggap antara program terbaik TV3.

POPULARITI dan tempias publisiti, baik positif atau kontroversi, tidak hanya menjurus kepada artis semata-mata. Personaliti TV juga antara yang dilabelkan sebagai selebriti, terutama bila mata masyarakat memberi perhatian sehingga bahang glamor turut dirasai.


Selepas hampir dua tahun mengacarakan program yang sentiasa lahir dengan paparan menarik itu, Nurul menganggap dirinya bertuah diberi platform sempurna bagi melonjakkan namanya di persada dunia penyiaran.

“Nurul melihat kerjaya sebagai wartawan penyiaran dan bidang pengacaraan ini sebagai satu perspektif positif yang mencabar dan segar.

“Namun tidak saya nafikan, apabila muncul di TV, kita mula dikenali dan segala cerita atau perkembangan mengenai diri akan menjadi bahan tatapan awam.

“Apapun, saya seboleh-bolehnya cuba menapis dan menyekat kisah peribadi untuk digembar-gemburkan berbanding soal kerjaya,” katanya yang juga juara Malaysian Top Host empat tahun lalu kelolaan stesen berkenaan.

Mengintai daripada aspek personaliti peribadi, kisah Nurul yang dikaitkan dengan bakal angkasawan kedua negara, Mejar Dr Faiz Khaleed bukan perkara asing dalam bualan umum.

Malah, bekas pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Marin dari Universiti Malaysia Terengganu ini tidak dapat menyorok lagi daripada media apabila gambar ‘candid’ kemesraan mereka tersebar luas di Internet.

Mahu atau tidak, mereka perlu berdepan dengan alasan yang selari dan konkrit bagi mengelak sebarang isu atau kontroversi yang berbangkit.

“Saya tidak pernah menafikan atau mengiakan, sebaliknya saya akui memang saya berkawan dengan dia (Dr Faiz) sejak lebih setahun lalu.

“Bagaimanapun, kami ada alasan tersendiri untuk tidak terus mendedahkan perihal berkaitan hubungan kami yang sebenar kerana ia membabitkan banyak pihak seperti keluarga, majikan kerja serta Dr Faiz sebagai kakitangan kerajaan.

“Malah, kini dia mula dikenali sebagai ikon remaja, jadi kami tidak mahu terburu-buru berkongsi kisah hubungan ini selagi tiada kata putus antara kami berdua,” katanya tersenyum sebaik diajukan soalan ini.

Nurul yang sebelum ini pernah mengacara program majalah wanita popular, Nona, turut mengakui hubungannya dengan Dr Faiz semakin akrab memandangkan keserasian dan persefahaman antara mereka kian kelihatan.

Antara mereka masih dalam proses permulaan dan mengenali hati budi masing-masing. Namun hakikat atau jawapan sama ada untuk menutup cerita sebenar atau benar-benar jujur berdasarkan segala kenyataan gadis berkulit cerah ini, hanya dalam benak fikirannya.

“Sejujurnya, antara kami masih tidak merancang atau membuat sebarang persediaan untuk mendirikan rumah tangga seperti yang hangat diperkatakan sekarang.

“Ini disebabkan faktor masa dan ruang bersama berikutan jadual kerja kami yang terlalu padat dan komitmen terhadap syarikat yang perlu didahulukan,” katanya lagi sambil menafikan isu pertunangan dan kononnya akan mengikut Dr Faiz terbang ke Amerika Syarikat untuk meneruskan pengajian sebaik berkahwin sebagaimana digemburkan melalui Internet.

“Kami cukup profesional dan matang untuk menilai erti sebuah hubungan. Ia tidak perlu disorok atau ditutup semata-mata untuk menjaga hati sesetengah pihak.

“Jadi jika satu hari nanti kami bersedia dan berfikir ke arah lebih serius, pasti kami akan tampil tanpa rahsia,” sambungnya.

Bercerita mengenai detik pengenalan mereka, jelas gadis yang menganggap transisi pengetahuannya yang langsung tiada asas dalam bidang kewartawanan sehingga secekap kini adalah diasah melalui Nona dan Majalah 3 ini, lebih mengukir senyuman daripada berkata-kata.

Mereka berkenalan ketika Nurul ditugaskan untuk membuat liputan pelancaran program angkasa lepas di Russia, yang mana Dr Faiz terbabit sebagai angkasawan negara bersama Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor.

Perkenalan itu akhirnya merapatkan dua hati sejurus pulang ke tanah air. Sehingga kini, baik Nurul mahupun Dr Faiz mengakui keserasian mereka menjadi penguat untuk lebih rapat dan seterusnya menjalin hubungan cinta.

“Saya menghormati kerja dan dirinya, begitu juga Dr Faiz yang sangat memahami tugas saya sebagai wartawan dan sikap itu membuatkan saya gembira untuk terus bersamanya.

“Malah dia sangat relevan, bertimbang rasa serta bijak dan faktor itu perlu ada untuk terus bersama dan sentiasa selesa dalam hubungan,” katanya sambil mengakui keluarga pihaknya merestui hubungan mereka.

“Setiap wanita inginkan kebahagiaan dan pastinya gerbang perkahwinan ibarat destinasi akhir yang penuh warna, begitu juga diri saya yang sentiasa mendoakan yang baik dalam hubungan kami. Namun soal bagaimana dan bila ia berlaku, saya serahkan pada jodoh dan masa yang menentukannya,” katanya.

Tiada teka-teki atau persoalan lagi dalam setiap kenyataan Nurul kerana gadis kelahiran Johor Bahru ini semakin yakin untuk berbicara mengenai masa depan dan kisah cintanya.

Setiap permintaan perlu diiringi doa sebagai penguat, begitu juga lembaran pengakhiran sebuah episod cinta mereka yang semakin hampir.

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: