Skip to content

Ning kini berdikari

21 June, 2009

HAMPIR lapan bulan mengurus kerjaya sendiri, banyak perkara dipelajari Ning Baizura. Penyanyi tersohor ini bukan lagi si manja yang menanti diurus, sebaliknya dia semakin bijak menyusun karier dan berurusan dengan orang sekeliling.



Si cantik ini juga semakin pintar mengintai peluang perniagaan menerusi syarikatnya, HappenNings M Sdn Bhd (HMSB). Itu antara rahmat dinikmati Ning apabila berpisah dengan pengurusan lama yang mengendalikan kerjayanya kira-kira tujuh tahun.

Jika dulu dia hanya risaukan persembahan pentas, pakaian dan imej, kini lebih daripada itu semua dilakukan sendiri, termasuk mencari show dan kontrak.

Pada awal percubaan, ada perasaan bimbang di hatinya, namun lebih 17 tahun dalam industri banyak membantu. Sokongan serta bimbingan ibu dan suami tercinta turut menyuntik keyakinan dia mampu memikul tanggung jawab itu.

“Banyak rahmat yang Ning nampak selepas menguruskan diri sendiri. Paling ketara, Ning semakin pandai mengatur masa. Selepas bangun tidur, Ning peruntukkan kira-kira dua jam bermula 9 pagi untuk melihat dan menjawab e-mel. Tengah hari pula Ning peruntukkan untuk sesi fotografi bersama media.

“Persembahan pula biasanya petang dan malam. Biasanya show habis awal, jam 11 malam Ning sudah ada di rumah. Mujur Ning ada pemandu, jadi ada lebih masa buat kerja di atas kereta.

“Mulanya risau juga, tapi bila dapat membiasakan diri, Ning rasa sangat seronok. Mungkin tak ramai artis senior seperti Ning mahu mengendalikan kerja sendiri.

“Hakikatnya, pendedahan sebegini menjadikan Ning serba boleh dan lebih memahami selok-belok perniagaan dunia seni.

“Rugi rasanya jika tidak menggunakan ilmu ini sebaik mungkin, lagipun saya bukan artis baru, jadi kenalah pandai gunakan nama bagi mengembangkan perniagaan.

“Tak selamanya Ning akan menyanyi, mungkin satu hari nanti akan buka syarikat penerbitan. Ini menjadi permulaan baik untuk Ning belajar,” katanya.

Jelas Ning, HMSB bukan saja bertanggungjawab menguruskan kerjayanya, tetapi turut menyediakan khidmat pengurusan kepada syarikat korporat yang berminat bekerjasama dengannya.

“Alhamdulillah, rezeki semakin murah, malah ramai mencari Ning selepas mengetahui Ning tidak lagi bersama pengurusan lama. Malah, Ning semakin hampir dengan peminat apabila dapat berhubung terus dengan mereka. Boleh dikatakan setiap hari Ning berkomunikasi dengan peminat di Internet.

“Ning bertuah kerana ibu dan suami banyak membimbing saya. Dulu orang ingat Omar mahu menguruskan kerjaya Ning, tetapi apa yang mereka fikir itu tidak benar. Dia pun ada kerja tetap dan hanya sekadar membantu Ning. Insya-Allah bila perniagaan Ning semakin kukuh, dia akan bantu Ning,” katanya yang sentiasa berpegang teguh dengan pesanan ibu supaya ingat akar umbi dan jangan sesekali lupa diri.

Mengulas perkembangan terkininya, Ning melahirkan perasaan gembira apabila dilantik menjadi duta kepada tiga produk iaitu Osim, Instead Soft Cup (produk wanita yang boleh menggantikan tuala wanita) dan satu produk kecantikan yang masih dirahsiakan atas permintaan syarikat berkenaan.

“Ini yang dikatakan rezeki datang bergolek. Mungkin sekarang mereka (syarikat yang berminat bekerjasama dengannya) lebih mudah mendekati saya. Dengan hanya satu panggilan, diteruskan dengan perbincangan. Perjalanan kerja pun mudah, malah permintaan saya berpatutan.

“Bermula 1 Mei lalu, Ning secara rasmi dilantik menjadi jurucakap Osim. Syarikat ini mahu menembusi pasaran Melayu dan saya sangat berbangga apabila menjadi artis Melayu pertama mengetengahkan produk ini.

“Sebagai duta, saya akan terbabit dalam jelajah promosi Osim di beberapa bandar utama. Pagi ini misalnya, Ning akan bertemu peminat di Seberang Prai dan sebelah petang pula bergegas ke Bukit Raja, Klang.

“Saya turut dilantik menjadi jurucakap produk wanita dari Hong Kong, yang dikenali sebagai Instead Soft Cup. Dengan adanya produk ini, wanita ada pilihan jika tidak mahu memakai tuala wanita. Sebelum menandatangani kontrak, saya mencuba produk ini selama tiga bulan dan terbukti ia sangat berkesan. Ia boleh dipakai hingga 12 jam tanpa perlu ditukar.

“Ia sangat sesuai untuk mereka yang suka melakukan aktiviti lasak, malah ia dapat mengurangkan masalah senggugut ketika datang bulan. Buat masa ini produk ini dijual di Watson,” katanya.

Sambung Ning, dia terharu apabila sebuah produk kecantikan sudah lama mengintai peluang menjalin kerjasama dan mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk bertemu dengannya.

“Ning baru saja pulang daripada penggambaran iklan produk itu di Bangkok. Ning berpeluang melihat cara kerja pengarah dan kru Thailand. Mereka sangat profesional dan sentiasa menepati masa.

“Ning sangat kagum melihat hasil teknik pencahayaan mereka yang sangat cantik dan teliti. Sepanjang lima hari di negara itu, Ning memulakan kerja seawal jam 7 pagi dan tamat kira-kira jam 4 petang. Meskipun jadual ketat, Ning sempat bersiar-siar di kawasan berdekatan.

“Nampak gayanya tiga iklan Ning akan muncul di TV. Instead Soft Cup sudah dimainkan di ntv7, Osim pula penghujung tahun dan produk kecantikan kemungkinan besar Ogos ini,” katanya yang akan mengadakan konsert jelajah HappenNing ke seluruh negara selepas sambutan Aidilfitri.

Sebelum itu, Ning terbang ke Jakarta untuk menjayakan majlis pelancaran butik Jovian Mandagie, Socialite Butik. Ning diangkat sebagai ikon Jovian dan lebih menggembirakan, wajahnya terpampang di dua papan tanda gergasi.

“Butik ini adalah milik bersama Jovian dan usahawanita berjaya negara itu, Nia Ghazfan. Ning sangat terharu apabila Jovian mengundang Ning sebagai ikon butiknya.

“Usahasama ini secara tidak langsung membuka lebih peluang kepada Ning untuk melebarkan sayap di negara seberang. Selain mempamerkan aneka koleksi fesyen terkini ciptaannya, Jovian melancarkan buku Songket Couture yang berharga RM500 dan hanya dijual di sana.

“Dalam majlis yang dihadiri golongan korporat itu, Ning menyampaikan tiga lagu iaitu Listen, Aku Cinta Padamu dan Awan Yang Terpilu,” katanya yang akan muncul dengan album baru November depan.

Selain itu peminat aktiviti selam skuba ini turut menyertai badan NGO, Reef Check, yang bertanggungjawab menjalankan kerja-kerja pemuliharaan hidupan laut.

Tanggal 29 Jun ini badan itu akan melancarkan buku fotografi bawah laut dan mengumumkan Ning sebagai duta.

“Saya buat kerja ini secara amal. Misi saya adalah mencari lebih ramai sukarelawan, khususnya selebriti yang berminat mempelajari cara menjaga hidupan laun, bagaimana menjaga batu karang dan mengawal habitat hidupan laut.

“Ada banyak aktiviti menarik jika menyertai badan ini. Bukan saja berpeluang melakukan selam skuba dan melihat hidupan laut, tetapi juga dapat merehatkan fikiran.

“Negara kita ada banyak pulau cantik tetapi tidak ramai tahu memelihara anugerah ini. Diharap dengan adanya badan ini, kita dapat sama-sama menjaga keindahan laut, sekali gus mengekalkan habitat hidupan marin.

“Saya sangat sedih bila melihat kuda laut dan sirip ikan jerung dijual di pasar basah di sekitar Kota Kinabalu. Masyarakat di sana menganggap perkara ini sebagai sesuatu yang biasa, tapi bagi saya ia sangat kejam.

“Tidak seharusnya perkara ini dibiarkan jika kita mahu mengekalkan habitat laut,” katanya yang menjemput peminat menonton rakaman program Jangan Tidur Lagi bersamanya di bangunan ntv7, Shah Alam pada 24 Jun ini.

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: