Skip to content

Kamal lelaki tidak normal

22 June, 2009

Melihat senyuman pelakon baru ini, Kamal Adli, 22, saya terbayangkan senyuman penyanyi antarabangsa, Madonna. Seperkara yang menyamakan kedua-duanya adalah jarak gigi mereka. Mungkin itulah yang membuatkan mereka kelihatan manis dan punya identiti sendiri, malah mungkin juga faktor rezeki.



Terlekat bunyi-bunyi slanga Pahang sewaktu berbicara, anak kelahiran Pekan ini seakan-akan hadir secara diam dan kemudian membuat satu letupan dengan kemunculan siang dan malam di kaca televisyen dengan cara luar biasa.

Dia menjadi lelaki atau lebih tepat manusia bukan normal untuk tatapan khalayak.

Tiba-tiba ramai orang bercakap tentang Kamal Si Mawas atau Kamal Si Bio-Nik, impak dua buah siri televisyennya yang muncul serentak dan menjadi santapan ramai ketika ini.



Dua watak yang tidak wujud di alam nyata tetapi Kamal membawanya seolah-olah ia sebenarnya ada.

Dalam siri Zati & Si Mawas, Kamal menjadi mawas yang berbulu lebat manakala dalam Bio-Nik, Kamal bertukar menjadi superhero atau adiwira separuh manusia separuh robot.

“Terdetik juga dalam fikiran saya yang kini saya bawakan dua watak yang lain daripada yang lain. Satu watak di dalam badan ada besi manakala yang satu lagi menjadi manusia berbulu lebat. Saya anggap ini rezeki.”

Berkongsi pengalaman membawa dua watak utama dan terus dikenali malah menjadi chick magnet, dia menyatakan rasa seksanya bergelar manusia tidak normal.

“Melalui watak Nik dalam Bio-Nik, saya kena jadi robot, jadi cara duduk pun berbeza. Tidak boleh membongkokkan badan. Stunt juga saya buat sendiri. Watak Nik perlukan emosi. Itu menyebabkan sedikit tekanan tapi saya suka.

“Mawas pula membuatkan saya sukar untuk bernafas dalam kostum berbulu. Saya perlu memberi emosi yang berlebihan agar dalam kostum juga penyampaian saya dirasai oleh penonton. Gerak badan dan nada suara perlu betul,” ujarnya yang merupakan pelajar bidang penyiaran di Institut Media Integratif Malaysia (MIIM).

Impak watak utama

Dia sendiri malah merasa impak dua watak tersebut. “Saya dapat dua reaksi sekali gus dalam satu masa. Kebanyakannya memang positif. Lucu juga apabila saya didatangi kanak-kanak yang menyuruh saya membengkokkan besi kerana mereka percaya saya adalah manusia bionik di alam realiti.”



Sambungnya lagi: “Mak cik- mak cik pula ramai yang panggil saya Mawas dan tanya pasal bulu-bulu di badan saya. Ada juga kanak-kanak yang takut menghampiri saya dan menangis kerana fikirkan saya seekor Mawas.”

Kamal nyata bersyukur dengan reaksi yang tercetus hasil daripada dua lakonannya sebagai watak utama itu.

Namun di sudut hati paling jauh dia juga mengharapkan cerita cintanya dengan pelakon cantik, Intan Ladyana berlalu dibawa angin. Akibat terlalu banyak melihat kisah ‘cinta’ mereka terpampang di sana-sini, Kamal sudah malas membawa bahan bacaan berkisar dirinya.

“Pernah dalam masa dua minggu berturut-turut, kisah saya dan Intan sahaja. Saya jadi malas membacanya,” katanya tanpa berselindung.

Kamal juga menegaskan dia memang sangat rapat dengan Intan. Bertentang mata hampir setiap hari untuk tempoh empat bulan di set Bio-Nik, mana mungkin mengingkarkan persahabatan dan hubungan baik untuk terjalin.

Baru 9 bulan berlakon

Kamal bermula dengan menjadi Hero Remaja 2007/2008 untuk sebuah majalah. Itu asas yang kuat untuknya bergerak dalam bidang yang mahu diceburinya iaitu pengacaraan.

Menjual wajah dan gelaran hero, rezekinya terbuka dengan bermula sebagai pengacara bagi sebuah program rancangan pengembaraan televisyen, Pandanganku Ceritaku, terbitan Sony. Ia mengambil beberapa tempat di Jepun sebagai lokasi penggambaran.



Jujurnya, bidang lakonan memang dilakukan secara bidan terjun dan tak terjangkau dek akalnya dia bergelar pelakon, apatah lagi pelakon utama.

“Saya sebenarnya memang sasar untuk menjadi hos. Itu niat utama saya. Secara tak sengaja apabila saya pergi uji bakat di Red Communication, saya mendapat peluang berlakon untuk siri Impian Sunsilk. Ini diikuti dengan siri Renjis bersama Elyana.”

Baru sembilan bulan bergelar pelakon, Kamal tidak terkecuali merasa kejutan. “Saya akui komunikasi saya masih lemah. Sedikit pemalu sebenarnya.


“Saya jenis yang tidak pandai menegur orang, memulakan perbualan atau ‘menjual diri’. Lalu ada orang kata saya sombong. Orang perlu kenal saya dahulu. Di sebalik malu-malu saya, kalau sudah kenal, saya jenis yang tidak boleh senyap.

“Saya juga akui saya terkejut dengan gosip dan mata khalayak yang memerhati saya. Orang mahu tahu tentang saya. Itu pelik. Tapi saya fikir kembali, bila orang ambil tahu maksudnya orang tahu akan kewujudan saya dalam bidang seni.

“Memikirkan itu, saya rasa saya sangat bertuah,” ungkapnya yang banyak belajar lakonan melalui pemerhatian terhadap karakter orang.

Superhero Malaya masih terkejut

Tidak keterlaluan jika ditafsir bahawa Kamal Adli sudah dapat bayangan menjadi superhero Malaya. Dengan dua watak kuat yang berbeza zahir dan pengaliran emosinya, dia menyerlah dalam sekelip mata.

Lalu saya tanyakan dia bagaimana jika dia dilihat membawa gelaran itu. Apatah lagi, pada musim kedua drama bersiri televisyen pertama terbitan KRU Studios, Bio-Nik kelak dia akan menyarungkan kostum adiwira.


Dia ketawa. Jawapannya sentiasa mengalir dengan perkataan ‘entahlah’. Bukan tidak yakin tetapi dia masih mengalami kejutan dengan pemerhatian para karyawan dan peminat.

“Tidak tahu mahu komen. Tapi saya sangat bersyukur dengan impaknya. Banyak yang perlu saya pelajari. Jika disebut superhero, saya tidak ada komen,” ujarnya.

Bila ditanya siapakah adiwira yang difantasikan menjadi dirinya, jawab Kamal: “Superman sebab boleh terbang. Tidak perlu susah-susah membayar duit petrol. Juga boleh lepak atas awan,” jawabnya melucu mengakhiri sesi temu ramah dan kemudian bergaya dengan mudah di hadapan kamera.

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: