Skip to content

Pesta Malam Indonesia 3 kurang menyengat?

22 June, 2009

MENARIK tetapi kurang ‘menyengat’. Hanya itu yang dapat dirumuskan tentang Pesta Malam Indonesia 3 (PMI3) yang berlangsung di Stadium Bukit Jalil (tempat letak kereta A) pada Sabtu lalu.

Peminat-peminat yang hadir menyaksikan band-band Indonesia kegemaran mereka beraksi pada PMI3, Sabtu lalu – foto THE STAR oleh CHAN TAK KONG

Tidak dinafikan, kemunculan lima band terkemuka Indonesia iaitu Sheila On 7, Padi, Andra & The Backbone, Gigi dan Dewa 19 amat dinanti-nantikan bukan saja oleh warga Indonesia yang menetap di negara ini, malah peminat-peminat setia mereka di Malaysia juga.

Malah, konsert yang bermula sekitar jam 3 petang hingga ke tengah malam itu berjaya menyajikan persembahan-persembahan yang menarik oleh lima band popular ini termasuklah dua band tempatan, Jinbara dan Aku.

Namun, berbanding PMI yang pernah berlangsung sebanyak dua kali sebelum ini, PMI3 kali ini dirasakan tidak cukup ‘panas’, walaupun kesemua band yang beraksi pada malam itu telah mempamerkan ‘show’ yang nyata tidak menghampakan.

Sheila On 7 nampaknya masih mempunyai pengikut tersendiri di negara ini

Ada sesuatu yang dilihat ‘kurang’ terhadap PMI3 ini sebenarnya. Respon rata-rata ‘crowd’ kurang ‘happening’ dan dilihat agak ‘pasif’…mungkin juga kerana terikat dengan prosuder dan peraturan konsert.

Malah, ketika persembahan Dewa 19 sekitar jam 11 malam yang menjadi band terakhir beraksi pada malam itu, rata-rata penonton dilihat sudah mula beredar meninggalkan konsert tersebut sebelum band itu mengakhiri persembahan mereka.

Tidak tahulah di mana silapnya. Mungkin rata-rata penonton hanya ingin menyaksikan persembahan band kegemaran mereka yang lain atau ada faktor lain yang membuatkan kebanyakan penonton agak ‘resah’ untuk terus menyaksikan konsert itu hingga ke penghujungnya.

Atau mungkin juga mereka sudah terlalu banyak menyaksikan persembahan daripada band-band yang sama!

Armand Gigi berjaya menampilkan ‘showmanship’ bertenaga

Kehadiran lebih 5,000 peminat sejak petang juga rasanya bukanlah satu jumlah yang cukup memberangsangkan kerana hanya dilihat memenuhi separuh daripada tempat konsert tersebut.

Mungkin juga kerana pada masa yang sama TV3 turut menganjurkan konsert percuma sempena ulangtahun ke-25 stesen televisyen itu di Dataran Merdeka yang menampilkan artis-artis hebat tanahair serta penyanyi Indonesia, Afgan.

Apapun, daripada aspek lain, tidak dinafikan, PMI3 lebih terkawal berbanding dua PMI sebelum ini yang tidak lekang dengan aksi bergaduh peminat-peminat yang hadir. Hanya beberapa pergaduhan kecil tercetus dikalangan peminat ketika Sheila On 7 membuat persembahan, namun ia dapat dileraikan.

Malah, ‘insiden’ di pentas yang membabitkan band-band PMI3 juga tidak berlaku kali ini, seperti mana yang pernah tercetus tahun lalu oleh vokalis kumpulan Peterpan, Ariel yang membuka baju di pertengahan persembahannya.

Dewa 19 tampil di pentas sebagai penutup tirai PMI3 dengan membawakan lagu-lagu hit mereka seperti Pupus, Dewi, Sedang Ingin Bercinta dan Separuh Nafas

Pihak penganjur, Fat Boys nampaknya benar-benar memberi penekanan terhadap aspek tersebut untuk memastikan konsert itu berjalan dengan lancar dan terkawal.

Konsert yang bermula sekitar jam 3 petang itu membuka tirai dengan persembahan oleh Aku dan Jinbara sebelum band Padi mengambil alih pentas selama lebih kurang sejam dengan membawakan beberapa buah lagu seperti Mahadewi, Sang Penghibur, Begitu Indah, Menanti Sebuah Jawaban dan Sobat.

Band yang pertama kali membuat persembahan di PMI, Andra & The Backbone turut beraksi dengan lebih kurang lapan buah lagu seperti Pujaan Hati, Musnah, Lagi Dan Lagi, Main Hati, Tak Ada Yang Bisa, Terdalam dan lagu hit mereka, Sempurna.

Kehangatan PMI semakin dirasai ketika persembahan Sheila On 7 yang nampaknya masih mempunyai pengikut tersendiri di Malaysia. Mereka yang membuat persembahan sekitar pukul 8 malam itu telah menyampaikan lagu-lagu popular mereka daripada album-album terdahulu serta terbaru.

Antara lagu-lagu yang disampaikan oleh Duta dan rakan-rakan Sheila On 7 yang lain ialah Seberapa Pantas, Sahabat Sejati, Pemuja Rahsia, Itu Hatiku, Yang Terlewatkan Bila Kau Tak Disampingku, Mudah Saja, Berhenti Berharap, Melompat Lebih Tinggi dan Betapa.

Gigi yang dianggotai oleh Gusti Hendy (drum), Dewa Budjana (gitar), Thomas Ramdhan (bass) dan Armand Maulana (vokal) pula memulakan segmen mereka dengan lagu kebangsaan Indonesia, sebelum menggegarkan pentas dengan beberapa buah lagu termasuklah lagu popular mereka, 11 Januari dan Nakal.

Mungkin ada di antara lagu-lagu yang dipersembahkan oleh band ini tidak begitu popular di sini, namun interaksi Armand dengan penonton-penonton sedikit sebanyak berjaya membuatkan ramai yang ‘terpesona’ untuk terus menyaksikan mereka beraksi.

Malah, jika dilihat dari segi ‘showmanship’, ramai yang berpendapat Gigi atau Sheila On 7 lebih layak membuat persembahan ‘penutup’ kerana aksi yang dipamerkan mereka di pentas cukup bertenaga.

Sebelum band terakhir, Dewa 19 membuat persembahan, penonton turut disajikan dengan persembahan istimewa oleh band kanak-kanak yang dianggotai oleh tiga anak lelaki Ahmad Dhani dari Dewa 19, yang menggelarkan diri mereka The Lucky Laki.

Kemunculan Al, El, Dul dengan lagu Munajat Cinta dan Bukan Superman sememangnya berjaya mencuri tumpuan penonton yang kagum dengan kehebatan mereka menyanyi sambil bermain alat muzik seperti gitar dan dram.

Dewa 19 kemudiannya tampil di pentas sebagai penutup tirai PMI3 dengan membawakan lagu-lagu hit mereka seperti Pupus, Dewi, Sedang Ingin Bercinta dan Separuh Nafas.

Sejujurnya, penulis merasakan ini bukanlah persembahan Dewa 19 yang terbaik pernah dilakukan oleh band ini berbanding persembahan-persembahan mereka di Malaysia sebelum ini. Selain kemuncak yang tiada klimaks, rata-rata penonton juga sudah dilihat beredar pulang ketika band ini baru menyampaikan kira-kira empat buah lagu.

Sama ada bosan, atau pun mereka memang kurang berminat dengan band ini, penulis sendiri kurang pasti. Cuma apa yang pasti, penulis hanya ingin menyaksikan sesuatu yang ‘berbeza’ andai kata PMI4 tetap menyusul kelak!

One Comment leave one →
  1. puteriaquarius81 permalink
    23 June, 2009 pm

    namapun pesta indonesia tp wat kat malaysia.. mmg la x menyekat. artis malaysia xder plak wat pesta malaysia.. eh btl ke ayat ni? ntah ler

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: