Skip to content

Zizi (AF7) vokalis terbaru ‘The Fabulous Cats’

22 June, 2009

MULANYA Ellie, kemudian Alya dan terbaru Farhana pula. Kesemua mereka adalah vokalis perempuan The Fabulous Cats (TFC) yang memilih untuk berpisah daripada kumpulan hip-hop popular ini.

Vokalis perempuan silih berganti sehingga jika diselusuri perjalanan TFC, kumpulan ini telah merekrut ahli baru keempat sebelum album ketiga dikeluarkan.

Album terdahulu TBC ialah Fantastik CD Album (2007) dan Hyperkosmik (2008).

Ahli terbaru TFC bukan nama asing. Dia ialah bintang yang lahir dari Akademi Fantasia 7 (AF7) Nur Fazelah @ Zizi Mohd. Tahil atau Zizi, 24 yang mengikat kontrak selama setahun bersama TFC mulai bulan ini.

Mungkin kita akan tertanya-tanya, tidakkah TFC serik mengambil artis wanita lagi dan tidak takut kah sejarah berulang?

Ketika diajukan kepada produser dan vokalis TFC, Cat Farish (Cat) ketika ditemui semasa pelancaran album Ketentuan oleh Ramlah Ram dan Emosi (Jay Jay) baru-baru ini, Cat atau nama sebenar Farish Ramli tanpa berselindung berkata, dia memang ingin setiap ahli wanita yang direkrut itu ‘dewasa’ bersama TFC yang ditubuhkan sejak 2006.

“Kami tidak boleh janji Wangi atau Zizi akan bersama kami selama-lamanya. Malah Wangi juga akan bergerak solo tidak lama lagi walaupun pada hakikatnya, mereka adalah ‘mawar-mawar’ yang kami petik untuk memberi impak besar kepada The Fabulous Cats.

“Adalah suatu perkara yang baik jika mereka memilih bersama TFC. Jika mereka memilih haluan berbeza kelak, saya percaya mereka akan terus mengembangkan kerjaya sebagai artis solo,” kata Cat.

Dengan penarikan diri Farhana baru-baru ini, TFC kini dianggotai Cat, Adeep atau nama sebenar Abdul Mutalib Nahar, 31, dari Singapura, Wangi (Wangi Julianda), 19, dari Indonesia dan Zizi.

Wangi sebelum ini berpengalaman bermain muzik bersama sebuah band di Bandung iaitu Lite Da Moon.

Sementara itu, Cat berkata, TFC adalah umpama satu platform bergerak seperti AF atau Malaysian Idol untuk semua artis menyertainya sekali gus menimba pengalaman.

Dan pada masa yang sama, katanya, dia dan Adeep selaku produser, pencipta lagu dan penulis lirik kumpulan TFC akan terus menghasilkan muzik terbaik untuk peminat.

“Mereka boleh sambung kontrak dengan TFC jika ingin menyambungnya. Tak nak pun, okey,” katanya.

Cat turut memberikan contoh bagaimana Alya telah mencapai populariti selepas keluar daripada naungan TFC dan pihaknya tumpang bangga dengan pencapaian ini.

Ketika ditanya kenapa Zizi menjadi pilihan sebagai ahli baru TFC, Cat berkata, penyanyi berbangsa Bajau dan beragama Islam itu mempunyai karakter penyanyi rock dan suara serak-serak basah.

Hala tuju TFC

TFC pada dasarnya adalah kumpulan dua pemuzik utama lelaki dengan dikelilingi artis wanita. Hanya Cat dan Adeep sahaja ‘duri’ yang mewarnai ‘mawar’ yang mekar menguntum.

Menurut Cat, TFC sememangnya sedang mengikuti trend band pemuzik terkini. Di Jepun misalnya, katanya, terdapat satu kumpulan pemuzik bergelar Am Flow yang mana deejay dan penyanyi rap adalah lelaki tetapi dikelilingi dengan artis perempuan.

“Kumpulan itu menonjolkan artis-artis wanita seperti Yamuro, Bowa… Semua top-top star bersamanya. Bila dia buat konsert, semua artis perempuan akan keluar. Itulah vision (wawasan) saya dengan Adeep,” kata Cat sambil menegaskan ahli kumpulan baru juga boleh dianggotai artis lelaki.

Adakah ini bermakna The Fabulous Cats akan dianggotai dua orang sahaja pada akhirnya?

“Yalah, pada akhirnya, kita akan tinggal dua orang macam band The Neptunes, Forey dengan Chart, arwah Loloq dengan M. Nasir dan Kanye West dengan John Legend.

“Yang paling hampir menyamai ‘line-up’ kumpulan kami ialah gandingan Kanye West dan John Legend kerana Kanya West ialah produser dan penulis lagu,” jelas Cat.

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: