Skip to content

Kes tuntutan Noraniza :Fareez minta tangguh perbicaraan

23 June, 2009

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Syariah hari ini memutuskan kes tuntutan harta sepencarian penyanyi Noraniza Idris terhadap bekas suaminya, Mohammad Fauzi Ahmad Tajuddin atau Fareez (defendan) akan disambung perbicaraannya pada 11 dan 12 Ogos depan.

Noraniza Idris ditemani peguam belanya, Zuri Zabuddin Budiman (tengah) dan penolongnya. – foto MSTAR oleh AU YEONG HOW

Hakim syarie Mohamad Shakir Abdul Hamid membuat keputusan tersebut setelah mempertimbangkan permohonan Fareez untuk mengkaji dokumen-dokumen yang dikemukakan oleh bekas isterinya atau plaintif.

Dua dokumen tersebut ialah surat pengakuan cerai dan salinan sijil perjanjian jual-beli sebuah rumah kedai tiga tingkat di Seksyen 1, Wangsa Maju, di sini.

Fareez membuat permohonan itu selepas diminta hakim untuk mengemukakan apa-apa persoalan kepada plaintif (Noraniza) dalam sesi soal jawab.

Alasan Fareez untuk menangguhkan perbicaraan hari ini kerana beliau tidak diwakili peguam dan memerlukan masa untuk menyiapkan dirinya dalam sesi soal balas dengan plaintif kelak.

Menurut Mohamad Shakir, “Demi keadilan, mahkamah memberi peluang kepada defendan (Fareez) untuk mengkaji keterangan-keterangan untuk sesi soal balas dengan plaintif (Noraniza) pada 11 dan 12 Ogos, 10.30 pagi ini.”

Difahamkan tuntutan harta dibuat ke atas rumah kediaman di Seksyen 6, sebuah rumah kedai tiga tingkat di Seksyen 1, Wangsa Maju serta barangan salun dan butik yang dianggarkan bernilai RM10,000.

Noraniza yang diwakili peguam bela, Zuri Zabidin Budiman kelihatan bertudung perang dan berbaju merah jambu.

Noraniza diasak para wartawan dengan pelbagai soalan

Terdahulu, sebelum perbicaraan bermula, Zuri meminta kebenaran hakim agar Noraniza dibenarkan memakai cermin mata gelap atas masalah kesihatan.

Mahkamah membenarkan Noraniza memakainya sepanjang prosiding berjalan.

Zuri: Apakah dokumen-dokumen yang dilampirkan?

Noraniza: Surat pengakuan cerai.

Zuri: Siapakah pihak-pihak yang terlibat?

Noraniza: Antara saya dengan defendan (Fareez).

Zuri: Apakah dokumen lain?

Noraniza: Sijil perjanjian jual-beli sebuah rumah kedai tiga tingkat.

Zuri: Adakah ia dokumen asal?

Noraniza: Tidak. Ia hanya merupakan salinan sijil.

Zuri: Di manakah salinan asalnya?

Noraniza: Tidak ada bersama saya.

Zuri: Dalam keterangan kes semalam, Puan Noraniza mengesahkan terdapat satu surat ditulis defendan berhubung penjualan kedai bertarikh pada 2006; sekitar Disember 2008 pula, rakan kongsi defendan memberitahu kedai tersebut telah pun dijual dan pada tahun ini, anak sulung puan memaklumkan kedai itu telah dijual tetapi sehingga kini puan masih belum menerima sebarang hasil jualan kedai itu. Minta jelaskan bagaimana ini boleh berlaku.

Noraniza: Ia berkisar kepada masalah pembayaran tunggakan Syarikat Gerak Budaya di bawah nama saya yang menjalankan bisnes di Taman Mini Asean, Ayer Keroh kepada kerajaan negeri Melaka. Sijil perjanjian jual-beli itu adalah untuk menunjukkan kapasiti membayar kepada kerajaan negeri Melaka. Defendan telah bersetuju rumah kedai tersebut dijual dan saya difahamkan hasil jualan rumah kedai itu akan dijual untuk melangsaikan tunggakan saya. Bagaimanapun, saya tidak dapat pasti sama ada ia telah dijual atau belum.

Sejurus selesai prosiding, Fareez terus meluru keluar dan berlari meninggalkan wartawan dan jurugambar yang sudah menunggunya di luar kamar mahkamah.

Pasangan Noraniza-Fareez bernikah pada 31 Mac 1988 dan dikurniakan dua cahaya mata, Mohd. Alif Haikal, 20, dan Mohd. Alfeq Haikal, 16.

Bagaimanapun mereka disahkan bercerai pada 4 Mei 2006 oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini selepas berpuas hati dengan lafaz cerai luar mahkamah yang dibuat Fareez terhadap Noraniza pada 7 April 2006.

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: