Skip to content

Danielle rentas sempadan

24 June, 2009

Akui gadis berusia 17 tahun ini, pada awal pembabitannya dalam bidang seni dia terlebih dulu menerima tawaran berlakon berbanding nyanyian. Lalu, dia berhasrat untuk mencuba dan hingga kini sudah terbabit dengan enam filem.

MULA mencipta nama sebagai pelakon menerusi filem pertama, Evolusi KL Drift tahun lalu, mungkin ramai yang tidak tahu Diana Danielle Danny Beeson atau Danielle sudah lama memendam hasrat menjadi penyanyi.


Menariknya, selepas filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam dan kini menantikan dua filem barunya, Kecoh Betul dan Magika ditayangkan di pawagam, Danielle berpeluang mengasah bakat nyanyian.

Sebelum ini, Danielle pernah merakam suara dengan Imran Ajmain menerusi lagu Radio yang turut menampilkan penyanyi bersama iaitu juara Raja Lawak musim kedua, Nabil dan kumpulan Infinatez.

Memulakan langkah seterusnya, dia kemudian mengambil keputusan bernaung di bawah syarikat rakaman Metadome. Dari situ, dia mendapat peluang berduet dengan band rock dari Indonesia, Andra & The Backbone.

Kata Danielle, dia berkunjung ke Jakarta baru-baru ini untuk merakam single kumpulan itu, Tak Ada Bisa yang dinyanyikan dalam versi remix. Rakaman bermula jam 8 malam hingga 3 pagi di Legend Studio, Pantai Indah, Jakarta yang dimiliki vokalis Dewa, Ahmad Dhani.

“Matlamat kerjasama ini untuk menembusi pasaran Indonesia. Mengikut perkembangan muzik di sana, pengaruh band lebih popular berbanding penyanyi solo.

“Sebelum saya bersetuju untuk projek lagu duet ini, syarikat rakaman saya ada juga memberikan beberapa senarai band dan penyanyi solo untuk merakam suara bersama. Namun, selepas perbincangan, kumpulan Andra & The Backbone dipilih.

“Selepas rakaman, promosi lagu ini akan dilakukan di stesen TV dan radio. Menariknya, promosi bukan hanya dibuat di sana, tetapi juga di sini (Malaysia). Lagu ini boleh dimuat turun menerusi telefon bimbit manakala klip video lagu ini akan menyusul kemudian.

“Mengikut kontrak, saya akan merakam tiga single. Saya juga bercadang hasilkan album sendiri suatu hari nanti. Namun, untuk single kedua nanti, saya berhasrat bekerjasama dengan artis tempatan,” katanya.

Kata Danielle, terlalu awal untuk membuat jangkaan sambutan peminat mengenai potensi suaranya mahupun lagu berkenaan. Bagaimanapun, dia tidak menyembunyikan perasaan gementar apabila ramai yang terkejut sebaik mendapat tahu dia berkebolehan menyanyi.

Berbeza pula dengan pengalaman ketika menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kem Princess Haliza, Sepang selama tiga bulan yang berakhir 8 Jun lalu, katanya pengalaman yang ditimba menyeronokkan. Selain diberi tanggungjawab sebagai timbalan penghulu wirawati, lebih bermakna dia menerima Anugerah Khas Komandan.

“Tiada istilah layanan istimewa kepada saya apabila masuk ke sana. Saya sama seperti pelatih lain yang perlu mengikuti setiap aktiviti yang disediakan.

“Sebenarnya, ketika mula-mula di sana, saya tidak selesa kerana semua orang pandang apatah lagi pelatih lelaki suka ganggu. Namun, gangguan seperti itu sudah biasa buat saya dan selepas beberapa hari di sana, kami semua menjadi rakan.

“Saya tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri di sana. Hari pertama di sana, saya sudah mendapat 20 rakan. Aktiviti di sana sebenarnya tidak terlalu lasak dan saya gembira mendapat peluang terbabit dengan PLKN.

“Nyata, pengalaman sepanjang berada di sana menyeronokkan dan selepas program itu berakhir, saya dengan rakan yang lain masih berhubung untuk bertanya khabar,” katanya.

Di sebalik keseronokan itu, Danielle menafikan hasratnya menyertai PLKN kerana terbabit dengan rakaman program TV iaitu NS yang kini ditayangkan di 8TV.

Katanya, program itu mendapat kebenaran daripada Jabatan Latihan Khidmat Negara yang mengendalikan PLKN. Rakaman dijalankan selama empat kali sebulan.

“Program ini bukan hanya memberikan publisiti, tetapi turut menarik minat bakal pelatih yang akan menyertai PLKN. Menerusi program ini, mereka berpeluang mendapat informasi yang berkaitan.

“Soal penat ditempuh pelatih adalah perkara biasa sebaliknya aspek disiplin menjadi keutamaan. Apa yang penting, penonton dapat melihat bagaimana aktiviti di PLKN dijalankan,” katanya.

Mengenai perkembangan filem baru, Danielle berkata pengalaman ketika membintangi filem Kecoh Betul dan Magika suatu yang berbeza. Biarpun kedua-duanya membawakan watak utama, dia mahu lakonan kali ini menunjukkan peningkatan.

“Menerusi Kecoh Betul, saya membawa watak Dayana. Walaupun filem ini genre komedi, karakter saya bukan komedi. Watak ini yang berdepan dengan pelbagai masalah kemudian diculik apabila Aiman (Nabil) berhutang dengan Ah Long.

“Dalam Magika pula, saya menjadi Ayu yang mempunyai karakter lebih serius. Watak ini terpaksa menjalankan tanggungjawab menjaga adiknya selepas ibunya meninggal dunia. Suatu hari adiknya hilang, lalu dia bersama Badang (Mawi) berusaha mencarinya.

“Antara Nabil dengan Mawi, keduanya memberikan pengalaman yang berbeza. Nabil mudah bekerja kerana dia fleksibel. Sebenarnya, kami berdua pernah bekerjasama menerusi sitkom Aidilfitri, Jiran Tertangga tahun lalu. Lagipun, saya terima tawaran berlakon ini apabila dengar Nabil berlakon sama.

“Berlakon bersama Mawi pula, membuat saya segan sangat. Penonton akan tertanya-tanya hubungan kami dalam filem ini sama ada menjadi pasangan bercinta atau adik-beradik,” katanya.

Untuk perancangan bidang lakonan pada tahun ini, Danielle yang sering ditemani ibunya, Norsiah Ramli, mahu lebih memfokuskan filem berbanding drama. Katanya, masa penggambaran filem lebih pendek dan dia perlu bijak bahagikan masa selepas akan memulakan pengajian dalam bidang biosains di Universiti Nottingham cawangan Semenyih pada 9 Julai nanti.

“Untuk menyanyi secara serius, ia perlu masa yang panjang. Namun, saya masih mampu teruskan lakonan pada masa lapang seperti hujung minggu, cuti semester atau ketika tiada kelas.

“Matlamat saya selepas ini, mahu memberi fokus pada karier dan pelajaran. Jika boleh, saya tidak mahu soal peribadi mengenai kisah cinta saya dijadikan cerita.

“Buat masa ini, saya selesa untuk berkawan dengan sesiapa saja dan memang tidak dinafikan hubungan saya dengan Farid Kamil rapat. Saya harap apabila orang lain tahu saya dengan Farid berkawan rapat, mereka tidak terkejut jika ternampak kami bersama di luar,” katanya.

>Profil

NAMA: Diana Danielle Danny Beeson

NAMA KOMERSIAL: Diana Danielle

TARIKH LAHIR: 22 November 1991

ASAL: Houston, Amerika Syarikat

USIA: 17 tahun

KERJAYA: Model, pelakon dan penyanyi

FILEM: Evolusi KL Drift, Maut, Bohsia, Setem, Kecoh Betul dan Magika

DRAMA: Air Mata Maria, Janji Diana, Gol & Gincu The Series dan Farah Syakirah

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: