Skip to content

‘Betul atau tidak digam?’

30 June, 2009

KUALA LUMPUR: “Saya bukan mahu menuding jari atau menyalahkan sesiapa tapi sekurang-kurangnya berilah penjelasan sama ada betul atau tidak saya digam,” kata pelakon terkenal, Ako Mustapha berhubung khabar angin dia disenarai hitam stesen televisyen.

Ako atau nama sebenarnya Muhaizad Ahmad Mustapha, 37, berkata dia dapat menerima hakikat jika khabar angin itu benar tetapi biarlah mendapat penjelasan sewajarnya.

“Saya tak tahu sama ada betul atau tidak tapi tidak menolak kemungkinan ia benar kerana tiga tawaran berlakon drama yang diterima daripada syarikat produksi berlainan tiba-tiba ditarik balik.

“Malah, nama saya digugurkan daripada senarai pelakon satu daripada drama itu sehari sebelum penggambaran dilakukan,” katanya yang ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, jika sebelum ini, dia tidak ‘menang tangan’ menerima pelbagai tawaran berlakon, sejak dua bulan lalu, syarikat produksi seolah-olah melarikan diri daripadanya.

“Memang timbul pelbagai persoalan di minda saya mengenai perkara itu tapi saya bukan mahu menagih simpati, cuma mahukan kepastian.

“Selama 13 tahun dalam bidang ini, saya bekerja keras dan memberikan yang terbaik dalam setiap lakonan kerana ia memang minat saya, tapi sekarang tanpa sebarang penjelasan, ditambah tawaran ditarik secara tiba-tiba membuatkan saya sering tertanya-tanya,” katanya yang dihukum penjara tiga bulan dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini, selepas mengaku bersalah atas tuduhan berkhalwat, dua tahun lalu.

Ditanya sama ada ia ada kaitan dengan kes mahkamah, Ako berkata, dia tidak tahu dan dimaklumkan peguam tiada sebarang perkembangan sehingga kini.

Bagaimanapun, pelakon yang pernah membintangi drama Sephia dan Kapten Boleh itu, berkata meskipun pendapatannya terjejas selepas tidak lagi menerima tawaran berlakon, dia menganggap ada kebaikan di sebalik perkara itu.

“Ketika kes saya didengar di mahkamah, ramai rakan menghubungi dan bersedia menawarkan bantuan serta nasihat. Saya betul-betul terharu apabila tahu ada rakan sudi menghulurkan bantuan ketika dalam kesusahan,” katanya.

Selain itu, menurutnya, jika dulu jadualnya padat dengan kerjaya lakonan, kini masa terluang dihabiskan sepenuhnya dengan isteri, Kartina Shuaib Abdullah, 29, yang hamil 11 minggu.

“Pelbagai perkara baru saya pelajari mengenai kehamilan, malah saya mempunyai banyak masa menjaga isteri dan saya amat teruja dengan setiap perkembangan anak sulung kami,” katanya.

“Sekarang apa yang saya lakukan bukan lagi untuk diri sendiri tapi tanggungjawab terhadap keluarga, Cuma saya terasa juga apabila isteri sering bertanya mengenai apa yang berlaku selepas beberapa tawaran berlakon diterima ditarik balik,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan Ako dihukum tiga bulan penjara dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini, selepas mengaku bersalah atas tuduhan berkhalwat dua tahun lalu.

Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad bagaimanapun membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara terhadap Ako dan melepaskan tertuduh dengan bon jaminan RM2,000 sementara menunggu keputusan rayuannya di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: