Skip to content

Ayat cinta Mat Afrika

2 July, 2009

KLUANG: Bisikan cinta dan janji manis tiga lelaki dari Afrika membuatkan sebilangan gadis sepi yang ingin mencari pasangan hidup dibuai mimpi indah hingga tidak menyedari mereka menjadi mangsa penipuan terancang.

BUKTI...Mohamed Fawzi menunjukkan barangan yang dirampas <br>daripada lelaki warga Afrika terbabit.
BUKTI…Mohamed Fawzi menunjukkan barangan yang dirampas
daripada lelaki warga Afrika terbabit.


Bermula dengan perkenalan di laman sembang, lelaki terbabit bijak bermain perasaan bagi meyakinkan gadis tempatan mempercayai kata-kata mereka termasuk menghadapi masalah kewangan.

Lelaki warga asing terbabit turut mempergunakan pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) tempatan untuk mendapatkan kemudahan akaun bagi menjalankan transaksi antara bank dengan mangsa.

Gadis sepi yang kemaruk cinta dan mempunyai pendapatan tetap sering menjadi sasaran tiga lelaki terbabit.

Selepas wanita tempatan terpikat pujuk rayu lelaki warga Afrika terbabit, mereka mula meluahkan pelbagai masalah berkaitan kewangan dan memohon pertolongan dengan tawaran ganjaran besar seperti berlian, telefon bimbit, wang tunai dan komputer riba.

Bagaimanapun, sepandai-pandainya tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga apabila lelaki warga Afrika terbabit yang disyaki sudah menipu ramai gadis di negara ini ditumpaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamed Fawzi Arshad, berkata kegiatan warga Afrika itu dibongkar dalam kejadian 18 Jun lalu apabila seorang wanita berusia 27 tahun menerima panggilan daripada seorang daripada tiga lelaki Arfika terbabit yang mendakwa kononnya menghadapi masalah berikutan barang yang diimport ditahan di Pelabuhan Klang.

“Mangsa dan lelaki itu dipercayai sudah berkenalan kira-kira dua bulan lalu menerusi laman sembang dan apabila menyatakan masalahnya, lelaki terbabit berpura-pura meminta bantuan kewangan untuk mengeluarkan barangnya.

“Sebagai ganjaran, wanita itu dijanjikan sejumlah wang tunai, berlian, telefon bimbit dan komputer riba sebaik barang yang ditahan itu dikeluarkan.

“Terpedaya helah lelaki terbabit, mangsa membuat tiga transaksi memindahkan wang RM11,200 ke dalam beberapa akaun di Kuala Lumpur dan Selangor sambil menunggu barang dijanjikan,” katanya.

Selepas menunggu beberapa hari, namun belum mendapat ganjaran dijanjikan, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, 21 Jun lalu.

Hasil siasatan bersama pasukan IPD Kluang dan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, pihaknya melakukan beberapa serbuan di sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya bermula 23 Jun lalu.

“Berikutan beberapa serbuan, kami menahan tiga lelaki iaitu dua dari Ghana manakala seorang lagi dari Nigeria.

“Selain itu, kami menahan empat lelaki tempatan dan seorang perempuan tempatan yang semuanya berusia 25 dan 38 tahun,” katanya.

Menurutnya, beberapa barang turut dirampas termasuk lebih 20 kad ATM, tujuh kad kredit, tujuh buku bank, tiga kad pelajar warga negara asing, dua lesen memandu antarabangsa, tiga komputer riba, lapan telefon bimbit dan wang tunai RM12,100.

Beliau berkata, siasatan turut mendapati tiga warga negara asing itu tidak belajar di kolej yang dinyatakan dan mereka dipercayai hanya mendaftar saja untuk mendapatkan pas dan kenalan tempatan.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Semua suspek direman hingga Isnin lalu sebelum diserah kepada IPD Melaka bagi siasatan kes seumpama itu.

Mohamed Fawzi berkata, mangsa yang berasal dari Kluang hanya seorang dan difahamkan kumpulan terbabit turut menipu orang dari negeri lain seperti di Melaka dan Malaysia Timur.

Berikutan itu, orang ramai jangan terlalu mudah terpedaya janji orang yang baru dikenali terutama menerusi Internet.

“Selain itu, tawaran yang diberikan tidak munasabah berbanding apa yang diminta jadi adalah lebih baik berhati-hati supaya tidak tertipu,” katanya.

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: