Skip to content

Mungkinkah Siti tewas dengan band Indonesia ST12?

3 July, 2009

AGAK mengejutkan apabila penyanyi nombor satu Malaysia, Datuk Siti Nurhaliza sedang bersaing sengit dengan band popular Indonesia, ST12 untuk mengekalkan takhta ‘Artis Serantau Paling Popular’ yang diraihnya selama lapan tahun berturut-turut dalam Anugerah Planet Muzik (APM).

Siti Nurhaliza berada ditempat kedua selepas ST12.

Bagi tahun ini, keputusan undian tidak rasmi menunjukkan empat artis yang menduduki carta teratas bagi kategori tersebut adalah ST12, Datuk Siti Nurhaliza, Faizal Tahir dan penyanyi Singapura Taufik Batisah.

Selain Siti dan Faizal, Malaysia turut mempertaruhkan dua artis tempatan lagi untuk bersaing dalam kategori itu iaitu Hujan dan Meet Uncle Hussain.

Sementara itu, artis Indonesia yang turut bertanding bagi kategori Artis Serantau Paling Popular adalah Afgan, Agnes Monica dan Nidji manakala artis Singapura adalah Aliff Aziz, Ahli Fiqir, dan Hady Mirza.

Menurut pihak penganjur, Pengarah Urusan Beyond Events Sdn. Bhd., Amin Hussen, graf undian peminat di Malaysia menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) semakin menurun setelah undian dibuka sejak 18 Jun lalu.

“Industri muzik Malaysia sentiasa pasarkan muzik antarabangsa tanpa diskriminasi bangsa dan negara dengan misi utama untuk mempromosi dan memartabatkan muzik Melayu serantau.

“Jadi, pada hari ini saya menyarankan agar peminat muzik tempatan membantu artis tempatan supaya mereka lebih bersemangat serta meningkatkan martabat mereka dalam APM 2009.

“Ini kerana kita lihat sekarang sokongan daripada orang Indonesia yang begitu kuat memintas peratusan kategori ini dengan mudah,” kata Amin ketika majlis sidang media ketiga semalam di Hotel One World, Bandar Utama.

Jelas Amin, undian kategori Artis Serantau Paling Popular agak penting untuk ditekankan kerana artis setiap negara diberi peratusan yang sama rata iaitu 33.3 peratus.

Amin (kanan) bersama Aizat, Faizal Tahir, Stacy dan Engku Emran ketika majlis sidang media ketiga APM2009.

“Misalnya, Siti mendapat undian dari Malaysia hanya akan memperolehi setakat 33.3 peratus. Jadi, dia perlu mendapat lebih mata dari Indonesia dan Singapura untuk mengekalkan kedudukannya selama lapan tahun berturut-turut bagi kategori itu,” tambah Amin.

Amin menganggap jumlah undian di Malaysia semakin menurun mungkin disebabkan oleh waktu undian yang dibuka pada 18 Jun lalu terlebih awal berbanding Indonesia yang dibuka undian mulai 28 Jun manakala undian di Singapura akan dibuka bermula 10 Julai ini.

“Saya rasa mungkin juga rakyat Malaysia kurang atau tidak mengetahui tentang cara untuk mengundi.

“Jadi, selepas ini kita akan mengumumkan tentang peratusan undian artis bagi kategori Artis Serantau Paling Popular dan Artis Malaysia Paling Popular dari semasa ke semasa melalui saluran TV Awani termasuk stesen radio seperti Suria FM yang baru menyertai kami agar pengundi sentiasa berlumba-lumba untuk mengundi artis kesukaan mereka,” katanya.

APM2009 turut membuka peluang kepada pengundi di Malaysia untuk mengundi 12 artis tempatan yang bersaing dalam kategori Artis Malaysia Paling Popular iaitu Aizat, Anuar Zain, Bunkface, Estranged, Faizal Tahir, Hujan, Mawi, Meet Uncle Hussain, Misha Omar, Siti Nurhaliza, Stacy dan Yuna.

Amin turut mengumumkan keputusan terkini bagi kategori itu yang menunjukkan Aizat mendahului Faizal, Siti dan Stacy.

Keputusan pemenang bagi kedua-dua kategori, Artis Malaysia Paling Popular dan Artis Serantau Paling Popular bergantung kepada sokongan peminat untuk menobatkan artis kegemaran mereka.

Mereka yang ingin mengundi, bolehlah melihat paparan nombor-nombor kod setiap artis di KOSMO! Dan HAI sejak bulan lalu, tidak ketinggalan juga di laman web http://www.sinarfm.com.my iaitu stesen radio Sinar FM selaku radio rasmi, murai.com, Era TV, Chat @ 15, Astro Ria, Awani Pagi dan Gala TV di Astro Awani.

Cara undian adalah dengan menghantar SMS: APM MY1 hingga MY12 dan hantar ke 33660 bagi kategori Artis Malaysia Paling Popular manakala APM AS1 hingga AS12 dan hantar ke 33660 bagi kategori Artis Serantau Paling Popular.

Aizat, Stacy dan Faizal Tahir bersaing sengit bagi kategori Artis Malaysia Paling Popular.

Artis Malaysia Paling Popular: Aizat (MY1), Anuar Zain (MY2), Bunkface (MY3), Estranged (MY4), Faizal Tahir (MY5), Hujan (MY6), Mawi (MY7), Meet Uncle Hussain (MY8), Misha Omar (MY9), Siti Nurhaliza (MY10), Stacy (MY11) dan Yuna (MY12).

Artis Serantau Paling Popular: Artis Singapura- Aliff Aziz (AS1), Ahli Fiqir (AS2), Hady Mirza (AS3), Taufik Batisah (AS4); Artis Malaysia- Faizal Tahir (AS5), Hujan (AS6), Meet Uncle Hussain (AS7), Siti Nurhaliza (AS8); Artis Indonesia- Afgan (AS9), Agnes Monica (AS10), Nidji (AS11) dan ST12 (AS12).

Majlis itu juga mengumumkan Suria FM selaku rakan media terbaru yang bakal menganjurkan pertandingan berkaitan APM2009 mulai Isnin hingga Jumaat ini.

Menurut Ketua Pegawai Operasinya, Engku Emran Engku Zainal Abidin, “Kami akan memilih lima pemenang bertuah yang berjaya menjawab soalan mengenai APM2009.

“Hadiahnya adalah berupa lima tiket untuk menghadiri anugerah itu termasuk penginapan dan penerbangan.

“Pertandingan itu akan dibuka mulai Isnin ini sehingga Jumaat depan bermula pukul 5 hingga 6 petang. Pendengar hanya perlu membuat panggilan apabila mendengar pengumuman tentang pertandingan itu.

“Selain itu, kita akan memberikan laporan secara langsung tentang keputusan terkini undian SMS bagi dua kategori itu,” tutur Emran.

APM2009 yang akan diadakan buat pertama kalinya di Jakarta pada 18 Julai ini sedang hangat menjalankan promosi dan perancangan untuk menjayakan malam anugerah berprestij itu.

Bertempat di Pusat Konvensyen Jakarta, pukul 9 malam (waktu tempatan), majlis itu akan diserikan dengan persembahan artis seperti Stacy, Reshmonu, Hujan, Aizat, Dafi, Ayu, Faizal Tahir dan Siti.

Sementara artis Indonesia yang turut berkongsi pentas adalah ST12, Kuburan, Yovie N Nuno, Kotak, Bunga Citra Lestari, Nidji, Afgan dan Dewi Sandra tidak lupa artis Singapura iaitu Taufik Batisah, Didicazli, Nana dan Hady Mirza.

Kepada peminat-peminat yang ingin menyaksikan APM2009 secara langsung di Jakarta, tempahan pakej pelancongan disediakan oleh agen Beyond Events dengan menghubungi talian 03-2141 5011.

APM2009 juga akan bersiaran secara langsung di Astro Ria, pukul 9 malam.

4 Comments leave one →
  1. trAnsFormeRs permalink
    5 July, 2009 am

    apa2 jelah………

  2. catalina permalink
    5 July, 2009 pm

    ntah .. x kuasa

  3. puteriaquarius81 permalink
    6 July, 2009 am

    aik .. rasanya st12 tu baru nak naik kan.. emm musykil musykil.. ontahlah labu

  4. jelita permalink
    6 July, 2009 pm

    Ape2 je la..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: