Skip to content

Haleeda tidak mengharap ‘buah hati kekasih orang’

7 July, 2009

CERITA aktres Haleeda yang dikhabarkan bercinta dengan seorang pelakon berstatuskan suami orang semakin reda dan tidak lagi menjadi bahan bualan orang ramai.

Pelakon yang dimaksudkan itu adalah bekas pengurus produksi (PM) drama bersiri ‘Kecuali Cintamu’ iaitu Shah Hassan, 37.

‘Kemarau’ yang melanda kehidupannya tiga minggu lalu kini sudah beransur pulih memandangkan Haleeda atau nama sebenarnya Halida Mazlin Badaruddin, 37, semakin bermuhasabah diri dan menimba pengajaran dari pengalaman lalu.

Menurut Haleeda, walaupun dia menganggap perkara yang dilaluinya ini agak peribadi untuk dikongsikan bersama namun dia masih sudi menghebahkan lumrah alam yang mungkin dilalui oleh wanita di luar sana.

“Apa yang saya cakapkan ini mungkin akan membuatkan sesetengah wanita di luar sana marah dan tidak bersetuju dengan saya namun inilah hakikat yang perlu saya terima kerana apa yang telah terjadi bagaikan sudah diatur olehNya.

“Bila semua ini dah berlaku, saya tak nak fikir lagi. Saya selesa macam ni. Buat masa ni, biarlah hubungan kami macam ni. Apa yang saya nak fikirkan sekarang adalah kerja, kerja dan kerja untuk mencari nafkah. Lagipun sebelum ni bukannya saya berkejar nak kahwin dan sebolehnya tidak mahu semua ini ‘kecoh’.

“Bila saya fikir balik, saya nak buat benda yang saya faham baik dan betul tetapi orang tidak fikir dan terima benda ni seperti kita walaupun (poligami) dah termaktub dihalalkan dalam agama.

“Saya ingatkan apabila saya sudah berterus-terang, hal ini akan jadi lebih baik tetapi lain pula halnya.

“Saya sudah bersemuka dengan isteri pelakon itu dan dia telah bersetuju dan sudi menerima saya (bermadu) tetapi baru-baru ini lain pula jadinya,” jelasnya yang dalam masa yang sama bertanya sama ada dia berada di pihak yang benar atau tidak.

Apabila isteri pelakon itu enggan ‘bermadu’, jadi aktres yang sedang popular menerusi drama ‘Kecuali Cintamu’ ini secara dasarnya terpaksa akur dengan keputusan itu bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku pada masa akan datang.

“Saya kena hormati keputusan itu tetapi dalam masa yang sama timbul kesal dalam hati. Biar sahaja ia berlalu dan saya tak harapkan apa-apa. Saya tak mahu terlalu berharap

“Nampak macam mudah tetapi dalam masa yang sama saya tak nak rasa kecewa dan sedih kerana keutamaan (kerja dan keluarga) saya kena jaga. Saya tak nak ia diganggu-gugat oleh benda yang remeh seperti ini,” ujarnya yang sedang sibuk menjalani pengambaran drama ‘Kecuali Cintamu’ dan dijangka berakhir pada hujung Julai ini.

Jelas Haleeda, dia faham bahawa orang akan melabelkan dirinya sebagai ‘perampas’ walhal orang lain juga perlu tahu banyak perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum bersetuju untuk berkahwin dengan pelakon itu.

Tambahan pula, Haleeda lebih menekankan aspek ‘perkongsian’ hidup.

“Susah juga kalau saya nak katakan yang dia benar-benar jodoh saya. Tetapi setelah melihat kesungguhannya membawa saya berjumpa dengan isterinya, mulalah saya fikirkan yang dia benar-benar ingin peristerikan saya.

“Saya juga tertarik dengan hati, pemikiran dan pendiriannya.

“Tetapi mungkin ada kekurangan ‘dalaman’ yang masing-masing perlu bermuhasabah diri. Apabila diingatkan hal itu, saya rasa seperti sudah tawar hati. Kami pun sudah jarang berjumpa disebabkan masing-masing sibuk dengan kerja sendiri.

“Kalau berhubung pun mengenai soal kerja sahaja. Saya hanya ‘just go with the flow’. Kalau ia tak menjadi, saya tak salahkan sesiapa dan kalau ia menjadi pun saya bersedia dengan apa jua keadaan,” luahnya.

Mengimbas kembali detik perkenalannya dengan Shah sejak awal tahun lalu, Haleeda merasakan hubungan mereka berlangsung begitu pantas berlaku di mana sejak dari itu mereka mula serius kira-kira tiga bulan lalu.

Haleeda mengungkapkan hubungan itu ibarat suatu hubungan yang tidak terduga kerana mereka pada mulanya hanya berkenalan sebagai rakan sekerja sehinggalah sebelum dia mula terikat dengan drama Kecuali Cintamu, Shah membawanya berjumpa dengan isterinya.

Dalam suasana kecoh yang sehingga berlaku insiden tampar-menampar itu, nama Haleeda turut dikaitkan dengan seorang lelaki berstatus ‘Datuk’.

Bagaimanapun, Haleeda enggan memanjangkan cerita tentang ‘Datuk’ itu.

“Saya tak nak campur pasal Datuk. Bukan saya nak sorok tapi susah nak cakap. Apa yang saya boleh sentuh, saya cakap.

“Saya memandang semua ini sebagai suatu hikmah dan sekarang ini saya menjalani hidup seperti biasa dengan anak dan lakonan.

“Kalau boleh saya tak nak cakap banyak sebab takut nanti salah pula penerimaan orang lain, jadi lebih baik diam.

“Tetapi moral sebalik kisah ini, janganlah ikut hati dengan dendam dan prasangka. Saya tidak mungkin melupakan perkara ini sampai bila-bila,” ujarnya yang pernah bergelar penyanyi.

Haleeda memulakan karier seninya sebagai penyanyi sejak berusia 17 tahun dan memiliki album Setia Kasih (1992) dan Terkilan (1993) yang diedarkan oleh EMI.

Mulai tahun 2006, barulah dia berjinak-jinak dalam seni lakonan dan menjayakan banyak drama seperti Mengejar Pelangi, Naskhah Latifah, Di Batasan Hati, dan Ladang Pak Awang.

Ujar Haleeda, itupun dengan hasil galakan orang ramai termasuk aktres terkenal Hamidah Wahab yang meyakinkan dia boleh berlakon.

“Saya tidak berlakon secara berpanjangan kerana kadangkala saya akan berehat juga. Apabila mendapat tawaran dan skrip yang bagus, baru saya menerima untuk berlakon.

“Sebelum saya aktif berlakon semula pada awal tahun lalu, saya mengambil masa rehat selama dua tahun.

“Masa tu, banyak perkara yang saya uruskan dan menghabiskan masa dengan anak perempuan saya. Kadangkala apabila terlalu sibuk bekerja, saya langsung tiada masa hendak bercakap dengannya kerana masa yang tidak menentu. Bila saya balik, dia dah tidur.

“Mujurlah saya mempunyai ibu dan adik yang boleh tolong tengok-tengokkan anak saya,” cerita Haleeda yang mendapat beberapa tawaran berlakon lagi selepas selesai berlakon drama untuk program realiti ‘Anak Wayang’ itu.

Tambah Haleeda, dia sebolehnya mahu menyelesaikan kerjanya secara satu-persatu kerana masih lagi dalam proses pembelajaran dalam bidang lakonan.

Jika sebelum ini dia lebih banyak mendapat watak wanita teraniaya dan sedih tetapi kali ini dia lebih gemarkan watak wanita ‘daring’ dan ‘straight forward’ seperti yang dilakonkannya dalam drama Kecuali Cintamu.

Haleeda pernah bernikah dengan bekas pemain bola sepak pasukan Negeri Sembilan dan Selangor, Azman Adnan pada 1995 dan berpisah secara rasmi pada 9 Oktober 2003. Mereka dikurniakan seorang anak iaitu Amirah Amani Azman, 14.

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: