Skip to content

Jamal tanpa HIV

7 July, 2009

TIADA siapa yang tidak pernah kecundang dan gagal dalam hidup dan tiada siapa juga yang mahu dilahirkan sebagai penagih dadah. Biarpun kelat untuk ditelan, anak seni yang masih bernafas gagah berjuang dalam menegakkan melodinya, Jamal Abdillah mengakui perkara itu berkali-kali.



Saat emosinya melonjak rasa teruja, batinnya tersentuh apabila kisah hitam berkait dengan dadah harus menyusul dalam perbualan.

“Dalam hati kecil saya, saya tak mahu lagi ungkit tentang zaman hitam, kalau boleh saya tak mahu cakap bab dadah. Rasanya peminat saya pun begitu juga.



“Tapi bila masuk bab penajaan, saya sendiri yang kena cakap, mungkin syarikat korporat tak berminat menaja konsert saya kerana bimbang dan takutkan risiko. Takut Jamal terlingkup, tak pasal-pasal mereka yang rugi,” getus Jamal dalam seloroh yang bersimpang rasa.

Di bibirnya terletus senyuman namun kepedihan kerana terpaksa menyebut perkara berkenaan mungkin pahit. Atas keyakinan bahawa dia mampu, Jamal kali ini benar-benar mahu khalayak juga yakin dengan setiap usahanya

Bukan bakat dan pencapaian yang diraih sahaja yang menjadi sandaran, tetapi keadaan fizikal dan status kesihatan yang memihak kepada dirinya menambahkan lagi keyakinan Jamal untuk beraksi penuh sukses menjelang Konsert Jamal… Kembara Seniman, Ogos nanti.

Dengan selamba, lelaki seribu kisah itu memberikan satu jawapan yang soalannya mungkin jarang ada yang tergamak bertanya ke mukanya.

“Alhamdulillah, saya tiada penyakit HIV/AIDS walaupun dulu terdedah dengan gejala negatif itu (dadah). Manalah saya tahu kalau-kalau terkena jangkitan itu jika tanpa pengesahan daripada doktor.


Jamal menerima cenderahati istimewa daripada Abdul Aziz.

“Selain itu, saya rasa sihat dan bertenaga. Itu yang menyebabkan saya sangat bersyukur dengan ruang dan peluang yang masih memihak kepada saya,” luah Jamal dalam canda tapi tersirat pengertian.

Atas faktor kesihatan yang cemerlang itulah barangkali Jamal semakin bersemangat meneruskan apa yang dihajati terutama konsert khasnya di Istana Budaya, (IB) nanti.

Benar, Jamal juga tidak mahu hatinya terguris atau diusik rasa terkilan kerana projek sulungnya belum dirisik sebarang penajaan sedangkan sudah lebih dua bulan pengumuman rasmi Konsert Jamal…Kembara Seniman dibuat menerusi satu majlis pelancaran di IB dulu.

“Buat apa saya nak terkilan, saya pernah buat orang tak suka saya, saya pernah buat banyak kontroversi, jadi siapa nak ambil saya jadi duta. Rasanya perubahan saya belum lagi diyakini. Mereka (penaja) tak akan berani ambil risko,” getusnya lagi.


Janji termeterai, Jamal bersama (dari kiri), Saharudin, Abdul Aziz dan Mohd. Juhari.

Projek Konsert Jamal…Kembara Seniman menjadi satu agenda penting dalam catatan perjalanan Jamal Abdillah setelah bergelar anak seni selama lebih 30 tahun.

Bukan sebab ia bakal dibikin sebagai konsert berkonsepkan teaterikal menampilkan sejarah hidup sebenar Jamal tetapi lebih utama, itulah satu-satunya konsert yang dianjurkan oleh Jamal sendiri menerusi syarikat miliknya, Bintang Channel yang baru berusia dua tahun.

“Saya mahu buktikan kepada masyarakat bahawa saya orang yang pernah dianggap tidak berguna satu ketika dahulu sudah mampu berdiri atas kaki sendiri,” beritahu Jamal.

Gambaran keterujaan Jamal menjayakan konsert sendiri itu tidak mampu diluahkan dengan perkataan. Ketika usianya mencecah 50 tahun, barulah Jamal buat pertama kali bergelar pengarah konsert dan berdiri mewakili syarikat sendiri. Harganya mungkin tidak seberapa bagi orang lain, tetapi bagi Jamal dan seluruh peminatnya, itu sudah satu pencapaian peribadi yang terlalu mahal.

DIIKTIRAF sebagai penerima Anugerah Sepanjang Hayat pada majlis Anugerah Bintang Popular 2009.



Menurut penghibur bergelar Raja Pop Melayu itu, konsert berkenaan bakal jadi satu manuskrip visual sebuah persembahan kehidupan Jamal yang berada di luar pengetahuan peminat dan orang di sekelilingnya.

“Ia sebuah luahan yang bukan sahaja akan meruntun emosi penonton bahkan satu persembahan yang lahir dari lubuk hati, sesuatu yang benar-benar ingin saya luahkan,” katanya sedikit beremosi.

Berani mengambil risiko mengeluarkan bajet daripada duit simpanan peribadi berjumlah hampir RM200,000 bagi menjayakan konsert berkenaan, Jamal yakin usahanya tidak sia-sia apatah kes mahkamah yang dihadapinya sebelum ini sudah selesai.

“Saya percayakan sokongan peminat kebetulan pula album baru saya, Tak Hilang Cinta baru berada di pasaran, itu menambahkan lagi keyakinan saya.

“Jika ada yang mengaitkan konsert itu dengan kes mahkamah saya, saya reda dengan apa sahaja yang berlaku.

MAHU terus hidup dalam dunia seni.



“Saya terima hakikat bahawa saya seorang artis, apa sahaja yang melibatkan saya pasti mendapat sambutan padahal ramai lagi orang yang bercerai. Kes itu tidak tidak akan menjejaskan tumpuan saya, dah nama artis nak buat macam-mana,” katanya optimis dengan hidup.

Jamal ditemui pada majlis perjanjian persefahaman (MoU) antara Utusan Melayu (Malaysia) Berhad bersama Istana Budaya dan Bintang Channel sebagai tanda rasminya perkongsian dengan syarikat percetakan terunggul dalam negara, Kumpulan Utusan. Kumpulan Utusan akan bertindak sebagai media rasmi konsertnya, Ogos ini. Hadir pada MoU tersebut ialah Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak, Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohd Juhari Shaarani dan Pengarang Hiburan Utusan Malaysia, Saharudin Musthafa.

Dibahagikan kepada dua segmen utama, satu jam diperuntuk untuk muzikal dan satu jam lagi untuk persembahan nyanyian solo, Konsert Jamal…Kembara Seniman menggunakan khidmat pelakon versatil Fauziah Ahmad Daud sebagai pengarah persembahan untuk segmen teater muzikal.

JAMAL mendukung Ahmad Zaki Yamani yang menjadi tanda cinta Jamal terhadap bekas isterinya, Fatimatuzahra.



Asalnya nama Erma Fatima yang diperkatakan sebagai penyandang tugasan itu, tetapi Jamal nekad memilih Fauziah kerana mahukan sentuhan bekas ‘Azuranya’ itu yang selama ini jarang diketengahkan sebagai pengarah teater.

“Semua orang tahu Erma seorang pengarah pementasan yang bagus tapi pemilihan Ogy mungkin sesuatu yang bakal memberikan kelainan. Saya sekadar mahu berkongsi peluang itu dengan Ogy, baru bulan lepas Ogy dilantik secara rasmi. Dia sangat teruja dengan tawaran saya,” beritahu Jamal yang bakal menyampaikan hampir 40 buah lagu pada setiap malam konsert yang akan bermula dari 5 hingga 9 Ogos nanti.

Selain dua segmen utama, reportoir konsert Jamal tidak ketinggalan menyelitkan beberapa segment sampingan seperti segmen mengenang ayah, segmen khas untuk Datuk Ahmad Nawab serta segmen lagu-lagu dari filem.

Lima malam berturut-turut dengan durasi dua jam setiap konsert, pastinya persediaan mental dan fizikal menjadi senjata utama Jamal untuk menawan ribu penonton yang bakal memenuhi Panggung Sari, IB.

Soal menghafal skrip dan lirik lagu-lagu yang bakal didendangkan tidak merisaukan Jamal. Katanya, memang sesetengah lirik sudah agak jarang dinyanyikan malah ada yang sudah lekang dari ingatan.

“Tapi semua itu pernah berlaku dalam hidup saya, lirik-lirik lagu itu juga pernah saya hafal dan nyanyikan sebelum ini. Jadi tidak sukar untuk mengingati semua lirik lagu berkenaan.

“Sekarang saya cuma membaca dan membelek lirik-lirik lagu yang telah dipilih secara sepintas lalu sahaja,” katanya yang berjoging paling kurang sejam setiap hari untuk mendapatkan stamina.

Jika tiada aktiviti formal atau agenda rasmi, setiap kali selepas waktu Asar, Jamal akan berlari sekurang-kurangnya satu kilometer di sekitar Rumah Pengasih yang kini masih menjadi ‘rumah pertama’, tempat yang paling selesa buat dirinya ketika ini.

nnn Tiket-tiket untuk Konsert Jamal… Kembara Seniman boleh didapati pada harga RM75, RM100, RM150, RM250 dan RM300 di kaunter Box Office, Istana Budaya. Pembeli tiket berharga RM300 akan diberikan percuma album terbaru Jamal, Tak Hilang Cinta. Untuk tempahan tiket dan maklumat lanjut, layari laman web http://www.ticket2u.biz atau hubungi 03-41498600.

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: