Skip to content

Zizan temui gadis idaman

12 July, 2009

Khabarnya, si dia yang berjaya mencuri hati Zizan adalah gadis berusia 30 tahun dan berasal dari Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, buat masa ini Zizan atau nama sebenarnya Azizan Nin dan pernah digosipkan dengan pelakon jelita Rozita Che Wan belum bersedia mendedahkan secara terperinci butiran gadis yang bertakhta di hatinya.

“Sebenarnya, saya memang tidak suka menjaja cerita peribadi kerana bimbang peminat berasa bosan.

“Tetapi apabila ramai orang bertanya termasuk media yang ingin mengetahui siapa teman istimewa saya sekarang, setiap kali bertemu dalam majlis, biarlah saya beritahu sedikit sebanyak mengenai dirinya.

“Apa yang boleh saya katakan, si dia bukan selebriti sebaliknya terbabit secara profesional dalam bidang penyiaran. Hubungan kami bermula selepas diperkenalkan seseorang dan lama kelamaan ia menjadi semakin intim.

“Terus terang, saya terpikat dengan penampilan dirinya sebagai seorang Muslimah. Si dia juga memenuhi kriteria gadis idaman yang saya cari selama ini iaitu perwatakan dan personaliti menarik, tenang dan matang.

“Sebenarnya, dalam soal mencari jodoh ini, saya tidak kisah sama ada calon isteri saya itu bertudung atau tidak kerana apa yang penting kami selesa dan serasi untuk hidup bersama kelak.

“Terus terang, setakat ini hubungan kami memang serius dan saya juga merancang untuk bertemu keluarganya dalam tempoh terdekat ini,” katanya.

Kata Zizan, mereka belum berbincang mengenai perancangan untuk berumah tangga.

Bagaimanapun, katanya, jika hendak diikutkan, dia memang sudah lama mampu dan bersedia untuk berkahwin dan membina keluarga, cuma jodoh yang belum sampai lagi.

“Mungkin orang tidak tahu saya pernah merancang untuk berkahwin tahun ini dengan bekas teman istimewa saya sebelum ini, tetapi akhirnya saya terpaksa reda, kami memang tiada jodoh.

“Sekalipun sudah dua kali putus cinta, saya juga tidak berasa serik untuk bercinta lagi kerana saya percaya ada jodoh yang lebih baik ditentukan Tuhan buat saya nanti.

“Justeru, saya berharap hubungan kali ini membawa ke jenjang pelamin.

“Kalau boleh tahun ini ataupun tahun depan. Pada masa sama, perkahwinan yang dibina itu biarlah kekal hingga ke akhir hayat.

“Jika apa yang kami rencanakan ini berjalan lancar, saya juga merancang majlis perkahwinan yang ringkas mengikut kemampuan kami berdua,” katanya.

Mengenai perkembangan kerjaya seninya pula, Pelakon Lelaki Harapan Festival Filem Malaysia ke-20 dan pemenang anugerah Fun Fearless Faboulous 2008 (anjuran majalah Kosmopolitan) ini juga tidak menang tangan menerima tawaran berlakon sehingga sekarang.

Bintang filem Cinta Terakhir arahan Along Kamaludin ini baru selesai penggambaran selama dua bulan setengah drama bersiri sebanyak 40 episod, Sanggar Cinta Raudhah arahan Zul R’shad untuk RTM.

Zizan membawa watak lelaki muda, Izwan yang berkahwin dengan wanita berusia bernama Raudhah (lakonan Aida Radziwill).

Wataknya disifatkan Zizan mencabar kerana perlu menjiwai watak lelaki 20-an bercinta dengan wanita berusia 50-an yang juga kawan baik ibunya sendiri.

Drama ini turut dibintangi Watie Elite dan pelakon baru Farah Aleya.

Selepas itu, Zizan menjayakan pula penggambaran drama bersiri 24 episod Teratak Mahligai juga arahan Zul R’shad untuk RTM.

Kali ini Zizan bawa watak jutawan Internet yang juga berasal dari keluarga kaya raya, tetapi kurang kasih sayang. Ia turut dibintangi Dian P Ramlee, Zed Zaidi dan Nabila Huda.

Tidak cukup dengan itu, Zizan baru selesai menjalani penggambaran teleraya arahan Rashid Sibir. Mengikut perancangan, Zizan dijadualkan menjalani penggambaran drama terbitan RTM, Katarsis di Ipoh, Perak minggu ini, tetapi difahamkan dia terpaksa ditunda pada Mei tahun depan.

“Saya juga baru selesai uji bakat sebagai hos program kecantikan dan penjagaan diri untuk lelaki dan perempuan. Saya bakal digandingkan dengan seorang lagi pengacara wanita popular dalam program berwajah baru ini. Tapi, buat masa ini, saya belum boleh menguar-uarkannya lagi,” katanya.

Tahun ini, bekas penuntut Universiti De Montfront, England ini juga dicalonkan dalam kategori finalis Hot guyz dalam Shout! Awards anjuran 8TV yang akan berlangsung pada 17 Julai nanti.

Pada masa sama, tersenarai sebagai seorang pelakon pilihan filem kontroversi Anu Dalam Botol di murai.com.my.

Zizan yang dikenali sebagai model dan pengacara sudah membintangi lebih 50 drama sejak berkecimpung dalam bidang lakonan sejak enam tahun lalu.

Antara drama lakonannya tahun ini telefilem Genggam Tak Tiris untuk TV2 dan Puaka Kain Kapan arahan Rashid Sibir yang mengisi slot Seram di TV3.

Selain itu, drama lakonannya yang sudah ditayangkan ialah Janji Seorang Anak, Cinta Medik, Akankah Mungkin, Mahligai Gading, Kaizer, Kerana Karina 1&2, Anak Pontianak, Saka, Surat Untuk Bulan, Awekku Bukan Awekmu dan Dapur, Subuh & Maghrib.

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: