Skip to content

‘Tanyalah Fizz sendiri’ – Almy

14 July, 2009

TIDAK semena-mena, pendatang baru dalam dunia lakonan tanah air, Almy Nadia bikin kecoh beberapa minggu lalu.



Terdengar keluh-kesah empunya diri yang mendakwa sengsara akibat terkena buatan orang. Bukan itu sahaja, Almy turut dikatakan berpatah arang dengan teman lelakinya yang juga seorang pelakon berbakat besar, Fizz Fairuz.

Semua perkara yang kurang enak didengari oleh telinga itu terjadi kepada Almy. Dalam sekelip mata namanya dilagukan di sana-sini oleh masyarakat di luar sana termasuk beberapa teman artis yang bertanyakan kesahihan perkara sama.

Ada juga suara-suara nakal yang mendakwa isu gadis berusia 23 tahun itu dibuat orang secara halus sebenarnya cerita lama yang semakin dilupakan oleh peminat. Boleh dikatakan sudah basi jugalah cerita tersebut.

Paling dahsyat apabila ada yang berkata Almy sebenarnya mereka-reka cerita dia terkena buatan orang dan memperbesar-besarkan perihal tersebut kerana mempunyai agenda tertentu.

Kononnya Almy sengaja mahu meraih populariti sekali gus menempatkan dirinya dalam hierarki tertentu di gelanggang seni ditambah Fizz sudah mendaki setangga ke setangga dalam bidang sama. Sebagai individu paling rapat dengan lelaki itu, barangkali ada cemburu di hati Almy.

Pelbagai tuduhan negatif dilemparkan terhadap pelakon yang masih hijau dalam dunia hiburan itu.

Almy yang ditemui di Hotel Park Royal, Kuala Lumpur baru-baru ini sekadar menggelengkan kepala tanda terkilan dengan sikap sesetengah pihak yang menabur pelbagai fitnah kepada dirinya yang tidak bersalah itu.

Dia kemudiannya terus beristigfar tatkala mendengar cerita tentang dia yang dikatakan sengaja mengada-ngadakan isu dirinya yang terkena buatan orang itu.

“Kalau ada yang kata saya kena buatan orang tidak betul, anda cubalah bertanya kepada Fizz sendiri tentang perkara ini.

“Saya ada ramai saksi terutama teman lelaki saya yang tidak pernah jemu dan penuh sabar menjaga kebajikan sepanjang saya berperang dengan penyakit ganjil ini.

“Bayangkan betapa Fizz yang tolong jaga saya siang dan malam semata-mata memastikan saya pulih seperti sedia kala.

“Memanglah penyakit misteri ini sudah terkena kepada saya sejak dua tahun lalu dan perkara ini pernah dikongsi kepada orang ramai sebelum ini.

“Terus-terang saya tidak pernah buat cerita atau ingin meraih simpati tentang isu terkena buatan orang ini. Kalau ada wartawan yang mengajukan isu buatan orang ini maka saya jawab dengan sejujurnya.

“Kadang-kadang susah jugalah kerana kalau saya berterus-terang, ada juga manusia lain yang tetap tidak mempercayai kebenaran satu-satu perkara ini,” kata Almy dalam nada serius.

Bagi menjernihkan reputasinya sebagai seorang pelakon, Almy menjelaskan dia sanggup bersemuka dengan individu-individu yang terus mengatakan dia tidak bercakap benar.

“Saya teringin untuk berjumpa sendiri dengan orang yang cakap saya bawa mulut tentang penyakit ini.

“Jangan sesekali cakap itu dan ini tanpa ada bukti kukuh. Sedangkan saya yang mengalami kesakitan dan menanggung segala kesengsaraan. Hanya keluarga dan rakan terdekat yang tahu tentang perkara ini.

“Tidak perlulah sampai saya kena beritahu kepada semua pihak bahawa saya menderita akibat terkena buatan orang,” ujarnya yang sedikit beremosi.


ALMY mahu bersemuka dengan pihak yang bertanggungjawab menyebar fitnah tentang dirinya.

Dalam pada itu, tidak wujud istilah dia memerlukan cerita panas untuk laris sebagai pelakon. Jauh sekali mengada-adakan cerita untuk berdiri sama tinggi dengan Fizz yang sudah menjadi buah mulut orang ramai disebabkan bakat lakonan yang dimilikinya.

“Saya berbangga dengan pencapaian Fizz sekarang. Buat apa saya hendak cemburu kejayaan yang dia perolehi pada tahap ini sehingga sanggup mereka-reka cerita yang tidak betul.

“Ia sebenarnya menjadi pembakar semangat kepada saya untuk terus berusaha memantapkan diri dalam cabang lakonan.

“Tidak perlulah sampai saya kena buat cerita untuk dikenali ramai. Biarlah peminat memandang mutu kerja saya berbanding kisah peribadi,” jelas Almy yang dikenali menerusi pertandingan Dewi Remaja 2005/2006.

Dia bagaimanapun gembira apabila orang sekeliling banyak bertanya tentang keadaan kesihatannya daripada kisah lain. Almy mengaku dia kini sudah hampir sembuh setelah berubat di banyak tempat.

“Puas jugalah mendapatkan rawatan tradisional di seluruh negara termasuk di kampung halaman saya sendiri akibat bertarung dengan penyakit ini.

“Dalam tempoh panjang ini juga saya tidak dapat tawaran berlakon dan banyak menghabiskan waktu di rumah sampai ada kawan-kawan yang cakap saya sudah macam mayat hidup.

“Saya tidak pernah berdendam dengan orang yang buat onar kepada diri. Saya juga tidak mahu tahu siapa dia dan kenapa dia tergamak buat saya macam ini sebab takut nanti saya menangis mengenangkan perkara ini.

“Cuma saya ada pesanan kepada orang yang berhati busuk ini. Saya harap dia jadi diri sendiri dan jangan terlalu mencuba buat bermacam-macam perkara untuk menarik perhatian orang lain.

“Jangan ada perasaan cemburu dan hasad dengki sebab syaitan memang suka mendekati manusia yang ada jiwa kotor. Buatlah apa saja yang anda mahukan kerana kita tidak lama hidup dalam dunia ini.

“Jadi terima sajalah selepas ini kalau Tuhan beri hukuman dan bayar secara percuma tentang perbuatan anda yang melanggar akidah ini,” ungkapnya bersikap profesional tanpa ada dendam di hati.

Fizz enggan peduli

Selain kisah terkena buatan orang, Almy tidak terkecuali dihambat gosip putus cinta dengan Fizz sejak sebulan lalu.

Beritahu Almy, dia turut terkejut kerana cerita ini disiarkan oleh media cetak dalam tempoh tiga minggu berturut-turut sekali gus seolah-olah mengiyakan pengkisahan tersebut.

“Saya segera menghubungi Fizz yang sedang menjalani penggambaran drama bersiri di Jeddah pada waktu itu sambil memberitahu tentang gosip yang disebarkan.

“Fizz bagaimanapun enggan ambil pusing tentang cerita ini dan menganggap ia terlalu remeh-temeh untuk difikirkan.

“Baginya kisah percintaan kami hanya saya dan dia saja yang tahu manakala orang luar boleh bercakap apa jua yang mereka suka.

“Dia cakap dengan saya agar bersabar dan bijak berdepan dengan gosip yang menjadi permainan dalam dunia seni. Jangan terlalu menggelabah atau kelam-kabut jika ditanya pihak media.

“Fizz sudah sembilan tahun bergelumang dalam dunia glamor ini. Bahkan dia sudah punya banyak pengalaman sebelum ini.

“Oleh itu saya sekadar ikut pesanan Fizz bagi mengelakkan perkara ini menjadi lebih teruk,” tutur Almy.



Meneruskan bicara, Almy mengatakan bahawa perhubungan yang terjalin selama empat tahun dengan Fizz masih berada dalam kondisi baik-baik belaka.

“Cuma kami tidaklah menunjukkan kemesraan di tempat awam atau berdua sepanjang masa bagi menghadiri mana-mana majlis yang berkait rapat dengan industri sendiri.

“Masing-masing sibuk dengan komitmen kerja sendiri. Ada waktunya saya akan muncul dalam satu-satu acara bersendirian kalau Fizz tidak lapang. Begitu juga dengan Fizz.

“Barangkali orang tersalah anggap dengan keadaan ini setelah melihat kami tidak berdua-duaan sejak kebelakangan ini.

“Biarpun begitu, kami masih bersama. Tidak benarlah kalau orang cakap hubungan kami sudah terputus,” jawabnya bersungguh-sungguh.

Ditanya bilakah dia akan menamatkan zaman solonya dengan Fizz, Almy pantas memberitahu, tidak molek rasanya kalau dia sendiri yang menjaja kisah untuk mendirikan rumah tangga.

“Kena tanya Fizz sendiri sebab saya wanita. Saya tidak boleh cakap sesuka hati tentang sesuatu perkara yang belum pasti terutama melibatkan perkahwinan.

“Melainkan kalau si dia sudah ajak kahwin, barulah saya berani buka mulut menerangkan lebih lanjut soal kahwin kepada orang lain.

“Kalau ditanya tentang persediaan untuk bergelar isteri kelak, saya akui sudah bersedia,” jawab Almy yang baru menamatkan penggambaran filem berjudul Empat Madu di bawah arahan Profesor Madya A. Razak Mohaideen.

One Comment leave one →
  1. puteriaquarius81 permalink
    16 July, 2009 am

    biasa la mulut manusia, mana blh tutup

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: