Skip to content

Irma-Nabil ‘bercinta’ di Perth

22 July, 2009

KEINTIMAN dua selebriti ini bukan lagi satu perkara baru. Di mana-mana majlis, kedua-duanya pasti sering dilihat bersama. Baik Irma Hasmie mahupun kekasihnya, Nabil, masing-masing tidak kisah jika label ‘belangkas’ itu sering dikaitkan dengan mereka.

Bukan sengaja menayangkan kepada khalayak tentang percintaan mereka, namun masing-masing tidak mahu bersikap hipokrit.

Namun, tutur Irma, dia dan Nabil sedar akan batasnya walaupun mereka pernah dilanda kontroversi gara-gara insiden ‘peluk’ di malam Anugerah Bintang Popular tidak lama dulu.

Apa yang berlaku menjadi satu pengajaran buat kedua-duanya. Malah, kata Irma, apa yang terjadi itu telah membuatkannya dan Nabil sentiasa berhati-hati dalam perlakuan masing-masing.

Irma dan Nabil

Walaupun kedua-duanya dilihat seperti belangkas, ujar pelakon berusia 27 tahun ini, dia tidak begitu ambil pusing dengan kata-kata orang, asalkan dia tahu apa yang dilakukannya itu.

“Bagi saya, semua ‘couple’ pun pasti sering dilihat seperti belangkas. Malah, saya sedar, kebanyakan cerita yang keluar tentang saya dan Nabil pun adalah tentang kisah cinta kami.

“Tapi, saya tidak mengeluh dengan hal ini. Adatlah, jika artis bercinta sesama artis, pasti orang ingin lebih tahu tentang hubungan cinta mereka. Saya faham tugas wartawan juga,” kata Irma.

Menurut anak jati Kuala Lumpur ini, terbaru, dia turut mendengar kisah dirinya dikatakan bercuti bersama juara Raja Lawak musim kedua itu di Perth, Australia, awal bulan lepas.

Dalam nada ceria, tutur Irma, dia pada awalnya terkejut bila terbaca tentang perkara itu di sebuah laman web, apatah lagi kunjungannya ke Perth bersama kekasih hatinya itu bukannya dengan tujuan untuk ‘makan angin’.

“Kelakar juga bila membaca tentang hal itu. Tapi saya tidaklah melatah pun, mungkin waktu tu orang tidak tahu lagi mengapa saya dan Nabil ke sana, sedangkan kami ke Perth kerana menjayakan rakaman khas Studio Nabil di sana untuk tayangan Hari Raya nanti.

“Saya diundang sebagai tetamu undangan di dalam program itu yang mana saya menjadi adik Nabil bernama Bella dan kami ingin menyambut Hari Raya di Perth.

“Program ini akan disiarkan di TV9 pada hari raya pertama dan kedua nanti,” katanya yang berada di sana selama seminggu, tetapi Nabil masih meneruskan penggambaran untuk Pondok-Pondok di sana selepas itu.

Ditanya tentang pengalamannya dapat ‘bercuti’ bersama buah hatinya itu, sambil ketawa, Irma berkata dia dan Nabil sempat berjalan di sekitar kawasan bandar raya itu.

“Waktu tu keadaaan agak sejuk di sana. Tapi, sempatlah juga berjalan-jalan di sana. Cuma kami tidak banyak membeli-belah sangat, maklumlah harga barang di sana mahal,” kata pengacara program Chopp di TV9 ini.

Bercerita tentang pengalamannya bekerja bersama Nabil, ujar Irma, dia tidak menghadapi masalah memandangkan mereka memang cukup ‘gila-gila’.

“Sebelum ini, kami juga pernah berlakon sama beberapa kali. Jadi, tak adalah kekok pun. Saya dan Nabil juga akan muncul di dalam telemovie pada Hari Raya nanti berjudul Setahun Sekali bersama Eizlan Yusof dan Rozita Che Wan,” tuturnya yang akui seronok dapat bergandingan dengan Nabil.

Melihat keintiman yang terjalin serta sikap terbuka Irma menceritakan tentang hubungan mereka, sengaja subjek perkahwinan turut diutarakan kepada pelakon jelita ini, apatah lagi dengan khabar angin yang mengatakan pasangan ini sudah pun membeli cincin.

“Mana ada. Kami belum merancang apa-apa pun. Hubungan kami juga baru ingin memasuki usia setahun. Rasanya masih jauh lagi perjalanan.

“Tetapi sebagai wanita, mestilah saya juga ingin berkahwin. Kalau ada jodoh, kami tidak mahu bertunang, tetapi terus langsungkan perkahwinan. Tapi bukan dalam masa terdekat ini.

“Apapun, saya lebih suka jika hal-hal berkaitan jodoh dan perkahwinan dibicarakan oleh pihak lelaki. Bukannya apa, rasanya tidak manis jika perempuan yang banyak bercakap tentang perkara ini. Tanyalah Nabil sendiri, ye,” seloroh Irma.

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: