Skip to content

‘Kenapa tidak hubungi saya dulu’

23 June, 2009
Watie kesal Hana Elite tuduh tidak pulangkan barang dianggar bernilai lebih RM15,000

PERJALANAN seni bekas anggota Elite, Watie yang kini aktif melebarkan namanya di pentas lakonan, tidak henti-henti dirundung kontroversi. Terbaru, Watie didakwa oleh bekas anggota Elite, kononnya dia tidak memulangkan barang kemas, pakaian dan pelbagai aksesori wanita yang dianggarkan bernilai lebih RM15,000 yang pernah diberi pinjam kepadanya suatu ketika dulu.


Luahan hati bekas anggota Elite itu terhadap Watie pernah disiarkan sebuah akhbar mingguan (bukan terbitan Berita Harian Sdn Bhd), baru-baru ini. Puas dipujuk, akhirnya Watie mengakui, dirinya dianiaya rakan baiknya sendiri, Hana iaitu bekas anggota Elite juga. Justeru, kesempatan bertemu Watie, malam Selasa lalu, merungkai segala yang tersirat di hatinya apabila mendapat tahu dia difitnah atas perkara yang tidak pernah dilakukannya.

“Apa yang dia (bekas anggota Elite) kata dalam surat khabar, kononnya dia cuba menghubungi saya, call atau SMS tapi tak dapat, semua itu tipulah. Dia tahu nak cari saya di mana. Saya pelik, yang cakap macam tu bukan orang lain, tapi kawan sendiri. Kenapa tak hubungi saya dulu, kalau saya masih tidak menghubunginya, dia nak keluarkan dalam surat khabar, ok tak apa!

Saya pun pelik, apa benda yang sampai RM15,000 tu? Dulu dia kata bagi, sekarang dia kata pinjam, baiklah, apa saja barang yang pernah diberinya dulu, saya akan pulangkan. Saya mengaku, dia pernah memberikan beberapa pasang bajunya kepada saya. Tapi, bukan kepada saya seorang saja, malah terhadap rakan artis perempuan lain pun dia berbuat perkara sama.

Kenapa dia tak hubungi saya terus, Watie, barang-barang yang pernah aku bagi pada kau dulu tu aku nak baliklah… tak perlulah masuk surat khabar. Apabila cerita seumpama itu dipaparkan media, ia bukan saja memalukan diri saya seorang, sebaliknya keluarga dan anak yang sedang membesar. Selain itu, teman lelaki saya juga mungkin mendapat malu sebab dia juga ada keluarga.

Kita pernah berkawan, makan dan tidur bersama. Kenapa sekarang, dia jadi begini? Saya tak mahu memanjangkan perkara ini, benda remeh-temeh. Bagi saya, semua ini dugaan Tuhan. Lain kali, kalau nak memilih kawan, perlu berhati-hati.

‘Tak pernah memburukkan Hana’

SETAHU saya, sekalipun saya tidak lagi bersama Elite, rakan yang paling rapat dengan saya, susah senang kami bersama ialah Hana. Hana seorang yang berhati mulia, jika ada kawan-kawan Elite berdepan kesusahan, dia sedia membantu. Tapi, saya tak sangka, segala bantuan yang pernah diberikannya dulu, hari ini jadi isu. Saya sedih sebab kawan-kawan yang lain pun dia tolong, sebaliknya dia hanya menuding jari pada saya seorang.

Saya tak tahu kenapa sedangkan saya tak pernah ganggu kehidupannya. Saya juga tak pernah memburuk-burukkan dirinya. Kalau ada orang yang bercakap benda tak elok di belakangnya, saya sering membelanya. Tiba-tiba keluar artikel, saya terkejut, betul ke artikel itu daripada Hana, saya sampai tak percaya!

Tapi, apabila dia ada menyertakan sebahagian nombor telefon dalam artikel berkenaan, saya pun telefon Hana… Saya tanya dia kenapa buat saya sampai macam tu, dia kata ada orang lain yang fitnah dia, dia tak cakap apa-apa pun! Dalam perbualan itu, kami cakap elok-elok. Tapi, saya peliklah. Saya tak mahu bergaduh, baik atau buruk Hana, dia kawan saya juga. Apabila dia senang, dia sering membantu kawan-kawannya.

‘Ada orang nak jatuhkan saya’

MUNGKIN sekarang dia ada masalah dengan orang lain, tiba-tiba dia meluangkan kemarahannya pada saya. Dia tahu, saya ni jenis tak melawan. Paling kuat saya hanya menangis. Saya sedar siapa diri ini. Susahnya nak cari rezeki. Sebab tu saya tak suka melawan. Berbanding dengan Hana, dia hidup mewah.

Jika Hana melepaskan geramnya terhadap orang lain kepada diri saya, memang tak adil. Kita bukannya tak kenal, keluarga masing-masing pun dah kenal. Kalau betul dia tak puas hati, jangan sampai dia tutup rezeki saya. Janganlah sampai mengaibkan saya, fikirlah, saya ada keluarga dan anak.

Dulu kami sering keluar bersama, sekarang saya dah sibuk shooting. Ada juga Hana ajak saya keluar dengannya, tapi saya shooting tak tentu masa. Sampaikan saya pernah mencadangkan nama Hana, panggil dia shooting, bila orang dah panggil, dia sendiri yang tak nak. Sebab tu saya tak faham, kenapa Hana sanggup buat saya macam ni. Kenapa saya?

Saya tak pernah bergaduh atau membenci Hana sebelum ini. Tapi kenapa? Memang ini satu dugaan, tapi kenapa mesti saya? Bila dah jadi macam ni, saya tahu, ada orang sengaja nak jatuhkan saya supaya saya hidup susah. Agaknya orang tak boleh tengok saya senang (menangis). Bila saya susah, semua orang gelak (terus menangis).

Tak mahu lagi kahwin sorok

KALAU apa yang didakwa itu saya buat, saya puas hati, tapi sekarang ni saya tak buat! Kenapa dia (Hana) tak nak tanya saya, kenapa dia terus telefon wartawan dan bercerita. Lainlah kalau dia dah beri amaran, saya tak nak layan, dia nak bercerita pada surat khabar, saya tak kisah! Kalau Hana mengungkit baju-baju yang pernah diberikannya pada saya dulu, memang saya akan pulangkan semula. Saya rasa Hana puas dengan apa yang dilakukannya.

Saya tak nak gaduh-gaduh, selepas ini kalau Hana nak membenci saya, terpulanglah. Dia tak nak berkawan dengan saya, terpulang… Macam mana pun saya akan tetap ingat dia sebagai kawan. Saya memaafkannya dengan apa yang pernah dilakukannya ke atas saya. Saya harap Hana hidup bahagia. Saya tak sanggup melabel Hana sebagai kawan makan kawan kerana saya terlalu menghormati persahabatan kami.

Mengenai kahwin, kali ni, saya kahwin tak nak sorok-sorok, dulu saya kahwin senyap sebab saya kahwin suami orang! Sekarang ni teman lelaki saya, bujang dan saya tak pernah berkahwin dengan jurukamera berkenaan seperti yang didakwa di dalam sebuah akhbar. Saya teringin nak bersanding besar-besaran macam orang lain, saya tak pernah merasa duduk bersanding, kalau ada pun dalam drama. Jadi, kalau saya kahwin, tak akan sorok-sorok lagi!”

INFO: Watie

  • NAMA SEBENAR: Norwati Sadali
  • TARIKH LAHIR: 21 April 1976
  • ASAL: Sabak Bernam, Selangor
  • KELUARGA: Anak keempat daripada lima beradik
  • ALBUM BERSAMA ELITE: GIG, Tamparan Wanita, Idola dan Merbahaya
  • DRAMA: Rozana, Iris, Taubat, Rahsia Hati dan Suara Hati
  • DUTA: Natane (produk penjagaan kulit)
  • ANAK: Afif Danial Azahari, 5 tahun
3 Comments leave one →
  1. puteriaquarius81 permalink
    23 June, 2009 pm

    elok la tu… jgn gdh2. biar org buat kita, jgn kita buat org.. tp jgn smpai kpala kita dipijak sesuka hati.. sesekali bertegas untuk kebaikan apa slhnya…

  2. jelita permalink
    23 June, 2009 pm

    Sabarlah wati..ni semua dugaan dr ALLAH..2 tandanya ALLAH sygkan wati..

  3. 8 September, 2017 pm

    Fitnah, org ketiga, ada org nk menjatuh kn kita” ayoyoooo dei sapi. Boring la artikel artis2 ni. Acting x elok,.dialog mcm baca kamus. Upin Ipin lagi best. Haa ni dah start la ni. Upin Ipin here i come..bai artis2 boring

Leave a comment