Skip to content

Isma-Zul hasil album duet lepas Raya

22 July, 2009

SEJAK dua bulan mendiami industri muzik tempatan, kini penyanyi kelahiran Akademi Fantasia (AF) musim ke-7, Isma menunaikan janjinya untuk tidak akan berpatah balik ke belakang dalam memastikan dirinya sentiasa berada dalam industri.

Isma dan Zul dijangka menghasilkan album duet selepas Raya nanti.

Selepas tamat program realiti popular itu, Isma telah tampil dengan single pertama, ‘Bisikan..Godaan’ yang diciptakan oleh suaminya, komposer dan penyanyi Zulkifli Majid atau Zul 2 By 2 dengan menggunakan nama pena Aiman.

Lagu itu juga telah dimuatkan dalam album sulung juara AF7, Hafiz iaitu ‘Masih Jelas’ yang diambil bersempena tajuk lagunya.

Dalam masa terdekat ini, Zul berkata single kedua Isma, ‘Andai Bisa’ dijangka keluar di corong radio tempatan.

Lagu duet Zul dengan Isma itu digubah olehnya sendiri manakala liriknya dicipta oleh Zimi (Sofaz).

Selain itu, Zul juga telah menghasilkan sebuah lagi lagu solo untuk Isma berjudul ‘Berbicara’ yang juga liriknya ditulis oleh Zimi.

Kata Zul, dia memang sudah lama terfikir dan bercita-cita untuk menghasilkan album duet bersama isterinya itu.

“Kami tiada masalah untuk berduet dan memang sudang merancang untuk menghasilkan album bersama.

Isma (kanan) semasa majlis pelancaran album Hafiz, ‘Masih Jelas’ di ibu kota baru-baru ini.

“Kami sedang berbincang dengan pihak Astro Entertainment Sdn. Bhd. (AESB) tentang hal ini dan ia mungkin akan dilaksanakan selepas Raya nanti,” jelas Zul yang juga merupakan pengurus AR (Artis & Reportoire) Suria Records Sdn. Bhd (SRC).

Walaupun tugasnya kini terbahagi dua, iaitu menguruskan artis SRC dan dalam masa yang sama mengikuti perkembangan isterinya, Zul berkata dia masih boleh mengendalikan kerja yang dipikulnya sekarang.

“Saya lebih utamakan kerja sebagai pengurus AR dan apabila saya ada masa terluang, baru saya akan mengikuti ke mana sahaja isteri saya pergi.

“Lagipun isteri saya mempunyai pengurus sendiri yang disediakan oleh pihak AESB,” kata penyanyi yang popular dengan lagu ‘Mawarku’ ini.

Tak fikir soal menyesal

Jika diikutkan, Isma telah lama aktif dalam bidang nyanyian sejak berusia 18 tahun cuma dia tidak mendapat publisiti meluas dan mempunyai album seperti penyanyi lain.

“Sebelum masuk AF, dia (Isma) dah menyanyi dan saya pula sudah lalui suasana dan kehidupan seseorang artis itu.

“Jadi, sesibuk mana pun, saya sudah ada pengalaman menguruskan artis dan boleh berkongsi pengalaman itu dengannya. Sekurang-kurangnya dia sudah mengetahui cara untuk bertahan dalam industri ini.

“Bagi saya, Isma mempunyai kelebihan tersendiri sebab dia sudah dikenali sejak menyertai persembahan melibatkan badan korporat dulu,” ulasnya.

Ditanya tentang pandangannya setelah isterinya bergelar artis, Zul berkata dia tidak pernah memikirkan tentang soal menyesal kerana sekarang sudah tiba masanya untuk dia mengabulkan niat isterinya untuk memasuki industri seni ini.

“Saya tak pernah fikir pun sama ada menyesal atau tidak membenarkan dia menjadi artis.

“Asalkan niatnya betul untuk memasuki industri ini dan saya yakin dia boleh buat. Restu suami juga penting dalam soal ini jadi saya akan sentiasa menyokongnya,” ujar Zul.

Tambahnya, sewaktu Isma menyertai AF7, Zul banyak menerima kata-kata kesat dan negatif dari orang ramai tentang isterinya itu.

“Kita boleh lihatlah berapa ramai orang yang tidak suka dan mengata Isma di internet. Ada yang cakap Isma tak malu ada anak lima tapi nak masuk AF juga.

“Selepas membaca semua komen itu di internet, dia agak sedih juga tetapi sekarang dia sudah boleh menerimanya begitu juga dengan saya.

“Saya nasihankan dia supaya jangan cepat melatah,” cerita bapa kepada Muhd Haiqal Aiman, 11, Muhd Haiqal Aydiel, 10, Seri Aida Merlisa, 8, Seri Ayreen Merlynda, 5, dan Seri Adryana Marcella, 1, ini.

Isma tidak cemburu dengan Hafiz

Ketika temubual berlangsung, Isma yang duduk di sebelah suaminya berkata dia agak bangga apabila lagu ‘Bisikan..Godaan’ yang turut dimuatkan dalam album Hafiz.

“Saya rasa bangga apabila lagu saya turut berada dalam album Hafiz.

“Walaupun hanya sebuah lagu, saya tidak cemburu dengan Hafiz kerana dia memang layak untuk mempunyai album sendiri,” katanya dengan harapan dapat mempunyai album sendiri pada suatu hari nanti.

Dalam perkembangan lain, Isma berkata dia dan alumni AF7 yang lain sedang sibuk melakukan persiapan untuk ‘Konsert Reunion AF7’ yang bakal diadakan di Kuching, Sarawak pada 26 Julai ini.

Keesokan harinya, mereka akan terlibat dengan rakaman ‘Konsert Raya AF7’ di Melaka.

Jika tidak sibuk dengan program yang diatur oleh AESB, Isma berkata dia akan menghabiskan masa dengan anak-anak di rumah.

Isma juga memaklumkan yang dia, suaminya dan anak-anak sudah tinggal berasingan dengan ibu dan bapanya tetapi rumah mereka masih terletak di kawasan Cheras yang juga berdekatan dengan rumah keluarganya itu.

No comments yet

Leave a comment