Skip to content

Dugaan Scha

3 June, 2009

Pasangan ini tidak pernah menyorok hubungan mereka kepada umum. Bagaimanapun, apabila ditanya mengenainya, kedua-duanya lebih senang memberi jawapan sedang mengenali hati budi masing-masing.

PERCINTAAN terjalin antara pelakon jelita, Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir (Scha), 25, dan aktor Fahrin Ahmad, 30, bukan lagi rahsia. Semua rakan media mahupun peminat sudah mengetahuinya.

Bagaimanapun, baru-baru ini, hubungan Fahrin dan Scha dikatakan mula retak. Perkara itu disedari wakil media sewaktu Scha dan Fahrin tidak menghadiri Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH08) yang berlangsung April lalu, bersama.

Bertemu dengan pelakon berasal dari Sungai Petani, Kedah itu di lokasi penggambaran drama terbaru lakonannya, Naik Hantu, Scha bagaimanapun menjelaskan hubungannya dengan Fahrin masih baik.

“Dalam berkawan, perselisihan faham dan berbeza pendapat itu saya anggap perkara biasa. Ia secara tidak langsung membuatkan kami saling mengenali antara satu sama lain dan menjadikan hubungan itu bertambah rapat.

“Memang pada majlis ABPBH08, saya dan Fahrin sedang berhadapan dengan masalah, tetapi kami tidak bercerita kepada sesiapa. Tidak sangka pula ia disedari ramai.

“Masalah itu tidak berpanjangan kerana Fahrin sendiri mudah dibawa berbincang. Kami lebih suka bersikap terbuka dalam mencari jalan penyelesaian.

“Dia mudah meminta maaf dan memaafkan, jadi secara tidak langsung persengketaan yang timbul dapat diselesaikan,” katanya.

Scha, bagaimanapun mengakui berasa terkejut apabila masalah kecil yang berlaku antara dia dan Fahrin dapat dihidu dan menjadi isu.

“Saya tidak berasa rimas dengan perkara ini kerana memahami situasi yang berlaku. Maklumlah saya berkawan dengan pelakon popular sudah pasti apa saja yang terjadi antara kami akan mendapat perhatian ramai.

“Cuma sebagai orang yang masih baru dalam bidang seni, impak yang berlaku membabitkan kontroversi hubungan dengan Fahrin kepada saya agak besar. Bagaimanapun saya anggap ia sebagai pengalaman berharga dan cuba belajar untuk menanganinya pada masa hadapan dengan lebih baik,” katanya.

Selain itu timbul cerita, selepas berbaik-baik, Scha dan Fahrin bakal mendirikan rumah tangga tidak lama lagi. Pasangan ini dikatakan merancang mengikat tali pertunangan akhir bulan ini dan melangsungkan majlis pernikahan akhir tahun ini juga.

“Ini cerita baru yang saya dengar mengenai kami. Perkara itu tidak benar. Memang ada majlis yang dibuat, tetapi bukan membabitkan saya sebaliknya abang yang berkahwin 31 Mei lalu di Johor Bahru, Johor.

“Kami tidak pernah berbincang apatah lagi merancang untuk berkahwin dalam waktu terdekat ini, tetapi tidak tahulah pada masa akan datang kerana jodoh ditentukan Tuhan. Cuma saya mengharapkan orang ramai mendoakan yang terbaik buat kami,” katanya.

Beralih kepada kerjaya seni, Scha baru saja menerima tawaran membintangi filem Libas terbitan NDAG Production Sdn Bhd. Ia mengisahkan mengenai pasukan sepak takraw wanita. Pada waktu sama Scha bakal menyambung penggambaran drama bersiri Awan Dania untuk musim kedua.

Kesibukannya di lokasi bermula pertengahan tahun ini menyebabkan Scha terpaksa menolak tawaran buat sementara waktu mengacarakan rancangan Sehati Sejiwa yang disiarkan di TV1. Sebelum itu Scha

turut mengacarakan rancangan Chop di TV9.

“Hendak diikutkan memang saya sayang hendak meninggalkan rancangan Sehati Sejiwa, tetapi komitmen terhadap lakonan memaksa saya meninggalkan bidang pengacaraan buat sementara waktu.

“Saya sudah menjelaskan perkara ini kepada penerbit rancangan Sehati Sejiwa, Haliza Mat Kharsa dan dia memahaminya. Bagaimanapun, saya tumpang bangga apabila yang menggantikan tempat saya adalah penyanyi terkenal, Misha Omar.

“Sewaktu Misha mengendalikan episod pertama untuk musim kedua ini, saya sempat ke studio dan menyaksikan gaya persembahannya.

“Saya lihat aksinya penuh yakin dan ia jelas kelihatan menerusi lenggok tubuhnya. Satu perkara lagi yang saya kagum dengan Misha, walaupun pertama kali mengendalikan Sehati Sejiwa dia langsung tidak menunjukkan perasaan gementar atau kekok.

“Gaya bahasa yang digunakan penuh dengan bunga-bunga membuatkan saya sendiri leka menyaksikan cara dia mengendalikan Sehati Sejiwa. Ada ketika dia bergurau senda dengan tetamu menjadikan ia lebih hidup. Saya sendiri berasakan Misha jauh lebih baik berbanding saya,” katanya.

>Profil

Nama Penuh: Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir

Panggilan: Scha

Asal: Sungai Petani, Kedah

Kelulusan: Diploma Teknologi Maklumat, Kolej PTPL cawangan Shah Alam

Berat: 50kg

Tinggi: 170cm

Makanan Kegemaran: Makanan Itali

Minuman kegemaran: Jus tembikai

Hobi: Membaca dan berenang

Pencapaian: Dewi Remaja 2006 dan 50 Wanita Paling Jelita disenaraikan

majalah Female

Kerjaya: Model, Pengacara dan Pelakon

Drama: Bella, Luna Fantasiku, Manjalara, Sadiq and Co, Honeyz dan Awan Dania dan Naik Hantu.

Filem: Antoo Fighter, Histeria, Dimensi Cinta, Evolusi KL Drift dan Papadom.

Rancangan TV: Sehati Sejiwa dan Chop.

No comments yet

Leave a comment