Skip to content

Luna jual suara

4 June, 2009

Populariti saja bukan matlamat Luna sebaliknya bersiap sedia dari sekarang untuk bekalan hari tua dengan membuka butik dan kini dia melangkah setapak lagi mencuba bidang nyanyian.

KERJAYA Luna Maya, 26, bermula sebagai model kemudian melangkah ke dunia lakonan dengan watak kecil pada 2005 dan kini namanya melonjak sebagai pelakon terkenal di Indonesia.

Semua itu gara-gara watak Selasih dalam filem terbarunya, Janda Kembang. Watak itu bukan saja memerlukan dirinya tampil cantik dan seksi malah menjadi idola ramai orang apabila menjadi penyanyi satu kumpulan muzik, Dodirama pimpinan Pak Dodi lakonan Ringgo Agus Rahman.

Paling mencabar, Luna perlu menyanyikan empat lagu dangdut, Ku Berharap, Hijau Daun, Lebih Baik Mencintai Daripada Dicintai dan Wulan Merindu untuk album soundtrack filem itu.

Katanya, pertama kali diminta menyanyi untuk filem itu dia terkejut dan was-was kerana bimbang tidak mampu memberikan hasil terbaik.

“Saya menyanyi hanya sebagai tuntutan watak dalam Janda Kembang. Perkara ini sebenarnya satu paksaan buat saya kerana tidak dimaklumkan dari awal. Kalau saya tahu dari awal, mungkin saya tolak.

“Tapi apabila dimaklumkan ia tuntutan watak, akhirnya saya beranikan diri kerana sebelum ini Nirina Zubir juga pernah cuba menyanyi dalam filem Heart. Jadi apa salahnya saya cuba walaupun tidak mempunyai asas nyanyian. Kalau suara saya teruk, itu kerana saya tidak ada asas dalam nyanyian,” katanya.

Untuk membawakan empat lagu itu, Luna belajar selama sebulan di bawah bimbingan Dodi Katamsi. Katanya, dia akui bukan mudah menjadi penyanyi kerana ia sangat susah ditambah pula ia sesuatu yang sangat baru baginya.

“Kalau bercakap pun selalu salah, apa lagi menyanyi. Dunia nyanyian mainan baru bagi saya dan belum pernah dicuba sebelum ini, tapi saya anggap ia sebagai cabaran dan memberanikan diri untuk mencuba. Kalau akhirnya OK mengapa tidak, tapi kalau tidak pun, apa salahnya kerana saya sudah mencuba.

“Bagaimanapun, ada juga yang kata suara saya mempunyai ciri istimewa. Bagi saya, setiap orang mempunyai suara khas, tetapi masalahnya ia tidak sesuai dengan jiwa kerana saya bukan penyanyi.

“Ketika menyanyi lagu Wulan Merindu, rasanya amat susah hingga beberapa kali diulang rakamannya. Menyanyi memang susah apalagi dangdut. Malah kali pertama masuk studio rakaman, saya rasa takut kerana tidak percayakan diri sendiri.

“Untuk menyanyi di hadapan orang ramai, memerlukan keberanian lebih tinggi. Itu sebabnya ketika babak menyanyi, beberapa kali perlu diulang sampai saya putus harapan. Saya rasa banyak gangguan dan tidak dapat memberikan sebaik mungkin. Apapun, ia satu pengalaman baru buat saya,” katanya.

Mengenai gosip dirinya dengan vokalis Peterpan, Ariel, Luna mengakui cukup kecewa dengan berita itu kerana ia tidak benar sama sekali. Katanya, laporan satu akhbar mengatakan dia bernikah dengan Ariel di Ubud, Bali pada 8 April lalu, tidak ada bukti kukuh.

Luna juga sanggup memberi bukti sepanjang tempoh itu dia tidak pernah meninggalkan Jakarta kerana jadual penggambaran yang padat. Akuinya, dia belum bercadang untuk berkahwin buat masa ini dan kalau pun ada, tidak akan dilakukan secara rahsia sebaliknya mahu dikongsi khabar gembira itu dengan semua.

Luna dan Ariel dikatakan kembali menjalin hubungan awal Disember lalu selepas Ariel bercerai dengan Sarah Amalia pada 27 Mei tahun lalu.

Belum reda gosip pernikahannya dengan Ariel, sekali lagi Luna dikaitkan dengan gosip. Kali ini, Luna menjadi mangsa penyebaran gambarnya di Internet. Luna dikatakan bergambar mesra dengan lelaki mirip Charlie ST12.

Sekali lagi Luna menegaskan semua itu hanya cerita bohong. Katanya, itu gambarnya bersama pengurus Bunga Citra Lestari, Dody dan gambar itu diambil pada 2006 dan mungkin wajah Dody sama dengan Charlie.

Luna mengakui gosip itu membuatkan dia marah kerana mengenali Charlie dan keluarganya serta berharap dengan penjelasannya itu dapat meredakan kemelut yang melanda.

Walaupun mengakui belum punya calon, Luna tidak keberatan berkongsi cerita majlis perkahwinan impiannya. Kata Luna, dia mahu majlis perkahwinannya diadakan sesederhana mungkin tanpa undangan ramai sebaliknya hanya keluarga dan teman rapat.

“Majlisnya ringkas dan tidak meriah sangat, tapi semua orang yang rapat dengan saya boleh datang. Saya juga tidak mahu majlis diadakan di dewan besar kerana sewanya mahal, lebih baik wang itu digunakan untuk simpanan anak.

“Soal busana pula, saya lebih suka pakaian tradisional kerana lebih ringkas dan tidak menyusahkan pergerakan berbanding gaun moden kembang. Walaupun ada gaun yang ‘simple’, saya rasa pernikahan lebih bererti kalau mengenakan kebaya. Impian saya mahu pakai kebaya tradisional,” katanya.

Bagaimanpun, kata Luna, dia tidak bercadang menamatkan zaman bujangnya buat masa ini kerana belum bertemu calon sesuai. Baginya, bernikah bukan sesuatu yang mudah kerana menjadi impiannya untuk berkahwin sekali saja seumur hidup dan orang yang dicari-carinya ialah yang benar-benar memahami dirinya serta mampu menjadi sahabatnya.

“Kalau cuma cinta, setahun atau dua tahun boleh putus, tapi kalau boleh jadi sahabat atau teman, lebih terbuka dan pengertian. Saya tidak mahu gagal dalam pernikahan,” katanya.

Walaupun sering menjadi mangsa gosip, Luna mengakui tetap bersyukur dengan pencapaiannya dalam dunia hiburan. Katanya, dia bangga kerana bukan saja berjaya sebagai model, pengacara dan pelakon malah menceburi perniagaan.

Butik miliknya, LM Hardware baru saja dipasarkan, tetapi sudah mendapat sambutan hingga Luna membuka satu lagi cawangan di Plaza Semanggi, awal Mei. Ini adalah butik kedua Luna selepas di Kelapa Gading.

Sebagai tanda syukur, Luna mengadakan majlis kesyukuran dinamakan Luna Maya Berbagi Kasih untuk berkongsi sedikit kekayaan dimiliki bersama ratusan anak yatim dari Depok, Jawa Barat, baru-baru ini.

“Kejayaan yang saya capai ini bukan mudah seperti membalikkan tapak tangan. Sebaliknya ia perlu kesabaran dan waktu bertahun-tahun.

“Saya adakan majlis ini untuk mengingatkan bahawa perlu bekerja keras untuk sampai ke tahap ini. Bukan mudah malah perlu waktu selama 10 tahun.

“Dulu sebelum sampai tahap sekarang, saya selalu dilemparkan ke sana ke sini, ditolak ke sana ditolak ke sini dan juga dilemparkan dengan kata-kata yang kurang enak. Malah, sekarang juga masih dilemparkan kata-kata kurang enak.

“Tidak lupa saya mengucapkan terima kasih kepada penaja yang selama ini mendukung saya di dunia hiburan. Saya juga meraikan majlis ini bersama anak yatim kerana tidak mahu menghabiskan wang dengan pesta meriah dihadiri ramai artis.

“Lebih baik sedikit kekayaan yang saya miliki dibahagi kepada kanak-kanak yang lebih memerlukan. Inilah yang saya inginkan sejak dulu.

“Saya bahagia kerana hari ini suasananya berbeza dan bahagia melihat mereka gembira. Satu hari nanti saya mahu melihat mereka jadi orang berjaya,” katanya.

Luna juga dipilih menjadi duta World Food Programme (WFP) Januari lalu untuk membantu kanak-kanak Indonesia yang kekurangan zat makanan. Pada Disember 2005, Luna dipilih menjadi Teman Organisasi Perserikatan Bangsa-bangsa untuk Program Pangan (Friend of World Food Program/WFP) yang pertama dari Indonesia.

Aktiviti pertamanya mengunjungi Nangroe Aceh Darusalam (NAD) bertemu mangsa bencana tsunami, sekali gus menjayakan beberapa projek bantuan dijalankan WFP.

Bekerja bersama organisasi di bawah payung PBB itu adalah cita-citanya sejak dulu sebelum menceburi dunia model dan lakonan. Itulah sebabnya mengapa Luna memilih Jurusan Hubungan Internasional di Universitas Paramadina Jakarta.

>Profil

Nama sebenar: Luna Maya

Tarikh lahir: 26 Ogos 1983

Tempat lahir: Denpasar, Bali

Agama: Islam

Pendidikan: Mahasiswa jurusan Hubungan International Universitas Paramadina

Kerjaya: Model, pengacara, pelakon

Filem: 30 Hari Mencari Cinta (2004), Brownies (2005), Bangsal 13 (2005), Cinta Silver, Jakarta Undercover, Alexandria, Pesan Dari Surga, Ruang (2006), In The Name Of Love,

Sinetron: Dan, Kau Dan Aku, Ada Cinta, Rahasiaku, Anggun

One Comment leave one →
  1. Ricky Pratama permalink
    4 June, 2009 am

    bagus juga lho suara si Luna… kan dia banyak Improve di lagu itu … :> udah denger belom?

Leave a comment