Skip to content

Penat tetapi berbaloi!- Mawi

2 June, 2009

Mawi dan Ekin teruja berada di Melbourne kerana dapat banyak pengalaman baru

PENULIS berasa sedikit terkilan dan kecewa ketika mengikuti rombongan produksi Langkah Mawi… World yang menjalani penggambaran di sekitar negeri Victoria, Australia, selama 10 hari, baru-baru ini. Terkilan bukan sebab tidak mendapat layanan atau bosan dengan atur cara yang disusun Tourism Australia dan Tourism Victoria, sebaliknya dalam tempoh itu selama lima hari penulis derita akibat diserang penyakit gout di sebelah kaki kanan. Terpaksa dua kali berjumpa doktor untuk mendapatkan suntikan dan ubat meskipun jurusolek, Tona Nordin beberapa kali memberikan penulis minyak sapu untuk mengurangkan bengkak.

Namun, disebabkan pengisian sepanjang penggambaran program travelogue ini yang bakal disiarkan Astro Ria memang menarik, apatah lagi banyak tempat indah dan mempesonakan serta pengalaman baru diperoleh di sana, penyakit yang dialami ada ketikanya dapat dilupakan buat seketika biarpun keadaan diri tidak selesa.

Begitu juga penyanyi lelaki popular, Mawi mengakui dia agak kepenatan kerana penggambaran untuk program itu selama 10 hari di Melbourne dan daerah lain sekitarnya kerana jadual begitu padat hinggakan dia langsung tidak berpeluang membeli belah dengan tenang dan kerap tertidur dalam bas sewaktu dalam perjalanan dari satu destinasi ke destinasi yang lain untuk mengelilingi seluruh pelosok Victoria.

Tetapi, Mawi akui pengalaman menarik berada di Melbourne, selain Ballarat, Apollo Bay, Port Cambell, Warrnambool, Cowes, Philip Island termasuk meninjau habitat penguin di Penguin Parade dan mengikuti perjalanan merentasi lebuh raya Great Ocean Road adalah pengalaman berharga.

“Rasa berbaloi datang sini sebab banyak benda baru dapat saya lihat dengan mata kepala sendiri. Suasana pantainya yang indah dan alam semula jadi memberi ketenangan. Paling seronok apabila saya dapat bermain dengan kanggaru, tengok ikan lumba-lumba berenang, dapat lihat anjing laut melompat dan dapat mendukung koala.

“Memang rasa puas hati apatah lagi kali ini datang Australia dengan isteri, rasa bebas dan tenang sambil dapat bulan berbulan madu sekali lagi,” katanya ketawa tatkala rombongan dalam perjalanan ke Panny’s Chocolate Factory di Philip Island.

“Seronok di sini kerana selain cuaca dingin dan dapat bersama krew program ini yang tak habis-habis buat jenaka terutama Tona Nordin, pegawai Tourism Victoria juga peramah dan baik hati. Jadi penat tu… taklah terasa sangat walaupun kalau diikutkan rasa memang penat sebab penggambaran seawal jam 9 pagi hingga malam selama setiap hari berada di Australia. Saya suka Melbourne sebab suasana tenang, udara nyaman dan rombongan kami dapat menginap di lima hotel mewah yang berbeza… memang bestlah,” kata Mawi sambil membantu isterinya menyiapkan barbeku kepak ayam di tepian Sungai Yarra.

Bermula hari pertama di Melbourne, produksi Langkah Mawi… World untuk musim baru itu membuat penggambaran di lokasi penginapan di Oaks On Market, disusuli tinjauan sekitar Federation Square dan melihat pemandangan dari menara tertinggi di Melbourne – Eureka Skydeck setinggi 88 tingkat dan kemudian melawat suasana antartika di Akuarium Melbourne.

Program travelogue arahan Rahila Ali ini turut menjalani penggambaran di sekitar bangunan klasik Queen Victoria Market, iaitu pusat perniagaan terawal di Melbourne yang dibuka sejak 20 Mac 1878. Kemudian Mawi dan Ekin turut mengambil kesempatan menikmati pengangkutan awam tramcar secara percuma. Dalam kesibukan itu, Mawi sempat bersolat Jumaat di Masjid West Melbourne yang terletak di Jeffcott Street.

Bagi Mawi juga, kenangan berada di negara kanggaru itu cukup memberi kenangan manis selain dapat menikmati makan malam secara klasik dalam tramcar bergerak mengelilingi kota raya Melbourne. Beliau akui amat teruja apabila dapat bersama isteri berpeluang menaiki helikopter melihat pemandangand ari udara kawasan pantai yang cantik dan bongkah batu unik dipanggil 12 Apostles dekat Port Campbell.

“Ada tiga aktiviti lasak yang best dapat saya buat sepanjang berada 10 hari di Melbourne iaitu apabila menaiki teksi motorsikal Harley Davidson mengelilingi pusat bandar dan belajar bermain papan luncur air di Go Ride A Way, Torquay. Paling seronok, saya dapat berlumba gokart dengan Ekin di litar lumba Philip Island Curcuit. Tapi saya kalah, Ekin memang bawa laju…,” katanya ketawa sambil mengakui pengalaman menaiki feri dari Queenscliff untuk ke Sorrento juga menyeronokkan dan tidak menolak kemungkinan ingin sekali lagi datang ke Melbourne selepas mempunyai anak kelak.

No comments yet

Leave a comment