Skip to content

Kisah bulu mata Rozita

3 June, 2009

Saya rasa lucu apabila bulu mata pun orang ambil kisah. Bagi saya ia hanya hal yang remeh sahaja. Tidak sangka orang akan bercakap tentangnya. – ROZITA



KALAU sudah namanya orang cantik dan terkenal, apa sahaja yang dilakukan pasti menjadi perhatian.

Begitu juga dengan pelakon cantik jelita, Rozita Che Wan. Jika sebelum ini heboh mengenai dirinya dikatakan bercinta malah sudah berkahwin dengan orang kenamaan tetapi khabar terbaru bukannya tentang cinta sebaliknya kisah bulu matanya pula.

Jika dulu pelakon Eja pernah ‘terkena’ gara-gara isu bulu mata, nampaknya kini tiba pula giliran Rozita.

Ibu tunggal beranak dua ini sememangnya memiliki sepasang mata yang cantik, apatah lagi bila dikenakan bersama bulu mata palsu tebal, bertambah lagi seri dan keayuannya. Kononnya juga, di situlah letak rahsia kejelitaan Rozita yang menjadi daya penarik utama lelaki kala memandangnya. Mata yang menggoda dan menggetarkan jiwa.

Namun, bukan semua orang senang hati melihat bulu mata yang dipakai Rozita kerana ada pihak yang mendakwa mereka rimas apabila melihat Rozita tidak pernah ‘lekang’ mengenakan bulu mata palsu termasuklah di acara yang tidak kena. Ini terutamanya dalam babak lakonan yang sepatutnya tidak memerlukan langsung pemakaian bulu mata. Iyalah, watak perempuan kampung, misalnya, kenapa perlu disolekkan bersama dengan bulu mata?

Mendengar kisah tentang bulu matanya yang semakin hangat diperkatakan, Rozita hanya tergelak besar. Bukan memandang remeh kepada soal berkenaan, sebaliknya dia tidak sangka bulu mata yang sering dipakainya turut dijadikan isu dan bahan percakapan orang ramai.

“Saya rasa lucu apabila bulu mata pun orang ambil kisah. Bagi saya ia hanya hal yang remeh-temeh. Tidak sangka pula orang lain anggap ia isu besar dan akan bercakap tentangnya,” ujarnya.

Menurutnya, sebagai pelakon, dia langsung tidak mempunyai kuasa untuk menentukan solekan dalam drama lakonannya kerana semuanya terpulang kepada kemahuan pengarah dan kreativiti jurusolek yang lebih arif.

“Sebenarnya, kalau dalam drama, saya akan disolek mengikut permintaan pengarah, kalau diminta saya mengenakan solekan tebal siap dengan bulu mata palsu, saya akan pakai.

“Tetapi kalau watak perempuan kampung, saya tidaklah pakai, tak sesuai dengan watak dan babak yang dilakonkan.

“Begitu pun, ada juga pengarah yang mahukan watak saya sentiasa cantik. Tidak kiralah dalam babak bangun tidur, pergi pasar atau sedang sakit, semuanya mesti cantik. Jadi sebagai pelakon saya mengikut sahaja kerana itu kehendak pengarah,” jelasnya minta dimengerti.

Tambahnya, orang yang bercakap tentang isu bulu matanya dalam drama pasti tidak menonton drama lakonannya kerana apa yang didakwa tidak benar sama sekali.

“Orang yang berkata demikian pasti tidak menonton drama saya. Bukan dalam semua drama saya disolek, ada drama yang saya tidak bersolek untuk menghidupkan watak.

“Kalau nak kata saya ‘diva’ dan suka pakai bulu mata dalam semua drama, itu memang tidak betul. Saya pun ada fikiran waras. Tetapi saya tidak salahkan peminat berkata begitu kerana mereka tidak tahu perjalanan sebuah drama,” tuturnya.

Meskipun begitu, Rozita mengakui dia sememangnya seorang penggemar bulu mata palsu dan menjadi pemakai setia aksesori itu sebelum bergelar pelakon lagi.


ROZITA tidak kisah berlakon watak sebagai wanita bermadu meskipun di alam realiti, dia kurang menyokong kehidupan berpoligami.


Malah, harinya dirasakan bagai tidak sempurna kalau berpergian tanpa mengenakan alat bantuan kecantikan berkenaan.

“Kalau di luar filem dan drama, saya memang suka pakai bulu mata palsu kerana senang dan jimat masa. Tidak perlu sapuan maskara, bulu mata sudah nampak cantik dan tebal.

“Memang itulah diri saya dari dulu lagi. Mungkin sebab selalu sangat orang lihat saya bersama bulu mata palsu, terus dicop dalam drama pun saya begitu. Walhal dalam kehidupan realiti dan drama, penampilan saya berbeza,” luah wanita berusia 35 tahun ini.


ROZITA dan bulu mata palsu tidak boleh dipisahkan.


Jelasnya lagi, dia tidak akan mengubah penampilannya semata-mata kerana komen dan kritikan orang. Baginya sebagai pelakon bukan mudah untuk memuaskan hati semua pihak.

“Saya pun tahulah ketika bersukan tidak ada maknanya saya nak bersolek bagai. Saya pakai macam biasa sahaja tanpa bulu mata, itu pun orang kata saya pakai bulu mata tiga tingkat.

“Kalau macam itu, macam manalah saya nak nampak bola. Saya tahulah bila dan di mana saya harus bersolek sakan. Jadi bila timbul gosip macam ini saya pun pelik juga,” katanya sedikit kecewa.

Tambahnya lagi, dia tidak boleh memaksa semua orang untuk menyukai apa yang dilakukan. Begitu juga dengan orang lain yang tidak boleh memaksa Rozita melakukan mengikut kehendak mereka.

“Saya suka pakai bulu mata palsu, ikut suka sayalah. Saya tidak mengganggu siapa-siapa dengan bulu mata itu. Saya tahu bukan semua orang suka pakai bulu mata palsu dan bukan semua orang yang suka keluar tanpa bulu mata palsu.

“Ada orang yang memang sudah terbiasa dengan bulu mata seperti saya. Ini hak individu, saya harap peminat dan orang di luar sana faham,” tuturnya jujur.

Janda atau madu?

Ramai yang sudah mengetahui Rozita merupakan ibu tunggal setelah berpisah dengan suaminya lebih lima tahun lalu.

Dan tanpa hujan ribut kini muncul pula cerita kononnya Rozita telah dimadukan.Dia kini telah bermadu bersama tiga wanita lain dan berkongsi suami yang bernama Saifulazam Mohamed Yusoff.


APAKAH kerana kejelitaannya dicemburui, maka Rozita sering menjadi ‘mangsa’ keadaan?


Jangan terkejut dan menyangka Rozita telah berkahwin dengan mana-mana orang kenamaan. Sebenarnya lelaki yang menjadi suami Rozita itu ialah pelawak Apek yang akan berlakon bersamanya dalam filem berjudul Empat Madu.

Jika sebelum ini peminat boleh menyaksikan Rozita melakonkan watak ibu tunggal dalam drama 3 Janda, kini dia diberi pula watak isteri pertama yang berkongsi kasih dengan tiga wanita lain.

“Dalam filem ini saya akan berlakon sebagai isteri pertama Saiful Apek, skripnya memang melucukan. Biasanya orang cerita tentang tiga madu tetapi dalam filem ini ada empat,” ceritanya.

Ditanya tidakkah dirinya rasa dipergunakan penerbit kerana sering diberikan watak janda mahupun wanita bermadu, Rozita bagaimanapun tidak menganggap ia sebagai satu bebanan.

Malah, dia langsung tidak rasa dipergunakan penerbit kerana sebelum ini banyak watak berlainan pernah dilakonkan.

“Saya tidak rasa penerbit ambil kesempatan, mungkin watak janda dan wanita dimadu itu sesuai dengan usia saya. Dalam drama ia hanya lakonan semata-mata, tidak kiralah jadi janda atau kena madu, saya tak kisah. Asalkan tidak bermadu di dunia realiti, tak jadi masalah kepada saya,” katanya yang juga bakal bergandingan dengan pelakon senior Eman Manan, dalam filem terbaru arahan Dr. Hatta Azad Khan berjudul Aman.

7 Comments leave one →
  1. Borak Sakan permalink
    3 June, 2009 am

    Lawa bulu mata Rozita…sama lawa dengan orangnya…apa pendapat anda…?

  2. PuccaGurlz permalink
    3 June, 2009 pm

    mmg la lawa..hahahaha…pe daa borak sakan ni…kuikuikui:P

  3. jelita permalink
    3 June, 2009 pm

    hehehehe..bulu mata rozita 2 mmg cantik tp ape pun kurniaan allah 2 lebih cantik dari yg palsu ni…ahaks

  4. Borak Sakan permalink
    3 June, 2009 pm

    Betul tu jelita…bulu mata jelita cantik tak????huhuhu….

  5. gula permalink
    3 June, 2009 pm

    bulu mata palsu lbat la

  6. 4 June, 2009 am

    Itu sure la gula…hehehe…gula nye bulu mata lebat ke tak lebat?

  7. jelita permalink
    4 June, 2009 am

    hehehehehe..bulu mata jelita tak la lebat sekadar cantik dipandang jer..

Leave a comment