Skip to content

Erra tempuh pengalaman berharga

4 June, 2009

Apabila Fazira Wan Chek (Erra Fazira), 35, membenarkan kehidupan sehariannya bersama suami, Engku Emran Engku Zainal Abidin dan anak sulungnya, Engku Aleesya dirakam dan disiarkan dalam rancangan bercorak realiti Gu Gu Gaga Erra, ia pasti menimbulkan pelbagai persepsi.

Rap
BELUM pernah ada dalam sejarah penerbitan tempatan, kehidupan artis wanita popular yang baru bergelar ibu dirakamkan dan disiarkan untuk tatapan umum.

Gu Gu Gaga Erra akan mula ditayangkan di Astro Ria bermula 9 Jun ini pada jam 9 malam dan ulangannya setiap Ahad jam 1.30 petang

Sebelum ini Engku Emran pernah memberitahu dia tidak membenarkan anaknya berlakon dalam mana-mana drama atau filem. Pembabitan Aleesya dalam Gu Gu Gaga Erra sudah tentu menimbulkan pertikaian.

Pada waktu sama pastinya ada yang membuat andaian pembabitan Erra sekeluarga dalam rancangan diterbitkan Box Lite Film Sdn Bhd itu turut membabitkan bayaran besar. Apatah lagi, ia turut ditaja pengeluar barangan penjagaan bayi Johnson & Johnson Sdn Bhd.

Menjelaskan perkara itu, ketika majlis pelancaran Gu Gu Gaga Erra di Bangsar Village, Kuala Lumpur kelmarin, Erra berkata, dia dan Emran memang tidak membenarkan Aleesya muncul dalam mana-mana drama mahupun filem.

“Bagaimanapun, berbeza dengan rancangan realiti TV ini kerana ia membabitkan kami sekeluarga. Hendak menggunakan anak orang lain rasanya kurang manis kerana konsep Gu Gu Gaga memaparkan pengalaman saya dan Emran pertama kali menjadi ibu serta ayah.

“Dalam menjayakan rancangan ini memang ada sejumlah bayaran diterima, tetapi itu bukanlah soal utamanya. Lebih penting banyak perkara baik yang saya pelajari sepanjang rakaman dijalankan apatah lagi Johnson & Johnson menyediakan pakar penjagaan bayi.

“Mengambil contoh dalam beberapa episod ada menunjukkan bagaimana saya belajar mengenai urutan untuk bayi dan kebaikannya untuk ibu. Semua pengalaman ini kepada saya lebih berharga daripada bayaran diterima.

“Seperkara lagi seperti dijanjikan kepada peminat, rancangan ini hadiah untuk mereka. Sebelum ini pelbagai cerita tidak sedap didengar membabitkan keputusan saya yang tidak mahu memaparkan wajah Aleeya kepada umum. Bukan tidak mahu, tetapi masanya belum sesuai.

“Seperti dijanjikan selepas habis pantang saya akan tunjukkan Aleesya kepada mereka dan sekarang dengan adanya rancangan Gu Gu Gaga Erra, janji saya itu dapat ditunaikan” katanya.

Pada waktu sama Erra turut menegaskan dia mahupun Emran tetap dengan pendirian tidak akan membenarkan Aleeya muncul dalam mana-mana produksi filem dan drama.

“Biarlah untuk drama dan filem saya berlakon dengan bayi lain. Lagipun sebagai ibu, saya sudah merasai pahit getir yang perlu dilalui sebagai anak seni.

“Saya mahupun Emran kalau boleh mahu Aleesya belajar setinggi mungkin dan memilih bidang yang lebih menjamin masa depan. Bagaimanapun, itu hanya harapan kami, apabila besar nanti kalau itu kehendaknya kami terpaksa akur. Namun, sewaktu kecil inilah kami sebagai ibu bapa akan cuba mendidiknya sebaik mungkin,” katanya.

Kata Erra, keputusan untuk membenarkan kehidupannya dirakamkan seperti apa yang dilakukan produksi Hollywood antaranya Kimora Lee Life In Fab Lane dan Kim Kardashian bukan mudah.

“Beberapa kali penerbit rancangan ini Michael Ang memujuk. Rasanya kali ketiga cadangan dibuat barulah persetujuan diberikan. Itupun selepas saya dan Emran sendiri puas berbincang.

“Pada awal rakaman ini dibuat saya berasa seksa kerana ke mana saja pergi pasti ada kamera yang mengikut. Ibaratnya saya sudah tidak ada kebebasan untuk diri sendiri. Bagaimanapun, apabila melihat kembali rakaman dibuat saya berasa seronok pula,” katanya.

Sewaktu majlis sidang akhbar, wakil media yang hadir turut berkesempatan menyaksikan beberapa sedutan rancangan yang akan disiarkan sebanyak 10 episod itu. Paling menarik apabila ia memaparkan Erra menangis.

Kata Erra, sedutan terbabit tidak ada kena mengena dengan anaknya mahupun perselisihan faham bersama Emran, sebaliknya ia membabitkan dirinya sendiri yang berhadapan dengan masalah kekurangan stamina.

“Rasanya cukuplah dengan 10 episod ini, kalau mereka menawarkan untuk menyambung rancangan ini tidak mungkin kami sekeluarga akan melakukannya.

“Pada saya rancangan Gu Gu Gaga Erra ini boleh menjadi pembuka jalan kepada artis lain yang mungkin berminat dan mahu berkongsi kehidupan baru bergelar ibu bapa dengan peminat di samping menimba ilmu mengenai keibubapaan,” katanya mengakhiri perbualan.

4 Comments leave one →
  1. jelita permalink
    4 June, 2009 pm

    Hehehee…comeii anak erra 2 yerk..

  2. 4 June, 2009 pm

    comel macam mama dia gak…hhmmm…..

  3. jelita permalink
    4 June, 2009 pm

    hehehehehe..btl 2 borak sakan..comeii mcm mama die.

  4. alin permalink
    5 June, 2009 pm

    bila nak siarkan rancangan tu? channel ape yang siar ek?

Leave a comment